Archive for August, 2009

Shaum (Puasa) Ramadhan-4

Sunday, August 23rd, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Perkara yang membatalkan puasa

 

1.  Makan dan minum dengan sengaja

     Ayat 187 di dalam surah A-Baqoroh menunjukkan tentang larangan daripada

     makan dan minum bagi orang yang berpuasa apabila terbitnya fajar shodiq.

     Sesiapa yang makan dan minum dengan sengaja maka dia telah melakukan dosa

     yang besar dan terdedah kepada hukuman yang berat sebagaimana yang

     disebutkan di dalam hadis yang lalu. Dikecualikan daripada hukum di atas 3

     keadaan :

     i.    makan dan minum dalam keadaan lupa

     ii.   tersalah. Contohnya orang yang berbuka kerana menyangka waktu maghrib

           telah pun masuk

     iii.  orang yang dipaksa.

     Ini berdasarkan sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

إذا نسي فأكل وشرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه - رواه البخاري ومسلم

     Maksudnya : “apabila dia terlupa, lalu makan dan minum maka sempurnakanlah

     puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikannya makan dan minum”- riwayat

     Al-Bukhori dan Muslim.

     Sabda baginda lagi :

إن الله وضع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه

     Maksudnya : “Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku kesilapan, lupa

     dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya”- dikeluarkan oleh At-Tohawi

     dalam kitab ‘Syarh Ma’ani Al-Athar, Al-Hakim, ibnu Hazm di dalam ‘Al-Ahkam’

     dan Daruquthni sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

2.  Muntah dengan sengaja

     Orang yang muntah dengan tidak disengajakan tidak batal puasanya. Sabda

     Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

من ذرعه القيء فليس عليه قضاء ومن استقاء فليقض - رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه

     Maksudnya : “sesiapa yang dikalahkan oleh muntahnya maka tidak perlu

     menggantikan puasa. Sesiapa yang muntah dengan sengaja maka hendaklah dia

     mengggantikan puasanya”- riwayat Abu Daud, Tirmizi dan ibnu Majah.

 

3.  Datang haid dan nifas

     Apabila seseorang wanita didatangi haid atau nifas walaupun pada sebahagian

     waktu di siang hari di bulan ramadhan maka batallah puasanya. Ini berdasarkan

     hadis Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

أليس إذا حاضت لم تصل ولم تصم؟ قلن : بلى , قال : فذلك نقصان دينها - رواه مسلم

     Maksudnya : “Bukankah apabila perempuan itu didatangi haid maka dia tidak solat

     dan tidak berpuasa? Jawab mereka : Bahkan ya. Kata Nabi : “Itulah bentuk

     kekurangan agamanya”- riwayat Muslim.

 

4.  Suntikan yang menggantikan makanan seperti yang diberikan kepada pesakit yang

     pengsan.

 

5.  Bersetubuh. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqoroh ayat 187 :

أحل لكم ليلة الصيام الرفث الى نسائكم…. البقرة

     Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa berjima’ dengan isteri

     -isteri kamu”

 

Perkara yang diharuskan bagi orang berpuasa melakukannya

 

1.  Bersiwak ertinya menggunakan kayu sugi sama ada sebelum atau selepas

     tergelincir matahati. Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل وضوء- رواه البخاري ومسلم

      Maksudnya : “Kalaulah tidak kerana aku akan menyusahkan ummatku nescaya

      aku perintahkan mereka bersiwak setiap kali mengambil wudhu’- riwayat

      Al-Bukhori dan Muslim.

 

2.  Berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) kerana Rasulullah

     صلى الله عليه وسلم berkumur dan beristinsyaq ketika baginda berpuasa. Namun begitu

     dilarang berlebih-lebihan dalam melakukan kedua-duanya. Sabda baginda :

وبالغ فى الاستنشاق إلا أن تكون صائما - رواه الترمذى وأبو داود وأحمد وابن أبي شيبة وابن ماجه والنسائي

     Maksudnya : “Dan beristinsyaqlah dan sekuat-kuatnya melainkan sekiranya kamu

     berpuasa”- riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad, ibnu Abi Syaibah, ibnu Majah dan

     An-Nasai sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

3.  Bergurau senda dan mencium isteri

     Kata A’isyah radhiyallahu ‘anha : Rasulullah mencium dan bergurau senda ketika

     berpuasa. Akan tetapi baginda merupakan orang yang paling kuat mengawal

     kehendaknya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim

     Oleh itu hendaklah orang yang tidak dapat mengawal nafsu jima’nya mengelakkan

     diri daripada ‘berseronok’ dengan isterinya.

 

4.  Mengambil darah dan menerima suntikan yang tidak menggantikan makanan.

 

5.  Berbekam

     Kata penulis kitab ‘Sifat Puasa Nabi’ : “berbekam pada asalnya merupakan di

     antara perkara yang membatalkan puasa, kemudian dimansuhkan”. Daripada ibnu

     Abbas radhiallahu ‘anhuma katanya : “Rasulullah berbekam dalam keadaan

     baginda berpuasa”-  riwayat Al-Bukhori.

 

6.  Merasa makanan dengan lidah tanpa menelannya.. kata ibnu Abbas : “Tidak

     mengapa merasa cuka atau perkara yang lain selagi mana tidak masuk ke dalam

     tekaknya ketika berpuasa”- dikeluarkan oleh Al-Bukhori secara mu’allaq.

 

7.  Memakai celak dan menitik ubat ke dalam mata dan telinga sama ada mendapati

     rasanya di tekak atau tidak.

     Kata penulis kitab ‘Sifat Puasa Nabi’ : “inilah pendapat yang dirojihkan oleh

     Syaikhul Islam ibnu Taimiyah di dalam kitabnya yang bermanfaat ‘Hakikat Puasa’

     dan muridnya ibnu Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitab Zaadul Ma’ad. Kata Imam

     Al-Bukhori di dalam sohihnya : Anas, Al-Hasan, Ibrohim berpandangan tidak

     mengapa menggunakan celak bagi orang yang berpuasa” - m/s 56.

 

8.  Membasuh kepala dan mandi

     Kata Imam Al-Bukhori di dalam kitab sohehnya : “Bab mandi bagi orang yang

     berpuasa. Ibnu Umar membasahkan sehelai kain dan meletakkan ke badannya

     ketika berpuasa dan Sya’bi masuk ke bilik mandi ketika berpuasa…kata Al-Hasan:

     Tidak mengapa bagi orang berpuasa berkumur dan menyejukkan badan”- Fathul

     Bari juzuk 4 m/s 181.

     Disebutkan di dalam hadis : “Rasulullahصلى الله عليه وسلم  menjiruskan air ke atas

     kepalanya ketika berpuasa disebabkan dahaga atau kepanasan”- riwayat Abu Daud

     dan Ahmad sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

9.  Melambatkan mandi junub sehingga masuk waktu subuh.

     Daripada A’isyah dan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anhuma : Rasulullahصلى الله عليه وسلم      masuk ke waktu fajar dalam keadaan junub kerana bersetubuh dengan

     isterinya kemudian baginda mandi dan berpuasa”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim

 

Oleh : Ustadz abu auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Shaum (Puasa) Ramadhan-3

Monday, August 17th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Hukum berpuasa pada hari syak

 

Hari syak ertinya hari yang diragui adakah ianya merupakan permulaan Ramadhan atau pun masih di bulan Syaaban. Sesetengah manusia berpuasa 1 atau 2 hari lebih awal sebelum masuknya bulan Ramadhan dengan alasan untuk  berhati-hati kerana bimbang Ramadhan telah pun masuk. Perbuatan ini ditegah oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana di dalam hadis baginda :

لا تقدموا رمضان بصوم يوم ولا يومين إلا رجلا يصوم صوما فليصمه - رواه مسلم

Maksudnya : “Jangan kamu mendahulukan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya), kecualilah seseorang yang (kebiasaannya) berpuasa pada hari tersebut maka bolehlah dia berpuasa”- riwayat Muslim.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan fajar shodiq?

 

Fajar shodiq ialah cahaya matahari yang kelihatan di ufuk timur, dipuncak bukit dan celah-celahnya pada awal pagi dalam bentuk melintang. Apabila munculnya cahaya ini maka ia menandakan masuknya waktu subuh dan umat Islam hendaklah berhenti daripada makan dan minum di bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kisah Bilal rodhiyallahu ‘anhu melaungkan azan pertama pada zaman Rasulullah iaitu sebelum terbitnya fajar shodiq. Rasulullahصلى الله عليه وسلم  mengingatkan sahabat-sahabat baginda bahawa azan bilal tersebut bukanlah azan yang menandakan masuknya waktu subuh. Sabda baginda :

لا يغرنكم أذان بلال ولا هذا البياض لعمود الصبح حتى يستطير - رواه مسلم

Maksudnya : “Janganlah kamu tersalah dengan mendengar azan Bilal atau melihat cahaya putih yang menegak sehinggalah ia mula tersebar” - riwayat Muslim.

Oleh itu orang yang hendak berpuasa boleh makan dan minum sehinggalah masuknya waktu subuh. Apabila dia mendengar azan subuh maka hendaklah dia berhenti daripada makan dan minum.

 

Wajib berniat di malam hari sebelum terbit fajar

 

Apabila nyata masuknya bulan Ramadhan dengan melihat anak bulan atau cukupnya 30 hari bagi bulan Syaaban maka hendaklah setiap muslim yang mukallaf berniat untuk berpuasa pada malamnya sebelum terbit fajar. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له - رواه أبو داود وابن خزيمة والبيهقي

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak berazam untuk berpuasa sebelum terbit fajar maka tidak ada puasa baginya” - riwayat Abu Daud, ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

Niat merupakan amalan hati. Tidak boleh kita melafazkannya dengan lidah seperti berkata : [nawaitu shouma grhadin ‘an adaai fardhi syahri ramadhana lillahi ta'ala] kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلمtidak mengajar umatnya melafazkan niat. Sebaik-baik teladan adalah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Firman Allah :

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر…. - الأحزاب 21

Maksudnya : “sesungguhnya bagi kamu pada diri rasulullah ada contoh teladan yang baik buat orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat…. - Al-Ahzab ayat 21.

 

Makan Sahur

 

Disyariatkan bagi umat Islam bersahur, ertinya makan pada penghujung malam sebelum terbit fajar shodiq. Hukumnya adalah sunat. Bersahur mempunyai beberapa kelebihan yang semestinya dikejar oleh orang-orang yang beriman. Antaranya :

1.  Pembeza di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم     :

فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر - رواه مسلم

     Maksudnya : “Pemisah di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan

     sahur” - riwayat Muslim.

2.  Memperolehi berkat (kebaikan yang banyak). Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم

     tentang makan sahur :

إنها بركة أعطاكم الله إياها , فلا تدعوه - رواه النسائي وأحمد

     Maksudnya : “Ianya merupakan keberkatan yang Allah berikan kepada kamu.

     Maka janganlah kamu tinggalkannya” - riwayat An-Nasai dan Ahmad.

3.  Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang

     bersahur. Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

السحور أكلة بركة , فلا تدعوه ولو أن يجرع أحدكم جرعة من ماء , فإن الله وملائكته يصلون على المتسحرين - رواه ابن أبي شيبة وأحمد

     Maksudnya : “Makanan sahur merupakan makanan berkat. Maka janganlah kamu

     meninggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya

     Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur”-

     riwayat ibnu Abi Syaibah dan Ahmad sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

Disunatkan melambatkan bersahur sehingga hampir masuknya waktu subuh berdasarkan hadis Zaid ibnu Thabit radhiyallahu ‘anhu katanya : “Kami bersahur bersama Nabiصلى الله عليه وسلم . Kemudian baginda bangun untuk menunaikan solat”. Kata Anas : “Berapa jarak antara azan dan sahur?”. Kata Zaid : “Pada kadar bacaan 50 ayat” - riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Puasa Ramadhan-2

Saturday, August 15th, 2009

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Pengertian Puasa :

 

Puasa menurut syara’ ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang tertentu pada waktu yang tertentu dengan niat melakukan ibadat kepada Allah.

 

Perkara-perkara yang wajib bagi orang yang berpuasa menahan diri daripadanya ialah makan, minum, bersetubuh dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Firman Allah ‘azza wa jalla :

أحل لكم ليلة الصيام الرفث الى نسائكم……البقرة 187

Maksudnya : “dihalalkan bagi kamu pada malam puasa bersetubuh dengan isteri-isteri kamu…” - Al-Baqoroh 187.

Firman-Nya lagi :

وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر….البقرة 187

Maksudnya : “makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dan benang hitam daripada waktu fajar….”- Al-Baqoroh ayat 187.

 

Waktu yang ditentukan untuk umat Islam berpuasa bermula dari terbit fajar shodiq sehingga terbenamnya matahari. Ini berdasarkan ayat 187 di dalam surah Al-Baqoroh di atas :

وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر ثم أتموا الصيام الى الليل

Maksudnya : “makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dengan benang hitam daripada waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah ibadat puasa sehingga ke malam hari”.

Malam hari bermula dengan terbenamnya matahari. Sabda Rasulullah :

إذا أقبل الليل من ههنا وأدبر النهار من ههنا وغربت الشمس فقد أفطر الصائم - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “apabila datangnya malam dari arah sana, siang pula beredar dari arah sana dan matahari telah pun terbenam, maka orang yang berpuasa telah pun berbuka” - riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Dengan niat melakukan ibadat kepada Allah ertinya orang yang berpuasa meninggalkan makan, minum dan sebagainya sebagai mentaati perintah Allah dan mengharapkan keredhoan-Nya. Dia meninggalkan makan dan minum bukan kerana hendak menjaga kesihatan atau menguruskan badan atau niat-niat yang lain yang tiada kaitan dengan keinginan seseorang hamba untuk tunduk dan patuh kepada perintah Robnya.

 

Siapakah yang wajib berpuasa?

 

Setiap orang Islam yang telah baligh dan berakal sama ada lelaki dan perempuan wajib ke atasnya berpuasa di bulan Ramadhan.

 

Ancaman terhadap orang yang meninggalkan puasa ramadhan

 

Sabda Rasulullah :

بينما أنا نائم أتاني رجلان فأخذا بضبعي فأتيا بي جبلا وعرا , فقالا : اصعد , فقلت : إني لا أطيقه , فقالا : سنسهله لك , فصعدت حتى إذا كنت فى سواد الجبل إذا بأصوات شديدة , فقلت : ما هذه الأصوات؟ قالوا : هذا عواء أهل النار , ثم انطلق بي , فإذا أنا بقوم معلقين بعراقيبهم مشققة أشداقهم , تسيل أشداقهم دما , قال : قلت : من هؤلاء؟ قال : الذين يفطرون قبل تحلة صومهم…- رواه النسائي وابن حبان والحاكم

Maksudnya: “ketika mana aku sedang tidur, datang dua lelaki lalu memegang lenganku. Kemudian kedua-duanya membawaku ke bukit yang curam lalu berkata : panjat! Jawabku : saya tidak mampu. Kata kedua-duanya : kami akan membantu kamu. Lalu aku pun memanjat sehinggalah aku hampir ke kemuncaknya tiba-tiba kedengaran suara yang amat kuat. Lalu aku berkata : “suara apakah ini? Jawab mereka : ini adalah suara pekikan ahli neraka. Kemudian mereka terus membawaku. Tiba-tiba aku melihat sekumpulan manusia digantung pada keting-keting mereka dan mulut-mulut mereka menjadi pecah mengalirkan darah. Aku pun bertanya : Siapakah mereka? Jawabnya : mereka merupakan orang-orang yang berbuka sebelum sampai waktunya…”- riwayat An-Nasai, ibnu Hibban dan Al-Hakim.

 

Bagaimanakah umat Islam mengetahui masuknya bulan Ramadhan?

 

Untuk mengetahui masuknya Ramadhan umat Islam hendaklah menghitung bilangan hari di bulan Syaaban. Apabila sampai hari ke 29 Syaaban maka hendaklah mereka melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan kelihatan maka hendaklah mereka berpuasa keesokkan harinya. Sekiranya tidak kelihatan maka hendaklah mereka menyempurnakan Syaaban menjadi 30 hari. Sabda Rasulullah :

صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته , فإن غم عليكم فأكملوا شعبان ثلاثين - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan) dan berbukalah (ertinya menyambut hari raya) apabila kamu melihatnya. Sekiranya anak bulan dilindungi oleh awan maka sempurnakan Syaaban menjadi 30 hari”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Puasa Ramadhan

Wednesday, August 12th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Kelebihan Bulan Ramadhan

 

1.  Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Allah ‘azza wa jalla menurunkan kitab-Nya yang agong ini sebagai petunjuk buat manusia pada malam qadar (lailatul qadar) yang merupakan satu malam daripada malam-malam bulan Ramadhan. Firman Allah :

شهر رمضان الذى أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان…… البقرة 185

Maksud: “bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk buat manusia dan keterangan yang jelas daripada petunjuk dan furqan (pemisah di antara yang hak dan yang batil)….”-Al-Baqoroh 185

 

2.  Syaitan diikat, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Sabda Rasulullah :

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النيران وصفدت الشياطين - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “apabila datang bulan Ramadhan pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim

 

3.  Malam qadar. Di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatul qadar. Sesiapa yang beribadat pada malam ini maka ibadat tersebut adalah lebih baik daripada ibadat yang dia lakukan selama seribu bulan. Firman Allah :

إنا أنزلناه فى ليلة القدر 0 وما أدراك ما ليلة القدر 0 ليلة القدر خير من ألف شهر

Maksudnya : “sesungguhnya Aku menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar 0 Adakah kamu tahu apakah itu malam qadar 0 malam qadar lebih baik daripada seribu bulan”.

 

4. Ibadat puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang 5. Firman Allah :

فمن شهد منكم الشهر فليصمه….البقرة 185

Maksudnya : :sesiapa yang melihat anak bulan dikalangan kamu maka hendaklah dia berpuasa…” Al-Baqoroh 185

 

 

Kelebihan Ibadat Puasa

 

1.  Puasa merupakan perisai daripada kebuasan nafsu syahwat. Sabda Rasulullah :

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج , فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج , ومن لم يستطع فعليه بالصوم , فإنه له وجاء - رواه البخاري ومسلم

“Wahai golongan pemuda…sesiapa yang mampu dikalangan kamu mendapatkan baah(keperluan untuk berkahwin) maka hendaklah dia berkahwin. Ini kerana sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa tersebut akan menjadi pengekang buatnya (syahwatnya)”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

2.  Puasa merupakan pendinding daripada api neraka. Sabda Rasulullah :

الصيام جنة يستجن بها العبد من النار- رواه أحمد

“Puasa merupakan perisai yang digunakan oleh seorang hamba untuk berlindung daripada api neraka”- riwayat Ahmad. Sabda baginda lagi :

ما من عبد يصوم يوما فى سبيل الله إلا باعد الله بذلك وجهه عن النار سبعين خريفا- رواه البخارى ومسلم

“Tidak ada seorang hamba pun yang berpuasa di jalan Allah melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka pada jarak 70 tahun perjalanan”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

3.  Berpuasa merupakan amalan yang memasukkan ke dalam syurga. Kata Abu Umamah : wahai Rasulullah…tunjukkan kepadaku kepadaku amalan yang menjadikan aku dapat masuk ke dalam syurga. Sabda Rasulullah :

عليك بالصوم , لا مثل له - رواه النسائي وابن حبان والحاكم

“Hendaklah kamu berpuasa. Tidak ada tolok bandingnya bagi ibadat ini”- riwayat An-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

 

4.  Ganjaran pahala bagi orang yang berpuasa tidak ada batasnya. Sabda Rasulullah :

كل عمل ابن آدم له إلا الصيام , فإنه لي وأنا أجزي به…- رواه البخاري ومسلم

“Kesemua amalan anak adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ibadat puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberikan balasan untuknya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

5.  Bau mulut orasng berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Sabda Rasulullah :

والذى نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك…- رواه البخاري ومسلم

“Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya, sesunggunya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi…”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

6.  Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan. Sabda Rasulullah :

للصائم فرحتان يفرحهما , إذا أفطر فرح وإذا لقي ربه فرح بصومه - رواه البخاري ومسلم

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, dia bergembira dengan kedua-duanya : kegembiraan apabila berbuka dan apabila dia bertemu dengan Robnya dia bergembira dengan puasanya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

7.   Puasa dan Al-Quran memberi syafaat bagi pelakunya. Sabda Rasulullah :

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة , يقول الصيام : أى رب منعته الطعام والشهوة فشفعني فيه , ويقول القرآن : منعته النوم بالليل فشفعني فيه , قال : فيشفعان - رواه أحمد والحاكم وأبو نعيم

“Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa : wahai Robku…aku telah menghalangnya daripada makan minum dan syahwatnya maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran juga berkata : aku telah menghalangnya daripada tidur di malam hari maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kata-Nya : kedua-duanya diizinkan untuk memberi syafaat”- riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim.

 

8.  Penghapus dosa. Sabda Rasulullah :

فتنة الرجل فى أهله وماله وجاره تكفره الصلاة والصيام والصدقة - رواه البخارى ومسلم

“Fitnah yang menimpa seorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya dan jirannya akan dihapuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

9.  Ar-Rayyan untuk orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah :

إن فى الجنة بابا يقال له الريان , يدخل منه الصائمون يوم القيامة , لا يدخل منه أحد غيرهم , فإذا دخلوا أغلق , فلم يدخل منه أحد - رواه البخاري ومسلم

“Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘ar-rayyan’. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat. Tiada siapa yang selain daripada mereka dapat masuk melaluinya. Apabila mereka semua telah masuk maka pintu tersebut pun ditutup. Tiada siapa lagi yang dapat masuk melaluinya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Disusun oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab “Sifat Puasa Nabi di bulan Ramadhan”

* Takhrij hadis dinukil daripada penulis kitab di atas