Archive for April, 2009

Antara Adab Menuntut Ilmu (Nasehat Syaikh Albani)

Sunday, April 19th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

ANTARA ADAB MENUNTUT ILMU: DUDUK BERHIMPUN &

TIDAK BERSELERAK

OLEH SYAIKH AL-ALBANI

 

Kata Syaikh  selepas membacakan khutbah hajah :

            Ternyata perlunya setiap masa memikirkan tentang sebahagian sunnah-sunnah dan adab-adab Islam yang tidak diketahui dan tidak diamalkan. Kami telah mengingatkan banyak kali di dalam majlis-majlis ini iaitu sesungguhnya majlis ilmu mempunyai adab-adab. Diantara adab-adab tersebut ialah tidak boleh (duduk) berteraburan di dalam majlis ilmu. (Adapun) kita duduk seperti ini sebagaimana yang sesuai atau disenangi oleh setiap seorang dari kita…ini bukanlah sekali-kali adab menuntut ilmu. Ini merupakan keadaan duduk di kedai kopi dan kelab-kelab. Seorang datang…yang mana dia tidak datang ke majlis tersebut melainkan untuk merehatkan jiwanya –menurut dakwaan mereka- atau berhibur atau kerana perkara yang lain. Dia bebas untuk duduk di mana saja dan bagaimana yang dia suka.

            Adapun majlis ilmu, ia mempunyai adab. Saya telah menyebutkan kepada kamu banyak kali hadis Abi Sa’labah Al-Khusyari yang berkata : Apabila mereka bermusafir bersama Nabi dan singgah di satu tempat mereka berpecah di lembah-lembah dan celah-celah bukit. Pada suatu hari mereka bermusafir dan singgah di sebuah wadi lalu mereka berpecah sebagaimana yang biasa mereka lakukan dahulu. (Keadaan) berpecah ini menggambarkan kepentingan peribadi yang mana setiap orang daripada mereka memilih tempat yang sesuai untuk dirinya. Yang mempunyai teduhan contohnya. Mereka berpecah sebagaimana kebiasaan mereka. Apabila Nabi melihat (keadaan mereka yang bertaburan tersebut) maka Nabi berkata :

انما تفرقكم هذا من عمل الشيطان

“Sesungguhnya perpecahan kamu ini merupakan sebahagian daripada kerja syaitan”

Ertinya sesungguhnya berpecahnya kamu di lembah dan celah-celah bukit merupakan kerja syaitan. Kata Abu Sa’labah : ‘lalu kami selepas peristiwa tersebut apabila singgah di satu tempat, kami duduk berhimpun sehingga apabila kami duduk di atas sehelai hamparan nescaya ianya mencukupi’.

            Majlis yang paling berhak untuk dijaga adab-adab ini-adab berkumpul- adalah majlis ilmu. Saya tidak mahu memanjangkan percakapan tentang menyatakan rahsia dan hikmah perkumpulan yang ditunjukkan oleh hadis ini. Namun begitu saya nyatakan secara umum…sesungguhnya yang zahir (lahiriyah) merupakan alamat bagi yang batin (dalaman). Pada setiap perkara yang mana umat Islam berpecah pada zahirnya maka pada perpecahan ini mengandungi kesan yang buruk terhadap batin mereka. Lahiriyah mempunyai hubungan yang amat kuat dengan dalaman. Kita mempunyai dalil yang amat banyak. Namun begitu mencukupi dengan petunjuk ringkas ini. Perpecahan tubuh badan tersebut membawa kepada perpecahan hati. Ini merupakan hakikat yang dijelaskan oleh syara’. Kita mempunyai dalil bagi perkara ini. Mencukupi sekarang dengan selingan ini.

 

Sumber: sahab.net

Penterjemah: Ustadz Abu Auzaie

Asas Pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah-3

Wednesday, April 8th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah

Al Ustadz Abu Auzaie

 

Siri 3 :

Beriman Dengan Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Hari Kebangkitan dan Qadar Yang Baik dan Yang Buruk

            Perkara di atas dipanggil rukun iman. Rasulullah  ketika ditanya oleh Jibril tentang iman baginda menjawab :

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره

“kamu beriman dengan Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan qadar yang baik dan yang buruk”- riwayat Muslim.

Kata Syaikh Muhammad ibnu Soleh Al-Uthaimin : “Iman mengandungi makna yang lebih daripada sekadar membenarkan. Ianya adalah pengakuan yang memestikan penerimaan berita-berita (yang dibawa oleh rasul Allah-penterjemah) dan tunduk kepada hukum-hakam-Nya. Inilah  iman yang sebenar. Adapun sekadar percaya tentang kewujudan Allah ini tidaklah dinamakan iman sehinggalah keimanan ini menjelmakan sikap menerima berita-berita dan tunduk kepada hukum-hukum. Jika tidak maka tidaklah dinamakan keimanan.

Beriman dengan Allah mengandungi 4 perkara :

1.  Beriman dengan kewujudan-Nya.

2.  Beriman dengan rububiyah-Nya. Ertinya Dia hanya satu-satunya yang berhak

     terhadap ciri rububiyah.

3.  Beriman dengan uluhiyah Allah yang hanya untuk-Nya

4.  Beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya”- dipetik dari syarahan kitab

     Al-Akidah Al-Wasithiyah.

            Makna beriman dengan rububiyah Allah ialah kamu beriktikad bahawa pencipta, pentadbir, penguasa dan pemberi rezeki kepada segala yang ada di alam ini ialah Allah. Tiada sesatu pun yang berkongsi atau menyaingi Allah dalam rububiyah-Nya. Kesemua perkara yang selain daripada Allah dipanggil ‘alam’ samada langit, bumi, para malaikat, jin, manusia, syurga, neraka dan sebagainya. Kesemua perkara ini adalah ciptaan Allah dan tunduk kepada kuasa serta tadbir-Nya.

            Makna beriman dengan uluhiyah Allah ialah kamu beriktikad tiada ‘ilah’ yang berhak dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah. ‘ilah’ ertinya yang dilakukan ibadat atau disembah. Inilah pengertian kalimah tauhid ( لا اله الا الله ). Ia membawa makna mengikhlaskan apa jua bentuk ibadat hanya kepada Allah. Tiada yang berhak disembah melainkan Allah. Ibadat pula ialah nama yang merangkumi kesemua perkara yang diredhoi Allah dan dikasihi-Nya. Kita pula tidak mengetahui sesuatu perkara merupakan perkara yang disukai Allah dan diredhoi-Nya melainkan dengan wahyu Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu kita tidak boleh melakukan ibadat melainkan dengan adanya sandaran dalil daripada Al-Quran dan Hadis. Ibadat tidaklah terbatas kepada amalan yang zahir sahaja seperti solat, puasa, haji dan sebagainya sebagaimana yang difahami oleh ramai manusia. Bahkan ia merangkumi amalah hati seperti tawakal, perasaan takut, pengharapan, rasa kasih dan sebagainya. Kesemua jenis ibadat ini tidak boleh kita lakukan kepada selain Allah atau wujudnya perkongsian dengan Allah (syirik).

            Makna beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah ialah kita beriman dengan kesemua nama dan sifat yang Allah nyatakan tentang diri-Nya di dalam Al-Quran dan nama dan sifat yang Rasulullah nyatakan di dalam hadis yang soheh tanpa kita memesongkan makna yang terkandung di dalam nama dan sifat tersebut ( تحريف ) atau menyamakannya dengan sifat-sifat makhluk ( تمثيل ) ataupun menanyakan bagaimana sifat Allah ( تكييف ) atau pun menafikannya ( تعطيل ). Sesiapa yang inginkan I’tikad yang betul tentang nama-nama dan sifat Allah bacalah ayat berikut :

ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

Maksudnya “Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”-As-Syuro 11

Kata-kata-Nya : (tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya) menolak tanggapan bahawa sifat Allah itu sama dengan sifat makhluk-Nya. Apabila kita mengatakan bahawa Allah Maha Mendengar, maknanya kita beriman di antara sifat Allah ialah Dia mendengar. Akan tetapi pendengaran Allah tidak sama dengan pendengaran makhluk seperti kita. Pendengaran Allah sesuai dengan kebesaran-Nya, kesempurnaan-Nya dan kemuliaan-Nya yang tidak bercampur dengan keaiban atau kekurangan. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain. Ayat ini menolak pegangan yang batil yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk ( تمثيل ).

Kata-katanya (dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) menolak fahaman yang menafikan adanya sifat bagi Allah dengan alasan kalau kita mengatakan Allah mendengar contohnya, maknanya kita menyamakan Allah dengan makhluk sebab manusia juga mendengar, haiwan dan jin juga mendengar. Golongan ini dipanggil ‘mu’atthilah’. Disebutkan bahawa orang yang mula-mula membawa fahaman yang sesat ini ialah ja’d ibnu dirham yang menafikan bahawa Allah mengambil Nabi Ibrahim sebagai kholil-Nya dan mengingkari bahawa Allah bercakap dengan Nabi Musa. Fahaman ini disebarkan oleh jahm ibnu sofwan lalu timbullah fitnah dikalangan umat Islam dengan wujudnya aliran yang menafikan sifat-sifat Allah. Mereka ini beriman dengan lafaz Al-Quran tapi tidak beriman dengan maknanya. Amat buruk apa yang mereka lakukan.

            Golongan ketiga yang menyimpang daripada fahaman salafus soleh ialah orang-orang yang beriman dengan sebahagian sifat seperti : Allah melihat, mengetahui, mendengar, hidup, berkehendak dan sebagainya, akan tetapi menafikan yang lainnya. Mana-mana sifat yang tidak sesuai dengan kebesaran Allah -menurut akal mereka yang rosak- mereka tolak dan ubah maknanya berdasarkan pandangan dan akal mereka semata-mata. Contohnya mereka menafikan bahawa Allah berada di atas arasy, Allah turun ke langit dunia pada 1/3 malam yang terakhir, Allah datang pada hari kiamat dan sebagainya. Punca rosaknya golongan ini ialah tidak mengikuti jalan salafus soleh dalam memahami nas-nas Al-Quran dan Hadis yang menyatakan tentang sifat Allah. Amatilah isi kandungan ayat di atas. Kita akan memperolehi akidah yang murni seperti akidah para sahabat dan orang yang mengikuti jalan mereka. Apabila kita beriktikad bahawa sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk ( ليس كمثله شيء ) maka tidaklah kita menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Sifat Allah sesuai dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya manakala sifat makhluk sesuai dengan kelemahan dan kekurangan-Nya. Kalaulah mereka (ahli tahrif) beriman bahawa Allah mendengar, Allah melihat, Allah mengetahui, tidakkah manusia juga mendengar melihat dan mengetahui? Sudah tentu mereka akan mengatakan sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk. Sifat Allah sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Kenapa pula mereka beriman dengan sifat-sifat ini dan menafikan bahawa Allah berada di atas arasy’, Allah turun ke langit dunia, Allah mempunyai wajah dan sebagainya? Sedangkan sifat-sifat ini disebutkan juga di dalam Al-Quran dan Hadis. Adakah susah untuk kita beriman bahawa Allah berada di atas arasy dalam bentuk yang sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Tidak sama dengan makhluk, Apakah yang menjadikan mereka beriman dengan sebahagiannya dan menolak sebahagian yang lain? Adakah di sana penjelasan dari Nabi atau para sahabat yang menyuruh kita mengubah makna ayat-ayat tersebut? Orang yang melihat pendapat-pendapat mereka akan mengetahui bahawa tafsiran yang mereka buat tentang nas-nas sifat tersebut hanya berdasarkan akal mereka semata-mata dengan berselindung di sebalik ilmu bahasa. Mana yang diterima akal mereka diambil dan mana yang tidak dapat diterima akal ditolak. Ini bukanlah jalan salafus soleh. Salafus soleh beriman dengan semua sifat tanpa mengubah maknanya, mereka beriman bahawa Allah berada di atas arasy sesuai dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya, Allah turun ke langit dunia, Allah mempunyai wajah, mempunyai tangan sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Tidak sama dengan sifat makhluk sebagaimana mereka beriman bahawa Allah mendengar, melihat akan tetapi pendengaran Allah dan penglihatan-Nya tidak sama dengan makhluk.

            Ahli Sunnah juga tidak membayangkan atau bertanya bagaimanakah sifat Allah ( تكييف ). Mereka tidak berkata: bagaimanakah Allah mendengar? Bagaimanakah wajah dan tangan Allah? Bagaimanakah Allah berada di atas arasy? Bahkan mereka beriman dengan sifat-sifat tersebut dan yakin ianya mempunyai bentuk ( كيفية ) yang tidak dapat diketahui oleh akal manusia yang lemah, akan tetapi mereka tidak menanyakan tentang bentuk tersebut. Inilah jalan salafus soleh.

            Sebahagian manusia menyangka bahawa mazhab salafus soleh dalam beriman dengan nama dan sifat Allah adalah tafwidh (menyerahkan kepada Allah tentang maknanya). Ini adalah batil kerana golongan mufawwidhoh bukan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Salafus Soleh hanya menyerahkan kepada Allah tentang kaifiyah. Mereka beriman dengan lafaz dan maknanya, bukan mereka diam daripada memperkatakan dan meyakini maknanya.

            Kesimpulannya, cara Ahli Sunnah Wal Jamaah, salafus Soleh dalam beriman dengan nama dan sifat Allah ialah :

1.  Beriman dengan semua nama dan sifat yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran dan disebutkan oleh Rasulullah di dalam hadis yang soheh.

2.  Beriman dengan lafaz dan makna yang terkandung dalam nama dan sifat tersebut dengan tidak menafikan maknanya atau mengubahnya kepada maksud yang lain berdasarkan kefahaman sendiri dan akal semata-mata.

3.  Tidak menanyakan kaifiyah (bentuk) sifat Allah kerana salafus soleh tidak menimbulkan persoalan tentang kaifiyah.

4.  Beri’tikad bahawa sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk.

            Inilah penjelasan ringkas tentang cara Ahli Sunnah beriman dengan sifat Allah. insyaAllah akan dibahaskan permasalahan ini secara lebih ilmiyah pada masa akan datang dengan menyebutkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis dan kata-kata ulama.

والله يهدي من يشاء الى صراط مستقيم

Nasehat Ulama Tentang Gerakan Dakwah

Friday, April 3rd, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Nasihat Syaikh Soleh Fauzan Tentang Kemunculan Banyak Gerakan Dakwah Dan Kemasukkan Aliran Yang Berbagai-bagai.

            Nasihat kami supaya berjaga-jaga dengan kemunculan aliran ini. Hendaklah menumpukan kepada tanggungjawab menuntut ilmu daripada ahlinya. Menuntut ilmu yang bermanfaat daripada ahli ilmu yang dipercayai dan dikenali sama ada di sekolah-sekolah rasmi, di maahad, fakulti-fakulti(1) atau di masjid atau halakah-halakah ilmu. Hendaklah menumpukan kepada tanggungjawab menuntut ilmu dan berjaga-jaga daripada belajar dengan buku dan pembacaan kitab semata-mata. Ini kerana pada masa sekarang telah wujud orang yang tidak pergi kepada ulama, tidak duduk bersama ulama, tidak belajar sama ada di pengajian rasmi atau tidak rasmi. Bahkan dia merasa cukup dengan membaca kitab, kemudian menonjolkan dirinya kepada manusia seolah-olah dia seorang alim yang mempunyai lautan ilmu. Dia berfatwa dan bercakap sedangkan dia lebih jahil daripada keldai peliharaannya.

(1) Hal ini hanya sesuai bagi situasi yang ada di sekolah-sekolah dan universiti di Saudi sahaja kerana di sana tidak ada kemungkaran seperti ikhtilat, pembelajaran ilmu-ilmu yang merosakkan seperti ilmu kalam, falsafah dan sebagainya-penterjemah.

Sumber : sahab.net

Penterjemah : Ustadz Abu Auzaie

Fatwa Ulama Tentang ‘April Fool’

Friday, April 3rd, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم                              

Fatwa Tentang ‘April Fool’

 Oleh : Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibnu Uthaimin رحمه الله

 

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

 

Soalan : Adakah boleh berbohong dalam keadaan bergurau.

 Jawapan Syaikh : Berbohong tidak dibenarkan sama ada bergurau atau serius kerana ia merupakan akhlak yang dicela yang mana tidak bersifat dengan sifat ini melainkan munafiq. Amat menyedihkan apabila kita banyak mendengar sebahagian manusia membahagikan perbohongan kepada 2 bahagian : ‘bohong putih’ dan ‘bohong hitam’. Apabila timbulnya mudhorat seperti memakan harta atau sikap melampaui batas atau yang seumpamaannya maka menurut mereka itu adalah bohong hitam. Apabila tidak ada unsur-unsur seperti itu maka ia adalah bohong putih.Ini adalah pembahagian yang batil. Bohong semuanya hitam.Namun ia bertambah hitam setiap kali ia mendatangkan mudhorat yang lebih besar.

            Sempena topik ini saya ingin mengingatkan saudara saya umat Islam agar menghindarkan diri daripada apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia yang tidak cerdik dengan apa yang dipanggil ‘April Fool’ yang saya rasa tidak lama lagi. Pembohongan seperti ini yang diambil daripada orang yahudi, nasrani,majusi dan orang kuffar. Kemudian disamping ianya adalah dusta dan pendustaan adalah haram menurut syara’, ianya perbuatan yang menyerupai orang bukan Islam. Menyerupai bukan Islam adalah haram. Baginda telah bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya : “sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian daripada mereka”. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiah: Sanadnya Jayyid.

Kedudukan yang paling minima adalah haram walaupun zahirnya membawa erti kekufuran orang yang menyerupai mereka (golongan kuffar).Pembohongan (April fool) ini disamping ianya mengandungi 2 larangan tersebut, ia juga menjatuhkan martabat seorang muslim di hadapan musuhnya. Ini kerana sudah sedia maklum pada tabiat kejadian manusia, orang yang ditiru perbuatannya akan berbangga ke atas orang yang meniru dan dia merasakan bahawa dirinya lebih kehadapan daripada orang yang meniru perbuatannya oleh kerana si peniru menjadi lemah sehingga sanggup menjadi orang yang meniru. Oleh itu pembohongan dalam april fool ini merupakan penghinaan terhadap orang mukmin kerana dia menjadi rendah diri dan mengikut orang-orang kuffar.

            Larangan yang keempat: kebanyakan daripada pembohongan ini adalah jijik , mengandungi perbuatan memakan harta secara batil atau menakutkan muslim yang lain. Barangkali dia berbohong mengatakan kepada orang lain: akan datang tetamu hari ini. Lalu orang tadi memasak makanan yang banyak, lauk daging dan seumpamanya. Barangkali juga dia bergurau dengan perkara yang menakutkan orang lain seperti katanya: penjaga kamu dilanggar kereta dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan walaupun bukan pada situasi ini. Hendaklah seorang muslim bertaqwa kepada Allah, berbangga dengan agamanya dan memandang tinggi terhadap agamanya supaya musuh umat Islam gerun kepadanya dan menghormatinya. Saya jamin buat setiap orang yang mempunyai perasaan bangga dengan agamanya dia akan menjadi mulia di hadapan manusia. Sesiapa yang merasa rendah diri di hadapan musuhnya dia akan menjadi orang yang paling hina di hadapan manusia, di sisi Allah dan di sisi musuh-musuhnya. Janganlah kamu menyangka -wahai muslim- perbuatan kamu meniru orang-orang kuffar dan mengikut perangai mereka akan menjadikan kamu mulia pada pandangan mereka. Bahkan ia merupakan kemuncak kehinaan. Kamu mengetahui tentang ini. Kalaulah seseorang mencontohi perbuatan kamu maka kamu akan merasakan kebanggaan buat diri kamu berbanding orang tersebut. Kamu akan merasakan dia lebih rendah di hadapan kamu kerana perbuatannya meniru-niru diri kamu. Perkara ini sudah diketahui dan dimaklumi berdasarkan tabiat manusia. Setiap kali musuh kita melihat kita kuat dan merasa mulia dengan agama kita, tidak mempedulikan mereka, tidak bergaul dengan mereka melainkan berdasarkan tunjuk ajar syara’ yang merupakan syari’at untuk sekian alam selepas kebangkitan Muhammad :

قل يأيها الناس انى رسول الله اليكم جميعا

“katakanlah : wahai sekalian manusia sesungguhnya aku merupakan rasul Allah kepada kamu semua”-maksud ayat.

Telah soheh daripada Nabi baginda berkata:

والذى نفسي بيده لا يسمع بي يهودي ولا نصراني ثم لا يؤمن بما جئت به الا كان من أهل النار

“demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, tidaklah seorang yahudi atau nasrani mendengar tentang diriku kemudian dia tidak beriman dengan agama yang aku bawa melainkan dia akan menjadi ahli neraka”- hadis.

            Kalaulah ini keadaan ahli kitab maka bagaimana dengan orang-orang kuffar yang lain? Setiap yang mendengar tentang Muhammad dan tidak mengikutnya maka dia merupakan ahli neraka. Kalaulah keadaanya seperti ini kenapakah kita orang-orang Islam merendahkan diri kita dan mengikut orang lain? Kita semua mengetahui dialog yang terjadi antara hercules maharaja rom dengan abu sufian yang kafir (sebelum dia memeluk Islam). Ketika mana abu sufian mengelak untuk berdusta tentang Nabi Muhammad kerana bimbang akan dipersoalkan tentang pendustaannya sedangkan dia ingin berdusta untuk menjatuhkan Nabi. Kalaulah orang kafir seperti ini keadaannya maka mengapakah kamu wahai orang mukmin boleh berdusta.

والله الموفق

 

Sumber : laman web syaikh Ibnu Uthaimin

Penterjemah : Ustadz Abu Auzaie

 

Faedah tambahan daripada hadis Rasulullah :

ان الصدق يهدى الى البر وان البر يهدى الى الجنة , وان الرجل ليصدق حتى يكتب عند الله صديقا , وان الكذب يهدى الى الفجور وان الفجور يهدى الى النار, وان الرجل ليكذب حتى يكتب عند الله كذاب

“Sesungguhnya bercakap benar membawa kepada kebaikan dan kebaikan pula membawa ke syurga. Sentiasalah seseorang itu bercakap benar sehinggalah dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Sesungguhnya berdusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Sentiasalah seseorang itu berdusta sehinggalah dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta”- muttafaqun ‘alaih