Asas Pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah-3

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah

Al Ustadz Abu Auzaie

 

Siri 3 :

Beriman Dengan Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Hari Kebangkitan dan Qadar Yang Baik dan Yang Buruk

            Perkara di atas dipanggil rukun iman. Rasulullah  ketika ditanya oleh Jibril tentang iman baginda menjawab :

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره

“kamu beriman dengan Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan qadar yang baik dan yang buruk”- riwayat Muslim.

Kata Syaikh Muhammad ibnu Soleh Al-Uthaimin : “Iman mengandungi makna yang lebih daripada sekadar membenarkan. Ianya adalah pengakuan yang memestikan penerimaan berita-berita (yang dibawa oleh rasul Allah-penterjemah) dan tunduk kepada hukum-hakam-Nya. Inilah  iman yang sebenar. Adapun sekadar percaya tentang kewujudan Allah ini tidaklah dinamakan iman sehinggalah keimanan ini menjelmakan sikap menerima berita-berita dan tunduk kepada hukum-hukum. Jika tidak maka tidaklah dinamakan keimanan.

Beriman dengan Allah mengandungi 4 perkara :

1.  Beriman dengan kewujudan-Nya.

2.  Beriman dengan rububiyah-Nya. Ertinya Dia hanya satu-satunya yang berhak

     terhadap ciri rububiyah.

3.  Beriman dengan uluhiyah Allah yang hanya untuk-Nya

4.  Beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya”- dipetik dari syarahan kitab

     Al-Akidah Al-Wasithiyah.

            Makna beriman dengan rububiyah Allah ialah kamu beriktikad bahawa pencipta, pentadbir, penguasa dan pemberi rezeki kepada segala yang ada di alam ini ialah Allah. Tiada sesatu pun yang berkongsi atau menyaingi Allah dalam rububiyah-Nya. Kesemua perkara yang selain daripada Allah dipanggil ‘alam’ samada langit, bumi, para malaikat, jin, manusia, syurga, neraka dan sebagainya. Kesemua perkara ini adalah ciptaan Allah dan tunduk kepada kuasa serta tadbir-Nya.

            Makna beriman dengan uluhiyah Allah ialah kamu beriktikad tiada ‘ilah’ yang berhak dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah. ‘ilah’ ertinya yang dilakukan ibadat atau disembah. Inilah pengertian kalimah tauhid ( لا اله الا الله ). Ia membawa makna mengikhlaskan apa jua bentuk ibadat hanya kepada Allah. Tiada yang berhak disembah melainkan Allah. Ibadat pula ialah nama yang merangkumi kesemua perkara yang diredhoi Allah dan dikasihi-Nya. Kita pula tidak mengetahui sesuatu perkara merupakan perkara yang disukai Allah dan diredhoi-Nya melainkan dengan wahyu Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu kita tidak boleh melakukan ibadat melainkan dengan adanya sandaran dalil daripada Al-Quran dan Hadis. Ibadat tidaklah terbatas kepada amalan yang zahir sahaja seperti solat, puasa, haji dan sebagainya sebagaimana yang difahami oleh ramai manusia. Bahkan ia merangkumi amalah hati seperti tawakal, perasaan takut, pengharapan, rasa kasih dan sebagainya. Kesemua jenis ibadat ini tidak boleh kita lakukan kepada selain Allah atau wujudnya perkongsian dengan Allah (syirik).

            Makna beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah ialah kita beriman dengan kesemua nama dan sifat yang Allah nyatakan tentang diri-Nya di dalam Al-Quran dan nama dan sifat yang Rasulullah nyatakan di dalam hadis yang soheh tanpa kita memesongkan makna yang terkandung di dalam nama dan sifat tersebut ( تحريف ) atau menyamakannya dengan sifat-sifat makhluk ( تمثيل ) ataupun menanyakan bagaimana sifat Allah ( تكييف ) atau pun menafikannya ( تعطيل ). Sesiapa yang inginkan I’tikad yang betul tentang nama-nama dan sifat Allah bacalah ayat berikut :

ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

Maksudnya “Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”-As-Syuro 11

Kata-kata-Nya : (tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya) menolak tanggapan bahawa sifat Allah itu sama dengan sifat makhluk-Nya. Apabila kita mengatakan bahawa Allah Maha Mendengar, maknanya kita beriman di antara sifat Allah ialah Dia mendengar. Akan tetapi pendengaran Allah tidak sama dengan pendengaran makhluk seperti kita. Pendengaran Allah sesuai dengan kebesaran-Nya, kesempurnaan-Nya dan kemuliaan-Nya yang tidak bercampur dengan keaiban atau kekurangan. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain. Ayat ini menolak pegangan yang batil yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk ( تمثيل ).

Kata-katanya (dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) menolak fahaman yang menafikan adanya sifat bagi Allah dengan alasan kalau kita mengatakan Allah mendengar contohnya, maknanya kita menyamakan Allah dengan makhluk sebab manusia juga mendengar, haiwan dan jin juga mendengar. Golongan ini dipanggil ‘mu’atthilah’. Disebutkan bahawa orang yang mula-mula membawa fahaman yang sesat ini ialah ja’d ibnu dirham yang menafikan bahawa Allah mengambil Nabi Ibrahim sebagai kholil-Nya dan mengingkari bahawa Allah bercakap dengan Nabi Musa. Fahaman ini disebarkan oleh jahm ibnu sofwan lalu timbullah fitnah dikalangan umat Islam dengan wujudnya aliran yang menafikan sifat-sifat Allah. Mereka ini beriman dengan lafaz Al-Quran tapi tidak beriman dengan maknanya. Amat buruk apa yang mereka lakukan.

            Golongan ketiga yang menyimpang daripada fahaman salafus soleh ialah orang-orang yang beriman dengan sebahagian sifat seperti : Allah melihat, mengetahui, mendengar, hidup, berkehendak dan sebagainya, akan tetapi menafikan yang lainnya. Mana-mana sifat yang tidak sesuai dengan kebesaran Allah -menurut akal mereka yang rosak- mereka tolak dan ubah maknanya berdasarkan pandangan dan akal mereka semata-mata. Contohnya mereka menafikan bahawa Allah berada di atas arasy, Allah turun ke langit dunia pada 1/3 malam yang terakhir, Allah datang pada hari kiamat dan sebagainya. Punca rosaknya golongan ini ialah tidak mengikuti jalan salafus soleh dalam memahami nas-nas Al-Quran dan Hadis yang menyatakan tentang sifat Allah. Amatilah isi kandungan ayat di atas. Kita akan memperolehi akidah yang murni seperti akidah para sahabat dan orang yang mengikuti jalan mereka. Apabila kita beriktikad bahawa sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk ( ليس كمثله شيء ) maka tidaklah kita menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Sifat Allah sesuai dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya manakala sifat makhluk sesuai dengan kelemahan dan kekurangan-Nya. Kalaulah mereka (ahli tahrif) beriman bahawa Allah mendengar, Allah melihat, Allah mengetahui, tidakkah manusia juga mendengar melihat dan mengetahui? Sudah tentu mereka akan mengatakan sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk. Sifat Allah sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Kenapa pula mereka beriman dengan sifat-sifat ini dan menafikan bahawa Allah berada di atas arasy’, Allah turun ke langit dunia, Allah mempunyai wajah dan sebagainya? Sedangkan sifat-sifat ini disebutkan juga di dalam Al-Quran dan Hadis. Adakah susah untuk kita beriman bahawa Allah berada di atas arasy dalam bentuk yang sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Tidak sama dengan makhluk, Apakah yang menjadikan mereka beriman dengan sebahagiannya dan menolak sebahagian yang lain? Adakah di sana penjelasan dari Nabi atau para sahabat yang menyuruh kita mengubah makna ayat-ayat tersebut? Orang yang melihat pendapat-pendapat mereka akan mengetahui bahawa tafsiran yang mereka buat tentang nas-nas sifat tersebut hanya berdasarkan akal mereka semata-mata dengan berselindung di sebalik ilmu bahasa. Mana yang diterima akal mereka diambil dan mana yang tidak dapat diterima akal ditolak. Ini bukanlah jalan salafus soleh. Salafus soleh beriman dengan semua sifat tanpa mengubah maknanya, mereka beriman bahawa Allah berada di atas arasy sesuai dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya, Allah turun ke langit dunia, Allah mempunyai wajah, mempunyai tangan sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Tidak sama dengan sifat makhluk sebagaimana mereka beriman bahawa Allah mendengar, melihat akan tetapi pendengaran Allah dan penglihatan-Nya tidak sama dengan makhluk.

            Ahli Sunnah juga tidak membayangkan atau bertanya bagaimanakah sifat Allah ( تكييف ). Mereka tidak berkata: bagaimanakah Allah mendengar? Bagaimanakah wajah dan tangan Allah? Bagaimanakah Allah berada di atas arasy? Bahkan mereka beriman dengan sifat-sifat tersebut dan yakin ianya mempunyai bentuk ( كيفية ) yang tidak dapat diketahui oleh akal manusia yang lemah, akan tetapi mereka tidak menanyakan tentang bentuk tersebut. Inilah jalan salafus soleh.

            Sebahagian manusia menyangka bahawa mazhab salafus soleh dalam beriman dengan nama dan sifat Allah adalah tafwidh (menyerahkan kepada Allah tentang maknanya). Ini adalah batil kerana golongan mufawwidhoh bukan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Salafus Soleh hanya menyerahkan kepada Allah tentang kaifiyah. Mereka beriman dengan lafaz dan maknanya, bukan mereka diam daripada memperkatakan dan meyakini maknanya.

            Kesimpulannya, cara Ahli Sunnah Wal Jamaah, salafus Soleh dalam beriman dengan nama dan sifat Allah ialah :

1.  Beriman dengan semua nama dan sifat yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran dan disebutkan oleh Rasulullah di dalam hadis yang soheh.

2.  Beriman dengan lafaz dan makna yang terkandung dalam nama dan sifat tersebut dengan tidak menafikan maknanya atau mengubahnya kepada maksud yang lain berdasarkan kefahaman sendiri dan akal semata-mata.

3.  Tidak menanyakan kaifiyah (bentuk) sifat Allah kerana salafus soleh tidak menimbulkan persoalan tentang kaifiyah.

4.  Beri’tikad bahawa sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk.

            Inilah penjelasan ringkas tentang cara Ahli Sunnah beriman dengan sifat Allah. insyaAllah akan dibahaskan permasalahan ini secara lebih ilmiyah pada masa akan datang dengan menyebutkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis dan kata-kata ulama.

والله يهدي من يشاء الى صراط مستقيم

Last 5 posts in Manhaj

Leave a Reply