Cara Mengambil Wudhu’
Monday, May 4th, 2009بسم الله الرحمن الرحيم
Cara Mengambil Wudhu’
Dinukilkan oleh: Ustad Abu Auzaie
عن حمران مولى عثمان أن عثمان بن عفان رضي الله عنه دعا بوضوء فتوضأ , فغسل كفيه ثلاث مرات , ثم مضمض واستنثر , ثم غسل وجهه ثلاث مرات, ثم غسل يده اليمنى الى المرفق ثلاث مرات , ثم غسل يده اليسرى مثل ذلك ,ثم مسح رأسه , ثم غسل رجله اليمنى الى الكعبين ثلاث مرات , ثم غسل اليسرى مثل ذلك , ثم قال : رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم توضأ نحو وضوئي هذا ثم قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من توضأ نحو وضوئي هذا ثم قام فركع ركعتين لا يحدث فيهما نفسه غفر له ما تقدم من ذنبه - متفق عليه واللفظ لمسلم
Daripada Humran maula Uthman (ertinya bekas hamba Uthman yang dimerdekakan olehnya) sesungguhnya Uthman ibnu ‘Affan meminta air wudhu’ lalu dia berwudhu’: Dia membasuh dua tapak tangannya sebanyak 3 kali. Kemudian dia berkumur dan istinthar (ertinya menghembus air keluar dari hidung setelah memasukkannya). Kemudian dia membasuh mukanya 3 kali. Kemudian dia membasuh tangan kanannya sehingga ke siku 3 kali. Kemudian dia membasuh tangan kirinya seperti itu juga. Kemudian dia menyapu kepalanya. Kemudian dia membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali 3 kali. Kemudian dia membasuh kaki kirinya seperti itu juga. Kemudian dia berkata : “Aku melihat Rasulullah berwudhu’ seperti wudhu’ku ini lalu baginda berkata : “Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini kemudian dia solat 2 rakaat dalam keadaan tidak bercakap dengan dirinya dalam solat tersebut, maka diampunkan buatnya dosanya yang telah lalu”. Muttafaqun ‘alaih. Lafaz hadis ini adalah lafaz Imam Muslim.
Hadis ini mengajar kita tentang cara berwudhu’ sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Manusia yang mengaku sebagai pengikut Muhammad akan berusaha mempelajari sunnah baginda agar ibadatnya bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh baginda, tidak berdasarkan kepada ikut-ikutan semata-mata. Di dalam hadis Uthman ibnu ‘Affan ini, beliau menunjukkan cara Rasulullah berwudhu’ berdasarkan apa yang dia lihat:
1. Membasuh dua tapak tangan sebanyak 3 kali.
2. Mengambil air dengan satu tapak tangan lalu berkumur dan memasukkan air ke
dalam hidung dan mengeluarkannya. Lakukan sebanyak 3 kali. Ini berdasarkan
hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah ibnu
Zaid ibni ‘Ashim Al-Anshori.
3. Membasuh muka 3 kali. Kata Syaikh Ibnu Uthaimin : “batasan muka secara
menegak adalah dari lengkong dahi (ertinya dari hujung rambut yang bertemu
dengan dahi) sehingga ke bawah janggut. Adapun batasannya secara melintang
adalah dari telinga ke telinga (Syarhul Mumtie’).
4. Membasuh tangan kanan sehingga ke siku 3 kali. Kemudian tangan kiri seperti itu
juga.
5. Menyapu kepala. Ertinya membasahkan dua tapak tangan dengan air kemudian
menyapu keseluruhan kepala bermula dari hadapan sehingga ke belakang kepala,
kemudian menarik semula kedua-dua tangan tadi ke hadapan. Lakukan sekali
sahaja. Ini berdasarkan hadis Abdullah ibnu Zaid Al-Anshori yang dinyatakan tadi
(no 2). Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah : Mereka (ulama) berselisih pendapat
adakah disunnatkan menyapu kepala sebanyak 3 kali. Jumhur ulama seperti Malik,
Abu Hanifah dan riwayat yang mashur dari Ahmad berpendapat tidak disunatkan.
Kata As-Syafie dan Ahmad (dalam riwayat yang lain) disunatkan berdasarkan
hadis soheh, baginda berwudhu’ sebanyak 3 kali (bagi setiap anggota wudhu’). Ini
adalah umum. Di dalam Sunan Abu Daud : baginda menyapu kepalanya 3 kali.
Juga kerana kepala merupakan salah satu daripada anggota wudhu’ maka
disunatkan disapu 3 kali seperti anggota yang lain. Pendapat yang pertama adalah
lebih soheh. Ini kerana hadis-hadis yang soheh daripada Nabi menjelaskan bahawa
baginda menyapu sekali sahaja. Oleh itu Abu Daud As-Sijistani berkata : “Hadis
Uthman yang soheh menunjukkan baginda menyapu sekali sahaja”. Dengan ini
terbatallah riwayat yang menyatakan baginda menyapu 3 kali. Ia menjelaskan
bahawa yang sohehnya baginda menyapu kepala sekali sahaja. Keterangan detail
ini menjadi pemutus kepada dalil yang umum iaitu : baginda berwudhu’ sebanyak
3 kali. Ini seperti kata baginda : “apabila kamu mendengar suara muazzin (orang
yang melaungkan azan) maka sebutlah sebagaimana yang disebutkan olehnya”. Ini
adalah umum. Ianya dijelaskan oleh hadis Ibnu Umar ketika mendengar haila’ah
(muazzin menyebut hayya ‘alas solah dan hayya ‘alal falah) dia menyebut : la
haula wala quwwata illa billah. Maka dalil khas yang mengandungi penjelasan
menjadi pemutus ke atas dalil yang umum (Majmu’ Fatawa- Kitab Toharoh).
Setelah menyapu kepala maka hendaklah disapu kedua-dua telinga kerana ia
merupakan sebahagian daripada kepala berdasarkan hadis riwayat Ibnu Majah
yang disohehkan oleh Al-Albani.
6. Membasuh kaki kanan sehingga ke buku lali 3 kali kemudian kaki kiri seperti itu
juga.
Disunatkan selepas mengambil wudhu’ :
1. Berdoa dengan doa berikut :
أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله
Hadis riwayat Muslim
2. Solat 2 rakaat berdasarkan hadis Uthman di atas.
Inilah pedoman ringkas tentang cara Rasulullah صلى الله عليه وسلم berwudhu’ berdasarkan hadis-hadis yang soheh sebagai pedoman buat pembaca yang ingin mengenal sunnah baginda.
والله الموفق