Asas Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah-1

أصول أهل السنة والجماعة

 

ASAS-ASAS PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

 

Oleh: Al Ustadz Abu Auzaie

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Siri 1 :

Mengikuti Jalan Salafus Soleh dalam memahami Al-Quran dan Hadis

            Dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis menunjukkan kepada kita perlunya mengikuti jalan para sahabat dalam memahami kedua-dua nas tersebut. Merekalah generasi yang lebih mengetahui isi kandungan Al-Quran dan Hadis kerana mereka belajar agama ini terus daripada Rasulullah. Bacalah ayat-ayat dan hadis berikut dan hayatilah maknanya :

  1. Firman Allah :

والسابقون الأولون من المهاجرين والأنصار والذين اتبعوهم باحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه وأعد لهم جنات تجرى تحتها الأنهار خالدين فيها أبدا ذلك الفوز العظيم - التوبة 100

Maksudnya : “generasi terawal yang mendahului (dalam beriman) dikalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan cara yang baik, Allah meredhoi mereka dan mereka redho dengan Allah dan Dia sediakan buat mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kejayaan yang amat besar” - At-Taubah ayat 100.

Perhatikanlah kepada kalimah berikut (..dan orang-orang yang mengikuti jalan mereka..). ertinya orang-orang yang mengikuti Muhajirin dan Ansor dalam memahami agama yang dibawa oleh nabi kita Muhammadصلى الله عليه وسلم  , mereka itu layak memperolehi ganjaran yang disebutkan di dalam ayat di atas iaitu mencapai keredhoan Allah dan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Inilah kejayaan yang dijanjikan buat orang yang mengikut jalan sahabat. Kejayaan ini tidak akan kita perolehi sekiranya kita mengikuti manusia selain mereka dalam memahami maksud Al-Quran dan Hadis. Oleh itu Imam Ahmad berkata di dalam kitab ‘Usul As-Sunnah’ : “Asas-asas pegangan ahli sunnah menurut kami adalah berpegang teguh dengan cara para sahabat Rasulullah dan mencontohi mereka”.

  1. Firman Allah :

ومن يشاقق الرسول من بعد ما تبين له الهدى ويتبع غير سبيل المؤمنين نوله ما تولى ونصله جهنم وساءت مصيرا- النساء 115

Maksudnya : “sesiapa yang berpisah daripada Rasul (jalannya) selepas nyata kepadanya kebenaran dan mengikuti jalan selain jalan orang-orang mukmin maka Aku biarkan dia bersama pilihannya dan Aku sumbatkannya ke dalam neraka jahannam yang merupakan seburuk-buruk tempat kembali”- An-Nisa ayat 115.

Allah menyatakan di dalam ayat ini tentang ciri-ciri orang yang dihukum iaitu dengan merasakan dirinya berada di atas kebenaran sedangkan dia telah terpesong di dunia ini, kemudian di hari kiamat dia akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam. Ciri-ciri orang tersebut ialah dia keluar daripada jalan Rasulullah dan mengikut jalan selain jalan orang-orang mukmin iaitu para sahabat kerana merekalah orang-orang mukmin ketika turunnya ayat ini. Ayat ini membawa maksud dalam memahami jalan Rasulullah kita dituntut mengikuti kefahaman para sahabat kerana itulah kefahaman yang sebenar tentang ajaran baginda. Mengenepikan kefahaman generasi terawal membawa erti keluar daripada jalan Rasulullah. Sesiapa yang berbuat demikian maka dia terdedah kepada bahaya yang amat besar di hari kemudian.

  1. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم….رواه البخاري ومسلم

Maksudnya: “sebaik-baik manusia ialah mereka yang berada di kurunku, kemudian orang-orang yang selepas mereka, kemudian orang-orang yang selepas mereka….” - riwayat Bukhori dan Muslim.

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita para sahabat merupakan manusia yang terbaik dikalangan umat Muhammad صلى الله عليه وسلم . Ini membawa erti tiada siapa dikalangan generasi yang terkemudian yang lebih baik atau setanding dengan mereka dalam semua sudut. Sama ada dalam ketinggian darjat di sisi Allah atau kekuatan aqidah dan keimanan, kekuatan beramal atau keupayaan memahami maksud sebenar ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Sudah tentulah orang yang cerdik dan berakal akan mengikuti jalan generasi yang dipercayai, generasi yang mendapat penghormatan daripada Allah dan rasulNya. Adakah generasi yang terkemudian mendapat pujian dan penghormatan seperti ini? Sudah tentu tidak. Bahkan di dalam hadis-hadis Rasulullah banyak menyatakan keburukkan generasi yang terkemudian kecuali mereka yang berpegang teguh dengan ajaran baginda dan mengikuti jalan sahabat-sahabat baginda.

  1. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

وستفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة , كلها فى النار الا واحدة , قيل من هم يا رسول الله؟ قال : من على مثل ما أنا عليه اليوم وأصحابي

Maksudnya : “dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan , kesemuanya berada di dalam neraka kecuali satu kumpulan”. Dikatakan kepada baginda : siapakah mereka wahai Rasulullah? Jawab baginda : ” siapa yang berada di atas perkara yang aku berada di atasnya hari ini dan sahabat-sahabatku” - disohehkan oleh Al-Albani.

Ertinya mengikut sunnah baginda dan para sahabat yang mengetahui maksud yang terkandung di dalam sunnah baginda.

Wahai umat Muhammad….

            Inilah jalan kita… mengikuti para sahabat dalam memahami agama. Merekalah yang lebih mengetahui maksud Al-Quran dan Hadis. Tidaklah sesat golongan yang bernama khawarij, muktazilah, qodariyah, jahmiyah, rafidhah dan sebagainya melainkan kerana mereka mengenepikan kefahaman generasi terawal tentang ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Maka janganlah kita mengikut jejak langkah golongan tersebut…

 

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita semua.

Last 5 posts in Manhaj

Tags:

Leave a Reply