Puasa Ramadhan-2

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Pengertian Puasa :

 

Puasa menurut syara’ ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang tertentu pada waktu yang tertentu dengan niat melakukan ibadat kepada Allah.

 

Perkara-perkara yang wajib bagi orang yang berpuasa menahan diri daripadanya ialah makan, minum, bersetubuh dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Firman Allah ‘azza wa jalla :

أحل لكم ليلة الصيام الرفث الى نسائكم……البقرة 187

Maksudnya : “dihalalkan bagi kamu pada malam puasa bersetubuh dengan isteri-isteri kamu…” - Al-Baqoroh 187.

Firman-Nya lagi :

وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر….البقرة 187

Maksudnya : “makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dan benang hitam daripada waktu fajar….”- Al-Baqoroh ayat 187.

 

Waktu yang ditentukan untuk umat Islam berpuasa bermula dari terbit fajar shodiq sehingga terbenamnya matahari. Ini berdasarkan ayat 187 di dalam surah Al-Baqoroh di atas :

وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر ثم أتموا الصيام الى الليل

Maksudnya : “makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dengan benang hitam daripada waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah ibadat puasa sehingga ke malam hari”.

Malam hari bermula dengan terbenamnya matahari. Sabda Rasulullah :

إذا أقبل الليل من ههنا وأدبر النهار من ههنا وغربت الشمس فقد أفطر الصائم - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “apabila datangnya malam dari arah sana, siang pula beredar dari arah sana dan matahari telah pun terbenam, maka orang yang berpuasa telah pun berbuka” - riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Dengan niat melakukan ibadat kepada Allah ertinya orang yang berpuasa meninggalkan makan, minum dan sebagainya sebagai mentaati perintah Allah dan mengharapkan keredhoan-Nya. Dia meninggalkan makan dan minum bukan kerana hendak menjaga kesihatan atau menguruskan badan atau niat-niat yang lain yang tiada kaitan dengan keinginan seseorang hamba untuk tunduk dan patuh kepada perintah Robnya.

 

Siapakah yang wajib berpuasa?

 

Setiap orang Islam yang telah baligh dan berakal sama ada lelaki dan perempuan wajib ke atasnya berpuasa di bulan Ramadhan.

 

Ancaman terhadap orang yang meninggalkan puasa ramadhan

 

Sabda Rasulullah :

بينما أنا نائم أتاني رجلان فأخذا بضبعي فأتيا بي جبلا وعرا , فقالا : اصعد , فقلت : إني لا أطيقه , فقالا : سنسهله لك , فصعدت حتى إذا كنت فى سواد الجبل إذا بأصوات شديدة , فقلت : ما هذه الأصوات؟ قالوا : هذا عواء أهل النار , ثم انطلق بي , فإذا أنا بقوم معلقين بعراقيبهم مشققة أشداقهم , تسيل أشداقهم دما , قال : قلت : من هؤلاء؟ قال : الذين يفطرون قبل تحلة صومهم…- رواه النسائي وابن حبان والحاكم

Maksudnya: “ketika mana aku sedang tidur, datang dua lelaki lalu memegang lenganku. Kemudian kedua-duanya membawaku ke bukit yang curam lalu berkata : panjat! Jawabku : saya tidak mampu. Kata kedua-duanya : kami akan membantu kamu. Lalu aku pun memanjat sehinggalah aku hampir ke kemuncaknya tiba-tiba kedengaran suara yang amat kuat. Lalu aku berkata : “suara apakah ini? Jawab mereka : ini adalah suara pekikan ahli neraka. Kemudian mereka terus membawaku. Tiba-tiba aku melihat sekumpulan manusia digantung pada keting-keting mereka dan mulut-mulut mereka menjadi pecah mengalirkan darah. Aku pun bertanya : Siapakah mereka? Jawabnya : mereka merupakan orang-orang yang berbuka sebelum sampai waktunya…”- riwayat An-Nasai, ibnu Hibban dan Al-Hakim.

 

Bagaimanakah umat Islam mengetahui masuknya bulan Ramadhan?

 

Untuk mengetahui masuknya Ramadhan umat Islam hendaklah menghitung bilangan hari di bulan Syaaban. Apabila sampai hari ke 29 Syaaban maka hendaklah mereka melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan kelihatan maka hendaklah mereka berpuasa keesokkan harinya. Sekiranya tidak kelihatan maka hendaklah mereka menyempurnakan Syaaban menjadi 30 hari. Sabda Rasulullah :

صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته , فإن غم عليكم فأكملوا شعبان ثلاثين - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan) dan berbukalah (ertinya menyambut hari raya) apabila kamu melihatnya. Sekiranya anak bulan dilindungi oleh awan maka sempurnakan Syaaban menjadi 30 hari”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Last 5 posts in Fiqih

Leave a Reply