Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah-2

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas-Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Oleh: Al Ustadz Abu Auzaie

 

Siri 2 :

 

Mengasihi Sahabat Rasulullah Dan Memuliakan Mereka, Tidak Menyebut Perkataan Yang Tidak Baik Terhadap Mereka

            Inilah jalan orang-orang yang beriman. Mereka mengetahui kedudukan para sahabat di sisi Allah dan Rasul-Nya. Sahabat merupakan generasi yang mendapat pujian Allah di dalam Al-Quran yang dibaca sehingga ke hari kiamat. Firman-Nya :

للفقراء المهاجرين الذين أخرجوا من ديارهم وأموالهم يبتغون فضلا من الله ورضوانا وينصرون الله ورسوله أولئك هم الصادقون 0 والذين تبوؤ الدار والايمان من قبلهم يحبون من هاجر اليهم ولايجدون فى صدورهم حاجة مما أوتوا ويؤثرون على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة ومن يوقى شح نفسه فأولئك هم المفلحون

Maksudnya : “dan bagi golongan fakir muhajirin yang diusir dari tempat tinggal dan harta mereka, mereka mencari anugerah dari Rob mereka dan keredhoan-Nya, dan mereka menolong Allah dan rasul-Nya..mereka itulah orang-orang yang benar 0 dan orang-orang yang tinggal di negeri (Madinah) dan beriman sebelum kedatangan muhajirin, mereka kasih kepada orang yang berhijrah kepada mereka dan tidak  ada dalam diri mereka keinginan terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang muhajirin, mereka mendahulukan orang-orang muhajirin ke atas diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri dalam keadaan kesusahan. Sesiapa yang dilindungi daripada sikap bakhil yang ada dalam dirinya maka mereka itulah orang yang berjaya”- al-Hasyr 8/9.

            Allah telah meredhoi golongan muhajirin dan ansor sebagaimana disebutkan dalam surah At-Taubah ayat 100. Anugerah dan pujian ini tidak akan kita temui pada mana-mana generasi selepas mereka. Orang yang berakal tentu menyedari tentang tingginya kedudukan para sahabat di sisi Allah dan Rasul-Nya. Adalah tidak layak bahkan satu kesalahan yang besar sekiranya ada manusia yang menyebut perkataan yang tidak baik terhadap sahabat apatah lagi mencaci dan menghina mereka. Bagaimana dia boleh mencaci generasi yang dipuji, dikasihi dan diredhoi Allah dan Rasul-Nya??? Apakah orang yang mencaci tersebut tidak pernah mendengar sabda Rasulullah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori dan Muslim :

لا تسبوا أصحابي فوالذى نفسي بيده لو أن أحدا أنفق مثل أحد ذهبا ما أدرك مد أحدهم ولا نصيفه

Maksudnya : “Jangan kamu mencaci sahabatku. Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya..kalau sesiapa pun menginfaqkan emas seperti gunung Uhud nescaya ia tidak akan menyamai satu cupak yang diinfaqkan oleh mereka (sahabat) bahkan tidak menyamai setengah cupak”

Kata Ibnu Abbas : “Jangan kamu mencaci sahabat Muhammad. sesungguhnya kedudukan mereka bersama Rasulullah sejenak adalah lebih baik daripada ibadat kamu seumur hidup”.

Kata imam Ahmad ibnu Hambal kepada Abdul Malik ibnu Abdul Humaid al-Maimuni: “wahai Aba Hasan..apabila kamu melihat seseorang menyebutkan perkataan yang tidak baik tentang sahabat maka hendaklah kamu mentohmah keislamannya”- Syarah Usul ‘Iktikad Ahli Sunnah karangan Al-Lalikai.

Kata Abu Zur’ah : “Apabila kamu melihat orang yang merendah-rendahkan sesiapa pun dikalangan sahabat maka ketahuilah orang tersebut adalah zindik (munafik). Ini kerana Rasulullah di sisi kami adalah benar, Al-Quran juga benar. Yang menyampaikan Al-Quran  dan Sunnah Nabi ialah sahabat Baginda. Sesungguhnya mereka hendak menjarh (mengkritik) saksi-saksi kita (sahabat) untuk membatalkan Al-Quran dan Sunnah. Merekalah yang sepatutunya dijarh. Mereka merupakan golongan zindik”.

Kata Ibnu Taimiyah : “dan di antara asas-asas pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah selamat hati dan lidah mereka (daripada perkara yang tidak baik) terhadap sahabat-sahabat Rasulullah….dan mereka berlepas diri daripada sikap golongan rafidhah yang membenci dan mencela sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan nawasib yang menyakiti ahli bait (keluarga) Rasulullah dengan perkataan atau perbuatan. Mereka (ahli Sunnah) juga diam daripada bercakap tentang persengketaan yang berlaku di antara sahabat”- Majmuk Fatawa.

Kata Ibnul Qoyyim : “Sesiapa mencaci sahabat Rasulullah atau salah seorang daripada mereka atau merendah-rendahkan mereka atau menyebut perkara yang tidak baik tentang mereka atau menyindir atau mengaibkan salah seorang daripada mereka maka dia adalah mubtadi’ (pencetus bid’ah), rofidhi (berfahaman rofidhoh yang ciri-ciri mereka mencerca sahabat) yang jijik dan menentang”- Hadi Al-Arwah

Kata Abu Ja’far At-Tohawi : dan kami (ahli Sunnah) mengasihi sahabat Rasulullah dan tidak melampau dalam mengasihi mereka. Kami tidak berlepas diri daripada mereka. Kami membenci orang yang membenci mereka atau menyebutkan keburukkan tentang mereka. Kami tidak mengatakan melainkan kebaikkan. Kasih kepada mereka (sahabat) merupakan ajaran agama dan keimanan dan ihsan. Bencikan mereka merupakan kekufuran, nifaq (sikap munafik) dan melampaui batas”- Akidah Tohawiyah.

            Inilah sebahagian nas dan kalam salafus soleh tentang sikap ahli sunnah terhadap sahabat. Sesiapa yang melalui jalan yang lain dengan mencela sahabat atau pun salah seorang daripada mereka maka dia merupakan ahli bid’ah, orang yang terjerumus ke dalam dosa nifaq wal’iyazubillah.

            Malangnya di zaman yang penuh fitnah ini orang-orang yang mencaci sahabat disanjung, bahkan ada yang digelar Imam As-Syahid. Apabila tokoh-tokoh mereka yang mencela sahabat tadi dikritik maka orang yang dikritik pula akan diserang dan ditohmah sebagai tidak menghormati ulama besar. Apakah kehormatan orang yang mencela sahabat lebih tinggi daripada kehormatan sahabat Rasulullah?? Apakah orang yang mencela sahabat layak dipanggil ulama?? Ada pula yang cuba berselindung dengan menggambarkan kepada masyarakat seolah-olah masalah ini ada perselisihan dikalangan ulama. Maka orang yang mengkritik individu dan kumpulan yang mencela sahabat digambarkan seolah-olah berada dipihak yang salah dan idola mereka pula berada di pihak yang benar. Ini adalah grisy (غش ) ertinya penipuan dan pengkhianatan kepada umat Islam Wallahul Musta’an

Apa yang disebutkan di atas sudah mencukupi insyaAllah buat orang yang ingin berfikir. Wallahul Muwaffiq.

Perhatian : apa yang ada di antara dua kurungan adalah keterangan penulis

Last 5 posts in Manhaj

Leave a Reply