Fatwa Pengiklanan gedung perniagaan tentang hadiah
بسم الله الرحمن الرحيم
Pengiklanan gedung-gedung perniagaan tentang hadiah buat pembeli barangan mereka.
Oleh: Samahatus-Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله أما بعد :
Sesungguhnya diperhatikan tindakan sebahagian gedung-gedung perniagaan dan pasaraya mengeluarkan dan menyebarkan iklan di akhbar-akhbar dan alat sebaran yang lain tentang pemberian hadiah kepada pembeli yang membeli barangan mereka. Ini bertujuan untuk menarik pembeli agar membeli di tempat mereka atau membeli barangan yang tidak mereka perlukan kerana ingin memperoleh hadiah yang disediakan(1). Ini merupakan salah satu jenis judi yang diharamkan oleh syara’ yang membawa kepada perbuatan memakan harta manusia secara batil. Oleh kerana ia mengandungi tarikan dan sebab larisnya barangan mereka dan kerugian kepada peniaga yang lain yang tidak mampu membuat taruhan seperti mereka, oleh itu saya ingin memperingatkan pembaca bahawa perbuatan seperti ini diharamkan. Hadiah yang diperolehi dengan cara ini juga haram kerana ia merupakan sebahagian daripada judi yang diharamkan oleh syara’ iaitu pertaruhan. Maka menjadi kewajipan bagi pemilik-pemilik perniagaan berjaga-jaga dengan perbuatan seperti ini. Hendaklah mereka merasa cukup dengan apa yang mencukupi buat manusia yang lain. Firman Allah ta’ala :
يآيها الذين آمنوا لا تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل الا أن تكون تجارة عن تراض منكم ولا تقتلوا أنفسكم ان الله كان بكم رحيما 0 ومن يفعل ذلك عدوانا وظلما فسوف نصليه نارا وكان ذلك على الله يسيرا
yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta-harta dikalangan kamu dengan cara yang batil melainkan dengan cara jual beli yang berdasarkan perasaan redho di antara kamu dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani terhadap kamu. Sesiapa yang berbuat demikian secara melampaui batas dan zalim maka Aku akan menyumbatnya ke dalam neraka dan yang demikian itu adalah amat mudah bagi Allah.” An-Nisa’: 29-30.
Pertaruhan yang seperti ini bukanlah jual beli yang diharuskan iaitu berdasarkan kerelaan bahkan ia merupakan judi yang diharamkan oleh Allah kerana mengandungi perbuatan memakan harta secara batil dan menjadi penyebab timbulnya perasaan benci-membenci dan permusuhan di antara manusia sebagaimana firman Allah :
يآيها الذين آمنوا انما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون 0 انما يريد الشيطان أن يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمر والميسر ويصدكم عن ذكر الله وعن الصلاة فهل أنتم منتهون
yang bermaksud: ” Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, mendekatkan diri kepada patung-patung dan Azlam (menguji nasib dengan anak panah) adalah keji daripada perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu jauhkan diri daripadanya, agar kamu memperolehi kejayaan. Sesungguhnya syaitan hanya ingin menimbulkan permusuhan dan benci-membenci di antara kamu melalui arak dan judi dan memesongkan kamu daripada mengingati Allah dan menunaikan solat, adakah kamu telahpun meninggalkannya?” Al-Maidah: 90-91.
Hanya kepada Allah tempat memohon agar memberi taufiq kepada kita dan kesemua umat Islam kepada perkara yang Dia redhoi dan mendatangkan kebaikan bagi urusan hambaNya dan melindungi kita semua daripada kesemua amalan yang bersalahan dengan syara’. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
(1)di antara bentuk mu’amalat yang termasuk dalam apa yang dimaksudkan di sini ialah kad kredit yang menawarkan hadiah mengikut mata yang diperolehi oleh pembeli dan peluang memasuki peraduan yang dibuat oleh syarikat peniagaan bagi pembeli yang membeli pada kadar yang ditetapkan oleh mereka. (penterjemah)
Penterjemah : Al Ustadz Abu Auzaie
Sumber : sahab.net
Last 5 posts in Fatwa Ulama
- Nasehat Ulama Tentang Fitnah - February 22nd, 2010
- Pujian Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah - November 26th, 2009
- Antara Adab Menuntut Ilmu (Nasehat Syaikh Albani) - April 19th, 2009
- Nasehat Ulama Tentang Gerakan Dakwah - April 3rd, 2009
- Fatwa Ulama Tentang ‘April Fool' - April 3rd, 2009