Pengertian Ilmu Fiqh (1)
بسم الله الرحمن الرحيم
Pengertian Ilmu Fiqh
Oleh : Fadhilatus Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibnu ‘Usaimin رحمه الله
Makna ‘Fiqh’ dari sudut bahasa : kefahaman. Antaranya firman Allah ta’ala :
ولكن لا تفقهون تسبيحهم
Ertinya: “akan tetapi kamu tak memahami tasbih mereka”- Al-Isra’ 44.
Firman-Nya lagi :
قالوا يا شعيب ما نفقه كثيرا مما تقول
Ertinya : “kata mereka : wahai Syu’aib kami tak faham kebanyakkan daripada apa yang kamu perkatakan”-Hud 91.
Makna ‘fiqh’ di sini adalah ‘faham’.
Makna fiqh menurut syara’ adalah mengetahui hukum-hakam Allah sama ada berkaitan dengan aqidah dan amali.
Oleh itu kalimah fiqh menurut syara’ bukan terbatas kepada perbuatan orang-orang yang mukallaf atau hukum-hakam berbentuk amali. Bahkan ia merangkumi hukum-hakam aqidah. Sehinggakan sebahagian ulama berkata : “sesungguhnya ilmu aqidah merupakan ‘Fiqh Al-Akbar’ (ilmu fiqh yang paling utama). Ini adalah benar kerana kamu tidak akan dapat melakukan ibadat kepada ma’bud (iaitu Allah) melainkan setelah mengetahui cara mentauhidkan-Nya dari segi rububiyah-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya dan uluhiyah-Nya. Kalau tidak maka bagaimana kamu hendak beribadat kepada sesuatu yang tidak dikenali? Oleh itu asas yang pertama adalah tauhid. Maka layaklah ia dinamakan ‘Fiqh Al-Akbar’.
Makna Fiqh menurut istilah : mengenali hukum-hakam yang amali dengan dalil-dalilnya secara terperinci.
Kata-kata kami ‘mengenali’, tidak kami mengatakan mengetahui kerana fiqh itu sama ada berdasarkan ilmu (yang pasti) atau pun dzon (tanggapan yang lebih mirip kepada ilmu). Tidak semua permasalahan fiqh diketahui secara qath’i (pasti). Banyak permasalahan yang dibina berdasarkan ‘dzon’. Ini banyak berlaku pada masalah yang berlandaskan ijtihad yang tidak sampai ke tahap keyakinan yang putus. Akan tetapi Allah tidak mentaklifkan ke atas sesuatu jiwa melainkan berdasarkan kemampuannya. Maka kata-kata kami ‘mengenali’ untuk merangkumi ilmu dan dzon.
Kata-kata kami ‘yang amali’ mengelakkan (percampuran) dengan hukum-hakam aqidah. Ianya tidak termasuk di dalam ilmu fiqh mengikut istilah walaupun ia termasuk dalam syariat.
Kata-kata kami ‘dengan dalil-dalil secara terperinci’ mengelakkan (percampuran) dengan ilmu usul fiqh kerana perbahasan dalam usul fiqh berkaitan dengan dalil-dalil yang umum. Adakalanya didatangkan permasalahan secara terperinci sebagai contoh sahaja. Dapat difahami daripada kata-kata kami ‘dengan dalil-dalil’ bahawa sesungguhnya orang yang bertaqlid bukanlah seorang ‘faqih’ kerana dia tidak mengetahui hukum-hakam dengan dalil-dalilnya. Kemampuannya hanyalah mengulang-ulang apa yang ada di dalam kitab sahaja. Ibnu Abdil Bar menukilkan ijma’ tentang perkara ini. Dengan ini kamu mengetahui pentingnya pengetahuan tentang dalil. Seorang penuntut ilmu wajib mengambil permasalahan (agama) dengan dalil-dalilnya. Inilah yang akan menyelamatkannya di sisi Allah ta’ala kerana Allah berkata di hari kiamat :
ما ذا أجبتم المرسلين
Ertinya : “apakah yang kamu sahut (daripada seruan) para rasul”-Al-Qosas 65.
Dia tidak mengatakan : “apakah yang kamu sahut daripada seruan penulis Fulani. Oleh itu tidak boleh tidak mesti kita mengetahui apakah yang diperkatakan oleh para rasul untuk kita beramal dengannya.(yang dimaksudkan di sini ialah Nabi Muhammad yang merupakan rasul akhir zaman).
Akan tetapi bertaklid dibolehkan ketika dharurat berdasarkan firman Allah :
فاسألوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون
Ertinya : “bertanyalah kepada ahli ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui”-An-Nahl 43.
Apabila kita tak mampu mengetahui kebenaran dengan dalilnya maka mestilah kita bertanya. Oleh itu Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata : “bertaklid seperti memakan bangkai. Apabila seseorang mampu mengeluarkan dalil maka tidak halal baginya bertaklid”.
Dipetik dari kitab Syarhul Mumti’ ‘ala Zadil Mustaqni’.
Dinukilkan oleh : Ustadz Abu auzaie
Last 5 posts in Fiqih
- Ibadah Kurban (Ied Adha)-2 - November 5th, 2009
- Tazkirah dari Bencana - October 4th, 2009
- Ibadah Korban (Ied Adha) - October 4th, 2009
- Sholat Malam di Bulan Ramadhan (Tarawikh) - September 1st, 2009
- Shaum (Puasa) Ramadhan-4 - August 23rd, 2009