Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa
بسم الله الرحمن الرحيم
Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa
Penulis : Al Ustadz Abu Auzaie
Tafsiran Ayat 1 - 5 Surah Al-Baqoroh
بسم الله الرحمن الرحيم
الم 0 ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين 0 الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون الصلاة ومما رزقناهم ينفقون 0 والذين يؤمنون بما أنزل اليك وما أنزل من قبلك وبالآخرة هم يوقنون 0 أولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون 0
(الم) Kata Syaikh Abdurrahman ibnu Nasir As-Sa’di dalam tafsirnya : “Jalan yang selamat ialah diam daripada memperkatakan tentang maknanya tanpa ada sandaran syara’, disertakan dengan keyakinan bahawa Allah tidak menurunkan huruf-huruf tersebut dengan sia-sia. Bahkan ada hikmahnya yang tidak kita ketahui”.
(ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين ) Terjemahannya : Kitab ini (Al-Quran) tiada keraguan padanya sebagai petunjuk buat orang yang bertaqwa.
Keterangan : Al-Quran merupakan kitab yang agong kerana ia mengandungi kebenaran dan ilmu yang amat mulia. Tiada siapa yang boleh meragui tentang turunnya kitab ini daripada Allah ‘azza wa jalla. Isi kandungannya juga tidak boleh diragui sama sekali kerana ia merupakan kalam-Nya. Kitab yang mulia tersebut memberi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. Merekalah yang mendapat manfaat daripada penurunan Al-Quran. Kata As-Sa’di : “Orang-orang yang sengsara tidak mempedulikan kitab ini dan tidak menerima petunjuk Allah. Maka tertegaklah hujah ke atas mereka dan tidaklah mereka mendapat manfaat daripadanya kerana kesengsaraan yang merupakan ciri-ciri mereka. Adapun orang-orang yang bertaqwa, mereka mengambil sebab yang paling utama untuk mendapat hidayat iaitu taqwa. Hakikat taqwa ialah mengambil perkara yang dapat melindungi daripada kemurkaan Allah dan azab-Nya iaitu dengan mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya”.
Kemudian Allah menjelaskan ciri-ciri orang yang bertaqwa iaitu :
Ciri yang pertama :
( الذين يؤمنون بالغيب ) maksudnya : ‘orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib’.
Perkara yang ghaib ialah perkara yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera kita. Orang-orang yang bertaqwa beriman dengan perkara yang ghaib seperti adanya azab kubur, syurga, neraka, para malaikat, adanya arasy Allah dan sebagainya walaupun mereka tidak pernah melihatnya atau masuk ke dalamnya. Ini kerana berita tentang perkara tersebut datangnya daripada Rob yang Maha Agung melalui wahyu Al-Quran dan Hadis. Kata As-Sa’di : ‘Keimanan ini yang membezakan di antara muslim dan kafir kerana ia pengakuan yang sebenar-benarnya kepada Allah dan rasul-Nya. Orang mukmin beriman dengan semua perkara yang diberitakan oleh Allah dan rasul-Nya sama ada dia melihat perkara tersebut atau tidak melihatnya. Sama ada akalnya boleh memahaminya atau tidak. Ini berlainan dengan golongan zindik (munafik) dan orang-orang yang mendustakan adanya perkara yang ghaib disebabkan akal mereka yang dangkal. Mereka tidak dapat memahaminya lalu mendustakan perkara yang tidak mereka ketahui’.
Ciri yang kedua :
( ويقيمون الصلاة ) maksudnya : ‘dan mereka mendirikan solat’
Solat merupakan rukun Islam yang terpenting selepas kalimah syahadah. Orang yang beriman tidak akan mencuaikan ibadat yang difardhukan ke atas mereka iaitu 5 waktu sehari semalam. Mereka juga melakukan solat-solat sunat yang lain sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah untuk mencapai ganjaran yang besar di sisi-Nya. Mendirikan solat ertinya melakukannya sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah. Sabda baginda :
صلوا كما رأيتموني أصلى
Maksudnya : solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku melakukan solat”-
Inilah bentuk solat yang akan menjadikan kita mencapai darjat taqwa iaitu mengikut sunnah baginda dalam melakukannya, bukan dengan meniru amalan masyarakat sekeliling kita. Kata As-Sa’di : ‘mendirikan solat ialah dengan mendirikannya secara zahir iaitu dengan menyempurnakan rukun-rukun, kewajipan dan syarat-syaratnya. Termasuk juga mendirikannya pada batinnya iaitu dengan mewujudkan ‘roh’ solat iaitu hadirnya hati ketika solat dan menmerhatikan perkataan dan perbuatan dalam solat. Solat seperti inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya :
ان الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر
“sesungguhnya ibadat solat itu dapat mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar”
Inilah solat yang mendatangkan pahala. Tiada ganjaran bagi solat seorang hamba melainkan yang dia lakukan secara sedar”
Bersambung……
Last 5 posts in Tafsir Al-Quran
- Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa (Tafsir-2) - March 14th, 2009
- Kandungan Surat Al-Fatihah - February 8th, 2009
July 30th, 2009 at 4:13 am
الصحوة…
جزاك الله خير…