Archive for March, 2009

Hadist (1)

Sunday, March 29th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Mengikhlaskan Niat Dalam Setiap Amalan

 

Sabda Rasulullah :

انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى , فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله , ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه - متفق عليه

 

Syarahan Hadis :

 

Oleh Fadhilatus Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibni ‘Usaimin رحمه الله:

 

( انما الأعمال بالنيات ) ertinya : “sesungguhnya amalan-amalan itu dengan adanya niat”.

            Kata Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibni ‘Usaimin dalam syarahan kitab Riyadhus Solihin : “Nabi menjelaskan di dalam jumlah (ayat) ini sesungguhnya setiap amalan tidak boleh tidak mesti mempunyai niat. Setiap amalan yang dilakukan oleh manusia dalam keadaan dia berakal, dengan pilihannya sendiri tidak boleh tidak mesti mempunyai niat. Tak mungkin bagi setiap manusia yang berakal dan mempunyai pilihan akan melakukan amalan tanpa adanya niat. Sehinggakan sebahagian ulama mengatakan : “Kalaulah Allah memerintahkan kita melakukan amalan tanpa niat nescaya ia merupakan perintah yang tidak mampu dilaksanakan”. Ini adalah benar. Bagaimana kamu melakukan amalan tanpa niat dalam keadaan kamu berakal mempunyai pilihan dan tidak dipaksa? Ini kerana amalan lahir daripada kehendak dan kemampuan. Kehendak itulah yang dinamakan niat”.

 

( وانما لكل امرئ ما نوى ) ertinya : “Hanya sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan”.

            Kata Syaikh lagi : “Dikalangan manusia ada orang yang niatnya berada dipuncak yang tinggi dan dikalangan mereka ada orang yang niatnya di timbunan sampah di tempat yang paling hina. Sehinggakan kamu melihat 2 lelaki melakukan amalan yang sama dari segi permulaannya, penghujungnya dan pertengahannya, pergerakannya dan diamnya dan perkataan dan perbuatannya. (akan tetapi) jarak di antara kedua-dua amalan tadi adalah seperti langit dan bumi. Kesemuanya disebabkan perbezaan niat. Oleh itu asasnya ialah tidak ada amalan tanpa niat. Natijahnya pula kata-kata baginda : “dan hanya sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan”. Sekiranya kamu niatkan kerana Allah dan negeri akhirat di dalam amalan kamu yang disyariatkan maka kamu akan mencapai apa yang kamu niatkan. Sekiranya kamu niatkan kerana dunia maka adakalanya ia akan tercapai dan adakalanya tidak. Firman Allah :

من كان يريد العاجلة عجلنا له فيها ما نشاء لمن نريد ثم جعلنا له جهنم يصلها مذموما مدحورا

Maksudnya : “sesiapa yang inginkan ‘ajilah (yang segera ertinya dunia) maka akan Aku segerakan buatnya di dunia tersebut apa yang Aku kehendaki bagi orang yang Aku mahu. Kemudian Aku jadikan buatnya neraka jahannam yang mana dia masuk ke dalamnya dalam keadaan dicela dan dihalau”- Al-Isra’ 18.

            Allah tidak mengatakan “Aku segerakan buatnya apa yang dia inginkan. Akan tetapi Dia mengatakan “apa yang Aku kehendaki”. Ertinya tidak apa yang dia inginkan. “Bagi orang yang Aku mahu” bukan untuk semua manusia. Dia membataskan perkara yang disegerakan dan untuk siapa perkara tersebut.

 

( فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه ) ertinya : “sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mendapatkannya atau wanita yang dia ingin kahwini maka hijrahnya adalah kepada perkara yang dia berpindah kepadanya”.

            Kata Syaikh lagi : “Kemudian Nabi membuat perbandingan bagi perlaksanaan hadis ini dengan katanya : “siapa yang berhijrah……”(seperti di atas). Hijrah ertinya seseorang berpindah dari negeri kufur kepada negeri Islam. Contohnya dia berada di amerika. amerika negara kufur lalu dia memeluk agama Islam. Akan tetapi dia tidak dapat menzahirkan agamanya di sana. Lalu dia berpindah ke negeri Islam. Inilah yang dinamakan hijrah.

            Apabila manusia berhijrah, mereka berbeza keadaan dalam hijrah mereka. Dikalangan mereka ada orang yang berhijrah meninggalkan negerinya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ertinya kepada syariat Allah yang disyariatkan melalui lisan rasul-Nya. Orang inilah yang akan mencapai kebaikan dan mencapai matlamatnya. Oleh itu Nabi berkata : “maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya”. Ertinya dia telah mencapai apa yang dia niatkan.

            Orang yang kedua pula berhijrah kerana dunia yang dinginkan. Contohnya seorang lelaki yang suka mengumpulkan harta mendengar bahawa di negeri Islam ada tanah pertanian yang subur untuk medapatkan harta. Lalu dia berhijrah dari negeri kufur ke negeri Islam bukan untuk menjadi orang yang istiqomah dalam agamanya dan tidak pula dia mengambil berat tentang agamanya. Keinginannya hanyalah harta. Orang yang ketiga berhijrah dari negeri kufur ke negeri Islam untuk mengahwini wanita. Dikatakan kepadanya kami tidak akan kahwinkan kamu melainkan di negeri Islam. Jangan kamu membawa isteri kamu ke negeri kufur. Lalu dia berhijrah daripada negerinya ke negeri Islam kerana perempuan.

            Orang yang inginkan harta dan perempuan tidak berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu Nabi bersabda : “maka hijrahnya adalah kepada perkara yang dia berhijrah kepadanya”. Di sini Nabi Berkata :الى ما هاجر اليه”"  tidak “”فهجرته الى دنيا يصيبها أو امرأة ينكحها   . Kenapa? Dikatakan kerana panjangnya percakapan kalau diulang-ulang. Ada juga berpendapat tidak disebutkan kedua-dua jenis hijrah tersebut sebagai penghinaan dan pemalingan daripada sebutannya disebabkan ia adalah niat yang rosak. Walau bagaimanapun orang yang meniatkan hijrahnya kerana dunia atau perempuan tidak syak lagi niatnya merupakan niat yang rendah dan hina. Ini berbeza dengan orang yang pertama yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya.

 

Dipetik daripada kitab syarahan Riyadhus Solihin.

Dinukil oleh : Ustadz Abu Auzaie

Pengertian Ilmu Fiqh (1)

Sunday, March 29th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Pengertian Ilmu Fiqh

Oleh : Fadhilatus Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibnu ‘Usaimin رحمه الله

 

Makna ‘Fiqh’ dari sudut bahasa : kefahaman. Antaranya firman Allah ta’ala :

ولكن لا تفقهون تسبيحهم

Ertinya: “akan tetapi kamu tak memahami tasbih mereka”- Al-Isra’ 44.

Firman-Nya lagi :

قالوا يا شعيب ما نفقه كثيرا مما تقول

Ertinya : “kata mereka : wahai Syu’aib kami tak faham kebanyakkan daripada apa yang kamu perkatakan”-Hud 91.

Makna ‘fiqh’ di sini adalah ‘faham’.

 

Makna fiqh menurut syara’ adalah mengetahui hukum-hakam Allah sama ada berkaitan dengan aqidah dan amali.

Oleh itu kalimah fiqh menurut syara’ bukan terbatas kepada perbuatan orang-orang yang mukallaf atau hukum-hakam berbentuk amali. Bahkan ia merangkumi hukum-hakam aqidah. Sehinggakan sebahagian ulama berkata : “sesungguhnya ilmu aqidah merupakan ‘Fiqh Al-Akbar’ (ilmu fiqh yang paling utama). Ini adalah benar kerana kamu tidak akan dapat melakukan ibadat kepada ma’bud (iaitu Allah) melainkan setelah mengetahui cara mentauhidkan-Nya dari segi rububiyah-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya dan uluhiyah-Nya. Kalau tidak maka bagaimana kamu hendak beribadat kepada sesuatu yang tidak dikenali? Oleh itu asas yang pertama adalah tauhid. Maka layaklah ia dinamakan ‘Fiqh Al-Akbar’.

 

Makna Fiqh menurut istilah : mengenali hukum-hakam yang amali dengan dalil-dalilnya secara terperinci.

Kata-kata kami ‘mengenali’, tidak kami mengatakan mengetahui kerana fiqh itu sama ada berdasarkan ilmu (yang pasti) atau pun dzon (tanggapan yang lebih mirip kepada ilmu). Tidak semua permasalahan fiqh diketahui secara qath’i (pasti). Banyak permasalahan yang dibina berdasarkan ‘dzon’. Ini banyak berlaku pada masalah yang berlandaskan ijtihad yang tidak sampai ke tahap keyakinan yang putus. Akan tetapi Allah tidak mentaklifkan ke atas sesuatu jiwa melainkan berdasarkan kemampuannya. Maka kata-kata kami ‘mengenali’ untuk merangkumi ilmu dan dzon.

Kata-kata kami ‘yang amali’ mengelakkan (percampuran) dengan hukum-hakam aqidah. Ianya tidak termasuk di dalam ilmu fiqh mengikut istilah walaupun ia termasuk dalam syariat.

Kata-kata kami ‘dengan dalil-dalil secara terperinci’ mengelakkan (percampuran) dengan ilmu usul fiqh kerana perbahasan dalam usul fiqh berkaitan dengan dalil-dalil yang umum. Adakalanya didatangkan permasalahan secara terperinci sebagai contoh sahaja. Dapat difahami daripada kata-kata kami ‘dengan dalil-dalil’ bahawa sesungguhnya orang yang bertaqlid bukanlah seorang ‘faqih’ kerana dia tidak mengetahui hukum-hakam dengan dalil-dalilnya. Kemampuannya hanyalah mengulang-ulang apa yang ada di dalam kitab sahaja. Ibnu Abdil Bar menukilkan ijma’ tentang perkara ini. Dengan ini kamu mengetahui pentingnya pengetahuan tentang dalil. Seorang penuntut ilmu wajib mengambil permasalahan (agama) dengan dalil-dalilnya. Inilah yang akan menyelamatkannya di sisi Allah ta’ala kerana Allah berkata di hari kiamat :

ما ذا أجبتم المرسلين

Ertinya : “apakah yang kamu sahut (daripada seruan) para rasul”-Al-Qosas 65.

Dia tidak mengatakan : “apakah yang kamu sahut daripada seruan penulis Fulani. Oleh itu tidak boleh tidak mesti kita mengetahui apakah yang diperkatakan oleh para rasul untuk kita beramal dengannya.(yang dimaksudkan di sini ialah Nabi  Muhammad yang merupakan rasul akhir zaman).

Akan tetapi bertaklid dibolehkan ketika dharurat berdasarkan firman Allah :

فاسألوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون

Ertinya : “bertanyalah kepada ahli ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui”-An-Nahl 43.

Apabila kita tak mampu mengetahui kebenaran dengan dalilnya maka mestilah kita bertanya. Oleh itu Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata : “bertaklid seperti memakan bangkai. Apabila seseorang mampu mengeluarkan dalil maka tidak halal baginya bertaklid”.

 

Dipetik dari kitab Syarhul Mumti’ ‘ala Zadil Mustaqni’.

Dinukilkan oleh : Ustadz Abu auzaie

Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa (Tafsir-2)

Saturday, March 14th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa

Ustadz Abu Auzaie

 

Sambungan…

 

            Pada siri yang lalu kita telah mengetahui sebahagian daripada ciri-ciri orang yang bertaqwa iaitu beriman dengan perkara yang ghaib dan mendirikan solat. InsyaAllah artikel ini akan menyambung keterangan tentang ciri-ciri tersebut yang merupakan sambungan bagi ayat 2dalam surah al-Baqoroh iaitu firman Allah :

ومما رزقناهم ينفقون

Maksudnya : “dan mereka membelanjakan sebahagian daripada apa yang Aku berikan rezeki kepada mereka”.

Kata Syaikh As-Sa’di : “Termasuk dalam perbelanjaan (infaq) tersebut infaq yang wajib seperti zakat, nafkah buat isteri, ahli keluarga, hamba abdi dan yang seumpamanya. Juga infaq yang mustahab (sunat) dalam semua bentuk perbelanjaan yang baik”.

Menginfaqkan (membelanjakan) harta pada jalan yang diredhoi Allah merupakan ciri orang yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi kedekut dengan harta yang dimiliki kerana harta tersebut merupakan anugerah Allah, bukan datang dengan kepandaian dan usaha mereka semata-mata. Berapa ramai orang yang bekerja keras dan bersusah payah untuk mendapatkan harta akan tetapi mereka tidak memperolehi apa yang mereka inginkan. Kata Syaikh As-Sa’di : “kata-Nya : (yang Aku berikan rezeki kepada mereka) menunjukkan harta-harta yang ada ditangan kamu tidak tercapai dengan kekuatan dan kuasa kamu. Akan tetapi ia merupakan rezeki dari Allah yang memberikan nikmat tersebut kepada kamu. Sebagaimana Dia memberi nikmat ke atas kamu dan memberikan kelebihan buat kamu ke atas ramai hamba-hamba-Nya maka hendaklah kamu  bersyukur kepada-Nya dengan menginfaqkan sebahagian daripada nikmat tersebut dan berkongsilah dengan saudara-saudara kamu yang tidak memiliki”.

Kemudian Allah menyebutkan lagi tentang ciri-ciri orang bertaqwa dalam ayat 3 dengan firman-Nya :

والذين يؤمنون بما أنزل اليك وما أنزل من قبل

Maksudnya : “dan orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan kepada orang-orang sebelum kamu”.

Syaikh As-Sa’di menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan “apa yang diturunkan kepada kamu” ialah Al-Quran dan Sunnah. Kedua-duanya merupakan wahyu Allah. Firman Allah :

وأنزل الله عليك الكتاب والحكمة

“dan Allah turunkan kepada kamu Al-Kitab dan Hikmat” iaitu Sunnah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Kathir di dalam tafsirnya.

Kata beliau (As-Sa’di) : “orang-orang yang bertaqwa beriman dengan kesemua perkara yang dibawa oleh Rasulullah dan tidak membeza-bezakan di antara perkara tersebut dengan mempercayai sebahagian daripadanya dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain dengan mengingkarinya atau mengubahnya kepada maksud yang tidak dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang dilakukan oleh para mubtadi’ (pencetus bid’ah) yang memesongkan maksud nas-nas yang bertentangan dengan pendapat mereka. Akhirnya mereka tidak beriman dengan maknanya walaupun mereka membenarkan (mempercayai) lafaznya. Mereka ini tidaklah beriman dengan keimanan yang sebenar”.

Mereka juga beriman dengan kitab-kitab yang terdahulu seperti Taurat, Injil dan Zabur. Kesemuanya datang dari Allah. Sesiapa yang tidak beriman dengan penurunan kitab ini daripada Allah maka dia orang yang kufur, yang mendustakan wahyu Allah.

وبالآخرة هم يوقنون

Maksudnya : ” dan mereka itu yakin dengan adanya hari akhirat”.

Orang-orang yang bertaqwa yakin dengan adanya hari kiamat. Hari yang mana manusia akan dibangkitkan untuk menerima pembalasan terhadap apa yang mereka lakukan di dunia dahulu. Keyakian yang tidak langsung bercampur dengan perasaan syak dan ragu-ragu. Keyakinan yang seperti inilah yang menjadikan seorang muslim patuh dan taat kepada Robnya kerana dia tahu bahawa dia akan berhadapan dengan pengadilan di hari kiamat untuk menentukan kesudahan hidupnya sama ada bahagia di dalam syurga Allah atau sengsara dengan azab di dalam neraka disebabkan dosa yang telah dia lakukan di dunia dahulu.

Demikianlah sebahagian daripada ciri-ciri orang yang bertaqwa. Mereka inilah yang akan mendapat petunjuk dari Allah dan memperolehi kejayaan.

أولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون

Maksudnya : “mereka itulah orang-orang yang berada di atas petunjuk daripada Rob mereka dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

Manakah kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan yang dijanjikan oleh Allah? Manakah kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan mencapai syurga Allah dan keredhoan-Nya serta selamat daripada azab-Nya?

Sekiranya kamu berfikir…..

Soal Jawab Aqidah-3

Saturday, March 14th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Ustadz Abu Auzaie

 

Soal Jawab Akidah (3)

Soalan : Berapa martabat(tingkatan/tahap) agama Islam?

Jawapan : Martabat agama Islam ada 3 : Islam , Iman dan Ihsan. Setiap satu daripada 3 kalimah ini apabila diitlaqkan (disebutkan sendirian) maka ia merangkumi keseluruhan agama.

(Ertinya apabila disebutkan kalimah Islam sahaja maka ia merangkumi iman dan ihsan. Apabila disebut kalimah iman sahaja maka ia merangkumi Islam dan ihsan dan apabila disebut ihsan sahaja maka ia merangkumi Islam dan Iman)

Soalan : Apakah makna Islam?

Jawapan : Maknanya menyerah diri kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, tunduk kepada-Nya dengan melakukan ketaatan dan membebaskan diri daripada kesyirikkan. Firman Allah :

ومن أحسن دينا ممن أسلم وجهه

Maksudnya ; “siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah..”

Firman-Nya lagi :

ومن يسلم وجهه الى الله وهو محسن فقد استمسك بالعروة الوثقى

Maksudnya : “dan sesiapa yang menyerahkan wajahnya kepada Allah dalam keadaan dia berbuat baik maka dia telah berpegang dengan ikatan yang teguh”.

Firman-Nya lagi :

فالهكم اله واحد فله أسلموا وبشر المخبتين

Maksudnya : “Ilah (Tuhan yang disembah) kamu merupakan Ilah yang satu maka hanya kepada-Nya hendaklah kamu menyerah diri. Berilah khabar gembira buat orang yang tunduk”.

Soalan : Apakah dalil penggunaan kalimah ini secara itlaq menunjukkan ia merangkumi keseluruhan agama?

Jawapan : Firman Allah :

ان الدين عند الله الاسلام

Maksudnya : “sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam”.

Sabda Rasulullah :

بدأ الاسلام غريبا وسيعود غريبا كما بدأ

Maksudnya : “Islam itu datang dalam keadaan asing dan ia akan kembali asing sebagaimana ia datang”-

Sabda Baginda :

أفضل الاسلام ايمان باالله

Maksudnya : “Islam yang paling utama adalah beriman dengan Allah”-

Dan banyak lagi nas-nas yang lain (yang menunjukkan bahawa Islam,Iman dan Ihsan membawa makna yang satu apabila diitlaqkan)

Soalan : Apakah dalil bahawa Islam itu diertikan dengan rukun yang 5.

Jawapan : Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم ketika ditanya oleh Jibril tentang pengertian agama Islam :

الاسلام أن تشهد أن لا اله الا الله وأن محمدا رسول الله وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة وتصوم رمضان وتحج البيت ان استطعت اليه سبيلا

Maksudnya : “Islam ertinya kamu bersaksi bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan Muhammad utusan Allah, kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan kamu menunaikan haji sekiranya kamu mampu mendapatkan ‘jalan’ untuk ke sana”.

Sabda Baginda :

بني الاسلام على خمس….

Maksudnya : “Islam itu dibina atas 5 perkara…”

Lalu Baginda menyebutkan 5 perkara di atas, cumanya didahulukan haji ke atas puasa di bulan Ramadhan. Kedua-dua hadis di dalam soheh Al-Bukhori dan soheh Muslim.

Soalan : Apakah kedudukan 2 kalimah syahadah di dalam agama?

Jawapan : Seseorang hamba tidak akan masuk ke dalam agama Islam melainkan dengan 2 kalimah ini. Firman Allah : 

انما المؤمنون الذين آمنوا بالله ورسوله..

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan rasul-Nya..”

Sabda Rasulullah :

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا اله الا الله وأن محمدا عبده ورسوله

Maksudnya : “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan Muhammad merupakan hamba-Nya dan rasul-Nya”-

Banyak lagi hadis-hadis yang lain

Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah-2

Saturday, March 7th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas-Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Oleh: Al Ustadz Abu Auzaie

 

Siri 2 :

 

Mengasihi Sahabat Rasulullah Dan Memuliakan Mereka, Tidak Menyebut Perkataan Yang Tidak Baik Terhadap Mereka

            Inilah jalan orang-orang yang beriman. Mereka mengetahui kedudukan para sahabat di sisi Allah dan Rasul-Nya. Sahabat merupakan generasi yang mendapat pujian Allah di dalam Al-Quran yang dibaca sehingga ke hari kiamat. Firman-Nya :

للفقراء المهاجرين الذين أخرجوا من ديارهم وأموالهم يبتغون فضلا من الله ورضوانا وينصرون الله ورسوله أولئك هم الصادقون 0 والذين تبوؤ الدار والايمان من قبلهم يحبون من هاجر اليهم ولايجدون فى صدورهم حاجة مما أوتوا ويؤثرون على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة ومن يوقى شح نفسه فأولئك هم المفلحون

Maksudnya : “dan bagi golongan fakir muhajirin yang diusir dari tempat tinggal dan harta mereka, mereka mencari anugerah dari Rob mereka dan keredhoan-Nya, dan mereka menolong Allah dan rasul-Nya..mereka itulah orang-orang yang benar 0 dan orang-orang yang tinggal di negeri (Madinah) dan beriman sebelum kedatangan muhajirin, mereka kasih kepada orang yang berhijrah kepada mereka dan tidak  ada dalam diri mereka keinginan terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang muhajirin, mereka mendahulukan orang-orang muhajirin ke atas diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri dalam keadaan kesusahan. Sesiapa yang dilindungi daripada sikap bakhil yang ada dalam dirinya maka mereka itulah orang yang berjaya”- al-Hasyr 8/9.

            Allah telah meredhoi golongan muhajirin dan ansor sebagaimana disebutkan dalam surah At-Taubah ayat 100. Anugerah dan pujian ini tidak akan kita temui pada mana-mana generasi selepas mereka. Orang yang berakal tentu menyedari tentang tingginya kedudukan para sahabat di sisi Allah dan Rasul-Nya. Adalah tidak layak bahkan satu kesalahan yang besar sekiranya ada manusia yang menyebut perkataan yang tidak baik terhadap sahabat apatah lagi mencaci dan menghina mereka. Bagaimana dia boleh mencaci generasi yang dipuji, dikasihi dan diredhoi Allah dan Rasul-Nya??? Apakah orang yang mencaci tersebut tidak pernah mendengar sabda Rasulullah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori dan Muslim :

لا تسبوا أصحابي فوالذى نفسي بيده لو أن أحدا أنفق مثل أحد ذهبا ما أدرك مد أحدهم ولا نصيفه

Maksudnya : “Jangan kamu mencaci sahabatku. Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya..kalau sesiapa pun menginfaqkan emas seperti gunung Uhud nescaya ia tidak akan menyamai satu cupak yang diinfaqkan oleh mereka (sahabat) bahkan tidak menyamai setengah cupak”

Kata Ibnu Abbas : “Jangan kamu mencaci sahabat Muhammad. sesungguhnya kedudukan mereka bersama Rasulullah sejenak adalah lebih baik daripada ibadat kamu seumur hidup”.

Kata imam Ahmad ibnu Hambal kepada Abdul Malik ibnu Abdul Humaid al-Maimuni: “wahai Aba Hasan..apabila kamu melihat seseorang menyebutkan perkataan yang tidak baik tentang sahabat maka hendaklah kamu mentohmah keislamannya”- Syarah Usul ‘Iktikad Ahli Sunnah karangan Al-Lalikai.

Kata Abu Zur’ah : “Apabila kamu melihat orang yang merendah-rendahkan sesiapa pun dikalangan sahabat maka ketahuilah orang tersebut adalah zindik (munafik). Ini kerana Rasulullah di sisi kami adalah benar, Al-Quran juga benar. Yang menyampaikan Al-Quran  dan Sunnah Nabi ialah sahabat Baginda. Sesungguhnya mereka hendak menjarh (mengkritik) saksi-saksi kita (sahabat) untuk membatalkan Al-Quran dan Sunnah. Merekalah yang sepatutunya dijarh. Mereka merupakan golongan zindik”.

Kata Ibnu Taimiyah : “dan di antara asas-asas pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah selamat hati dan lidah mereka (daripada perkara yang tidak baik) terhadap sahabat-sahabat Rasulullah….dan mereka berlepas diri daripada sikap golongan rafidhah yang membenci dan mencela sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan nawasib yang menyakiti ahli bait (keluarga) Rasulullah dengan perkataan atau perbuatan. Mereka (ahli Sunnah) juga diam daripada bercakap tentang persengketaan yang berlaku di antara sahabat”- Majmuk Fatawa.

Kata Ibnul Qoyyim : “Sesiapa mencaci sahabat Rasulullah atau salah seorang daripada mereka atau merendah-rendahkan mereka atau menyebut perkara yang tidak baik tentang mereka atau menyindir atau mengaibkan salah seorang daripada mereka maka dia adalah mubtadi’ (pencetus bid’ah), rofidhi (berfahaman rofidhoh yang ciri-ciri mereka mencerca sahabat) yang jijik dan menentang”- Hadi Al-Arwah

Kata Abu Ja’far At-Tohawi : dan kami (ahli Sunnah) mengasihi sahabat Rasulullah dan tidak melampau dalam mengasihi mereka. Kami tidak berlepas diri daripada mereka. Kami membenci orang yang membenci mereka atau menyebutkan keburukkan tentang mereka. Kami tidak mengatakan melainkan kebaikkan. Kasih kepada mereka (sahabat) merupakan ajaran agama dan keimanan dan ihsan. Bencikan mereka merupakan kekufuran, nifaq (sikap munafik) dan melampaui batas”- Akidah Tohawiyah.

            Inilah sebahagian nas dan kalam salafus soleh tentang sikap ahli sunnah terhadap sahabat. Sesiapa yang melalui jalan yang lain dengan mencela sahabat atau pun salah seorang daripada mereka maka dia merupakan ahli bid’ah, orang yang terjerumus ke dalam dosa nifaq wal’iyazubillah.

            Malangnya di zaman yang penuh fitnah ini orang-orang yang mencaci sahabat disanjung, bahkan ada yang digelar Imam As-Syahid. Apabila tokoh-tokoh mereka yang mencela sahabat tadi dikritik maka orang yang dikritik pula akan diserang dan ditohmah sebagai tidak menghormati ulama besar. Apakah kehormatan orang yang mencela sahabat lebih tinggi daripada kehormatan sahabat Rasulullah?? Apakah orang yang mencela sahabat layak dipanggil ulama?? Ada pula yang cuba berselindung dengan menggambarkan kepada masyarakat seolah-olah masalah ini ada perselisihan dikalangan ulama. Maka orang yang mengkritik individu dan kumpulan yang mencela sahabat digambarkan seolah-olah berada dipihak yang salah dan idola mereka pula berada di pihak yang benar. Ini adalah grisy (غش ) ertinya penipuan dan pengkhianatan kepada umat Islam Wallahul Musta’an

Apa yang disebutkan di atas sudah mencukupi insyaAllah buat orang yang ingin berfikir. Wallahul Muwaffiq.

Perhatian : apa yang ada di antara dua kurungan adalah keterangan penulis

Hukum Menyambut Hari Lahir Nabi (Maulid Nabi)

Saturday, March 7th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Hukum Menyambut Hari Lahir Nabi (Maulid Nabi)

Oleh : Syaikh Abdul Aziz ibnu Baz

 

Soalan : Adakah dibolehkan bagi umat Islam membuat sambutan di masjid untuk mengingati sirah Rasulullah pada malam 12 rabiul awal sempena maulid Nabi dalam keadaan tidak bercuti di siang harinya seperti hari raya. Kami telah berselisih pendapat tentang perkara ini. Ada yang mengatakan ianya bidaah hasanah dan ada yang mengatakan bukan bidaah hasanah

Jawapan Syaikh : Umat islam tidak boleh menyambut maulid nabi pada malam 12 rabiul awal atau pun pada malam-malam yang lain.Begitu juga mereka tidak boleh menyambut hari kelahiran manusia selain baginda. Ini kerana sambutan maulid merupakan sebahagian daripada bidaah yang diada adakan di dalam agama kerana Rasulullah tidak menyambut kelahiran Baginda semasa hidupnya sedangkan Baginda merupakan penyampai agama ini dan melaksanakan syari’at yang datang dari Allah. Baginda tidak menyuruh amalan seperti ini. Begitu juga para khalifah ar-rosyidin dan para sahabat, kesemua mereka tidak melakukan perkara ini. Begitu juga para Tabi’ien yang hidup dikurun yang terbaik. Maka diketahuilah ianya merupakan bid’ah. Sabda Rasulullah :

من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya : ” Sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami ini perkara yang tidak ada di dalamnya maka ianya adalah ditolak”- Muttafaqun ‘Alaih.

Di dalam riwayat Muslim dan disebutkan oleh Al-Bukhori secara mu’allaq dalam bentuk jazam (pasti) :

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد

Maksudnya: “barangsiapa yang melakukan amalan yang tidak ada dalam urusan (agama) kami maka ianya adalah ditolak”.

            Sambutan maulid tidak ada di dalam ajaran baginda, bahkan ia merupakan amalan yang direka-reka dalam agama oleh manusia pada kurun terkemudian. Oleh itu ianya ditolak. Sabda Rasulullah di dalam khutbahnya pada hari Jumaat :

أما بعد : فان خير الحديث كتاب الله وخير الهدي هدي محمد صلى الله عليه وسلم وشرالأمور محدثاتها وكل بدعة ضلالة

Maksudnya : “amma ba’du : sesungguhnya sebaik-baik kalam adalah kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan dan setiap bid’ah adalah kesesatan”.

Riwayat Muslim di dalam kitab sohihnya. Iman An-Nasai juga meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang jayyid dengan tambahan :

وكل ضلالة فى النار

“dan setiap kesesatan itu di dalam neraka”.

            Tidak perlu mengadakan sambutan maulid. Mencukupi dengan mengajar sirah baginda, riwayat hidup baginda di zaman jahiliyah dan Islam di sekolah-sekolah, masjid-masjid dan tempat yang lain. Dimasukkan ke dalam pengajaran ini keterangan tentang perkara yang berkaitan kelahiran baginda dan tarikh kewafatannya tanpa perlu mengadakan sambutan yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak ada sandaran dalil syara’. Wallahul musta’an.

Kita memohon kepada Allah hidayat dan taufiq buat semua umat Islam agar mereka merasa cukup dengan beramal dengan Sunnah dan berjaga-jaga dengan bid’ah.

 

Sumber : Laman Web Rasmi Syaikh Ibnu Baz

Penterjemah : Al Ustadz Abu Auzaie

Rencana Umrah dan Silaturahmi dengan Ulama 1430H

Sunday, March 1st, 2009

Bismillahirrahmaanirrahiim

Rencana Umrah dan bersilaturahmi/berkunjung dengan para ulama ahlussunnah wal jamaah (salafy) di Madinah dan Mekah, InsyaAllah akan diadakan pada 1430H (perkiraan tanggal 16-26 May 2009).

Hal yang perlu dipersiapkan:

- Passport (6 months validity), - registration/confirmation minimum 1 months before, - traveling fee sekitar 5200RM dan other administration requirements.

Informasi details insyaAllah diberitahukan kemudian.

Barokallahufik

Muhammad AG/Abu Qonitah