Shaum (Puasa) Ramadhan-3

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Hukum berpuasa pada hari syak

 

Hari syak ertinya hari yang diragui adakah ianya merupakan permulaan Ramadhan atau pun masih di bulan Syaaban. Sesetengah manusia berpuasa 1 atau 2 hari lebih awal sebelum masuknya bulan Ramadhan dengan alasan untuk  berhati-hati kerana bimbang Ramadhan telah pun masuk. Perbuatan ini ditegah oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana di dalam hadis baginda :

لا تقدموا رمضان بصوم يوم ولا يومين إلا رجلا يصوم صوما فليصمه - رواه مسلم

Maksudnya : “Jangan kamu mendahulukan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya), kecualilah seseorang yang (kebiasaannya) berpuasa pada hari tersebut maka bolehlah dia berpuasa”- riwayat Muslim.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan fajar shodiq?

 

Fajar shodiq ialah cahaya matahari yang kelihatan di ufuk timur, dipuncak bukit dan celah-celahnya pada awal pagi dalam bentuk melintang. Apabila munculnya cahaya ini maka ia menandakan masuknya waktu subuh dan umat Islam hendaklah berhenti daripada makan dan minum di bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kisah Bilal rodhiyallahu ‘anhu melaungkan azan pertama pada zaman Rasulullah iaitu sebelum terbitnya fajar shodiq. Rasulullahصلى الله عليه وسلم  mengingatkan sahabat-sahabat baginda bahawa azan bilal tersebut bukanlah azan yang menandakan masuknya waktu subuh. Sabda baginda :

لا يغرنكم أذان بلال ولا هذا البياض لعمود الصبح حتى يستطير - رواه مسلم

Maksudnya : “Janganlah kamu tersalah dengan mendengar azan Bilal atau melihat cahaya putih yang menegak sehinggalah ia mula tersebar” - riwayat Muslim.

Oleh itu orang yang hendak berpuasa boleh makan dan minum sehinggalah masuknya waktu subuh. Apabila dia mendengar azan subuh maka hendaklah dia berhenti daripada makan dan minum.

 

Wajib berniat di malam hari sebelum terbit fajar

 

Apabila nyata masuknya bulan Ramadhan dengan melihat anak bulan atau cukupnya 30 hari bagi bulan Syaaban maka hendaklah setiap muslim yang mukallaf berniat untuk berpuasa pada malamnya sebelum terbit fajar. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له - رواه أبو داود وابن خزيمة والبيهقي

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak berazam untuk berpuasa sebelum terbit fajar maka tidak ada puasa baginya” - riwayat Abu Daud, ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

Niat merupakan amalan hati. Tidak boleh kita melafazkannya dengan lidah seperti berkata : [nawaitu shouma grhadin ‘an adaai fardhi syahri ramadhana lillahi ta'ala] kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلمtidak mengajar umatnya melafazkan niat. Sebaik-baik teladan adalah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Firman Allah :

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر…. - الأحزاب 21

Maksudnya : “sesungguhnya bagi kamu pada diri rasulullah ada contoh teladan yang baik buat orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat…. - Al-Ahzab ayat 21.

 

Makan Sahur

 

Disyariatkan bagi umat Islam bersahur, ertinya makan pada penghujung malam sebelum terbit fajar shodiq. Hukumnya adalah sunat. Bersahur mempunyai beberapa kelebihan yang semestinya dikejar oleh orang-orang yang beriman. Antaranya :

1.  Pembeza di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم     :

فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر - رواه مسلم

     Maksudnya : “Pemisah di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan

     sahur” - riwayat Muslim.

2.  Memperolehi berkat (kebaikan yang banyak). Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم

     tentang makan sahur :

إنها بركة أعطاكم الله إياها , فلا تدعوه - رواه النسائي وأحمد

     Maksudnya : “Ianya merupakan keberkatan yang Allah berikan kepada kamu.

     Maka janganlah kamu tinggalkannya” - riwayat An-Nasai dan Ahmad.

3.  Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang

     bersahur. Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

السحور أكلة بركة , فلا تدعوه ولو أن يجرع أحدكم جرعة من ماء , فإن الله وملائكته يصلون على المتسحرين - رواه ابن أبي شيبة وأحمد

     Maksudnya : “Makanan sahur merupakan makanan berkat. Maka janganlah kamu

     meninggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya

     Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur”-

     riwayat ibnu Abi Syaibah dan Ahmad sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

Disunatkan melambatkan bersahur sehingga hampir masuknya waktu subuh berdasarkan hadis Zaid ibnu Thabit radhiyallahu ‘anhu katanya : “Kami bersahur bersama Nabiصلى الله عليه وسلم . Kemudian baginda bangun untuk menunaikan solat”. Kata Anas : “Berapa jarak antara azan dan sahur?”. Kata Zaid : “Pada kadar bacaan 50 ayat” - riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Last 5 posts in Fiqih

Leave a Reply