Puasa Ramadhan
بسم الله الرحمن الرحيم
Kelebihan Bulan Ramadhan
1. Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Allah ‘azza wa jalla menurunkan kitab-Nya yang agong ini sebagai petunjuk buat manusia pada malam qadar (lailatul qadar) yang merupakan satu malam daripada malam-malam bulan Ramadhan. Firman Allah :
شهر رمضان الذى أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان…… البقرة 185
Maksud: “bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk buat manusia dan keterangan yang jelas daripada petunjuk dan furqan (pemisah di antara yang hak dan yang batil)….”-Al-Baqoroh 185
2. Syaitan diikat, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Sabda Rasulullah :
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النيران وصفدت الشياطين - رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : “apabila datang bulan Ramadhan pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim
3. Malam qadar. Di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatul qadar. Sesiapa yang beribadat pada malam ini maka ibadat tersebut adalah lebih baik daripada ibadat yang dia lakukan selama seribu bulan. Firman Allah :
إنا أنزلناه فى ليلة القدر 0 وما أدراك ما ليلة القدر 0 ليلة القدر خير من ألف شهر
Maksudnya : “sesungguhnya Aku menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar 0 Adakah kamu tahu apakah itu malam qadar 0 malam qadar lebih baik daripada seribu bulan”.
4. Ibadat puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang 5. Firman Allah :
فمن شهد منكم الشهر فليصمه….البقرة 185
Maksudnya : :sesiapa yang melihat anak bulan dikalangan kamu maka hendaklah dia berpuasa…” Al-Baqoroh 185
Kelebihan Ibadat Puasa
1. Puasa merupakan perisai daripada kebuasan nafsu syahwat. Sabda Rasulullah :
يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج , فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج , ومن لم يستطع فعليه بالصوم , فإنه له وجاء - رواه البخاري ومسلم
“Wahai golongan pemuda…sesiapa yang mampu dikalangan kamu mendapatkan baah(keperluan untuk berkahwin) maka hendaklah dia berkahwin. Ini kerana sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa tersebut akan menjadi pengekang buatnya (syahwatnya)”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
2. Puasa merupakan pendinding daripada api neraka. Sabda Rasulullah :
الصيام جنة يستجن بها العبد من النار- رواه أحمد
“Puasa merupakan perisai yang digunakan oleh seorang hamba untuk berlindung daripada api neraka”- riwayat Ahmad. Sabda baginda lagi :
ما من عبد يصوم يوما فى سبيل الله إلا باعد الله بذلك وجهه عن النار سبعين خريفا- رواه البخارى ومسلم
“Tidak ada seorang hamba pun yang berpuasa di jalan Allah melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka pada jarak 70 tahun perjalanan”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
3. Berpuasa merupakan amalan yang memasukkan ke dalam syurga. Kata Abu Umamah : wahai Rasulullah…tunjukkan kepadaku kepadaku amalan yang menjadikan aku dapat masuk ke dalam syurga. Sabda Rasulullah :
عليك بالصوم , لا مثل له - رواه النسائي وابن حبان والحاكم
“Hendaklah kamu berpuasa. Tidak ada tolok bandingnya bagi ibadat ini”- riwayat An-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.
4. Ganjaran pahala bagi orang yang berpuasa tidak ada batasnya. Sabda Rasulullah :
كل عمل ابن آدم له إلا الصيام , فإنه لي وأنا أجزي به…- رواه البخاري ومسلم
“Kesemua amalan anak adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ibadat puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberikan balasan untuknya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
5. Bau mulut orasng berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Sabda Rasulullah :
والذى نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك…- رواه البخاري ومسلم
“Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya, sesunggunya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi…”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
6. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan. Sabda Rasulullah :
للصائم فرحتان يفرحهما , إذا أفطر فرح وإذا لقي ربه فرح بصومه - رواه البخاري ومسلم
“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, dia bergembira dengan kedua-duanya : kegembiraan apabila berbuka dan apabila dia bertemu dengan Robnya dia bergembira dengan puasanya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
7. Puasa dan Al-Quran memberi syafaat bagi pelakunya. Sabda Rasulullah :
الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة , يقول الصيام : أى رب منعته الطعام والشهوة فشفعني فيه , ويقول القرآن : منعته النوم بالليل فشفعني فيه , قال : فيشفعان - رواه أحمد والحاكم وأبو نعيم
“Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa : wahai Robku…aku telah menghalangnya daripada makan minum dan syahwatnya maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran juga berkata : aku telah menghalangnya daripada tidur di malam hari maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kata-Nya : kedua-duanya diizinkan untuk memberi syafaat”- riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim.
8. Penghapus dosa. Sabda Rasulullah :
فتنة الرجل فى أهله وماله وجاره تكفره الصلاة والصيام والصدقة - رواه البخارى ومسلم
“Fitnah yang menimpa seorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya dan jirannya akan dihapuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
9. Ar-Rayyan untuk orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah :
إن فى الجنة بابا يقال له الريان , يدخل منه الصائمون يوم القيامة , لا يدخل منه أحد غيرهم , فإذا دخلوا أغلق , فلم يدخل منه أحد - رواه البخاري ومسلم
“Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘ar-rayyan’. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat. Tiada siapa yang selain daripada mereka dapat masuk melaluinya. Apabila mereka semua telah masuk maka pintu tersebut pun ditutup. Tiada siapa lagi yang dapat masuk melaluinya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
Disusun oleh : Ustadz Abu Auzaie
Sumber : Kitab “Sifat Puasa Nabi di bulan Ramadhan”
* Takhrij hadis dinukil daripada penulis kitab di atas
Last 5 posts in Fiqih
- Ibadah Kurban (Ied Adha)-2 - November 5th, 2009
- Tazkirah dari Bencana - October 4th, 2009
- Ibadah Korban (Ied Adha) - October 4th, 2009
- Sholat Malam di Bulan Ramadhan (Tarawikh) - September 1st, 2009
- Shaum (Puasa) Ramadhan-4 - August 23rd, 2009