Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa (Tafsir-2)

بسم الله الرحمن الرحيم

Al-Quran Petunjuk Buat Orang Bertaqwa

Ustadz Abu Auzaie

 

Sambungan…

 

            Pada siri yang lalu kita telah mengetahui sebahagian daripada ciri-ciri orang yang bertaqwa iaitu beriman dengan perkara yang ghaib dan mendirikan solat. InsyaAllah artikel ini akan menyambung keterangan tentang ciri-ciri tersebut yang merupakan sambungan bagi ayat 2dalam surah al-Baqoroh iaitu firman Allah :

ومما رزقناهم ينفقون

Maksudnya : “dan mereka membelanjakan sebahagian daripada apa yang Aku berikan rezeki kepada mereka”.

Kata Syaikh As-Sa’di : “Termasuk dalam perbelanjaan (infaq) tersebut infaq yang wajib seperti zakat, nafkah buat isteri, ahli keluarga, hamba abdi dan yang seumpamanya. Juga infaq yang mustahab (sunat) dalam semua bentuk perbelanjaan yang baik”.

Menginfaqkan (membelanjakan) harta pada jalan yang diredhoi Allah merupakan ciri orang yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi kedekut dengan harta yang dimiliki kerana harta tersebut merupakan anugerah Allah, bukan datang dengan kepandaian dan usaha mereka semata-mata. Berapa ramai orang yang bekerja keras dan bersusah payah untuk mendapatkan harta akan tetapi mereka tidak memperolehi apa yang mereka inginkan. Kata Syaikh As-Sa’di : “kata-Nya : (yang Aku berikan rezeki kepada mereka) menunjukkan harta-harta yang ada ditangan kamu tidak tercapai dengan kekuatan dan kuasa kamu. Akan tetapi ia merupakan rezeki dari Allah yang memberikan nikmat tersebut kepada kamu. Sebagaimana Dia memberi nikmat ke atas kamu dan memberikan kelebihan buat kamu ke atas ramai hamba-hamba-Nya maka hendaklah kamu  bersyukur kepada-Nya dengan menginfaqkan sebahagian daripada nikmat tersebut dan berkongsilah dengan saudara-saudara kamu yang tidak memiliki”.

Kemudian Allah menyebutkan lagi tentang ciri-ciri orang bertaqwa dalam ayat 3 dengan firman-Nya :

والذين يؤمنون بما أنزل اليك وما أنزل من قبل

Maksudnya : “dan orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan kepada orang-orang sebelum kamu”.

Syaikh As-Sa’di menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan “apa yang diturunkan kepada kamu” ialah Al-Quran dan Sunnah. Kedua-duanya merupakan wahyu Allah. Firman Allah :

وأنزل الله عليك الكتاب والحكمة

“dan Allah turunkan kepada kamu Al-Kitab dan Hikmat” iaitu Sunnah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Kathir di dalam tafsirnya.

Kata beliau (As-Sa’di) : “orang-orang yang bertaqwa beriman dengan kesemua perkara yang dibawa oleh Rasulullah dan tidak membeza-bezakan di antara perkara tersebut dengan mempercayai sebahagian daripadanya dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain dengan mengingkarinya atau mengubahnya kepada maksud yang tidak dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya sebagaimana yang dilakukan oleh para mubtadi’ (pencetus bid’ah) yang memesongkan maksud nas-nas yang bertentangan dengan pendapat mereka. Akhirnya mereka tidak beriman dengan maknanya walaupun mereka membenarkan (mempercayai) lafaznya. Mereka ini tidaklah beriman dengan keimanan yang sebenar”.

Mereka juga beriman dengan kitab-kitab yang terdahulu seperti Taurat, Injil dan Zabur. Kesemuanya datang dari Allah. Sesiapa yang tidak beriman dengan penurunan kitab ini daripada Allah maka dia orang yang kufur, yang mendustakan wahyu Allah.

وبالآخرة هم يوقنون

Maksudnya : ” dan mereka itu yakin dengan adanya hari akhirat”.

Orang-orang yang bertaqwa yakin dengan adanya hari kiamat. Hari yang mana manusia akan dibangkitkan untuk menerima pembalasan terhadap apa yang mereka lakukan di dunia dahulu. Keyakian yang tidak langsung bercampur dengan perasaan syak dan ragu-ragu. Keyakinan yang seperti inilah yang menjadikan seorang muslim patuh dan taat kepada Robnya kerana dia tahu bahawa dia akan berhadapan dengan pengadilan di hari kiamat untuk menentukan kesudahan hidupnya sama ada bahagia di dalam syurga Allah atau sengsara dengan azab di dalam neraka disebabkan dosa yang telah dia lakukan di dunia dahulu.

Demikianlah sebahagian daripada ciri-ciri orang yang bertaqwa. Mereka inilah yang akan mendapat petunjuk dari Allah dan memperolehi kejayaan.

أولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون

Maksudnya : “mereka itulah orang-orang yang berada di atas petunjuk daripada Rob mereka dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

Manakah kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan yang dijanjikan oleh Allah? Manakah kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan mencapai syurga Allah dan keredhoan-Nya serta selamat daripada azab-Nya?

Sekiranya kamu berfikir…..

Last 5 posts in Tafsir Al-Quran

Leave a Reply