Shaum (Puasa) Ramadhan-4
بسم الله الرحمن الرحيم
Perkara yang membatalkan puasa
1. Makan dan minum dengan sengaja
Ayat 187 di dalam surah A-Baqoroh menunjukkan tentang larangan daripada
makan dan minum bagi orang yang berpuasa apabila terbitnya fajar shodiq.
Sesiapa yang makan dan minum dengan sengaja maka dia telah melakukan dosa
yang besar dan terdedah kepada hukuman yang berat sebagaimana yang
disebutkan di dalam hadis yang lalu. Dikecualikan daripada hukum di atas 3
keadaan :
i. makan dan minum dalam keadaan lupa
ii. tersalah. Contohnya orang yang berbuka kerana menyangka waktu maghrib
telah pun masuk
iii. orang yang dipaksa.
Ini berdasarkan sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم :
إذا نسي فأكل وشرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه - رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : “apabila dia terlupa, lalu makan dan minum maka sempurnakanlah
puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikannya makan dan minum”- riwayat
Al-Bukhori dan Muslim.
Sabda baginda lagi :
إن الله وضع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku kesilapan, lupa
dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya”- dikeluarkan oleh At-Tohawi
dalam kitab ‘Syarh Ma’ani Al-Athar, Al-Hakim, ibnu Hazm di dalam ‘Al-Ahkam’
dan Daruquthni sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.
2. Muntah dengan sengaja
Orang yang muntah dengan tidak disengajakan tidak batal puasanya. Sabda
Rasulullahصلى الله عليه وسلم :
من ذرعه القيء فليس عليه قضاء ومن استقاء فليقض - رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه
Maksudnya : “sesiapa yang dikalahkan oleh muntahnya maka tidak perlu
menggantikan puasa. Sesiapa yang muntah dengan sengaja maka hendaklah dia
mengggantikan puasanya”- riwayat Abu Daud, Tirmizi dan ibnu Majah.
3. Datang haid dan nifas
Apabila seseorang wanita didatangi haid atau nifas walaupun pada sebahagian
waktu di siang hari di bulan ramadhan maka batallah puasanya. Ini berdasarkan
hadis Rasulullahصلى الله عليه وسلم :
أليس إذا حاضت لم تصل ولم تصم؟ قلن : بلى , قال : فذلك نقصان دينها - رواه مسلم
Maksudnya : “Bukankah apabila perempuan itu didatangi haid maka dia tidak solat
dan tidak berpuasa? Jawab mereka : Bahkan ya. Kata Nabi : “Itulah bentuk
kekurangan agamanya”- riwayat Muslim.
4. Suntikan yang menggantikan makanan seperti yang diberikan kepada pesakit yang
pengsan.
5. Bersetubuh. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqoroh ayat 187 :
أحل لكم ليلة الصيام الرفث الى نسائكم…. البقرة
Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa berjima’ dengan isteri
-isteri kamu”
Perkara yang diharuskan bagi orang berpuasa melakukannya
1. Bersiwak ertinya menggunakan kayu sugi sama ada sebelum atau selepas
tergelincir matahati. Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم :
لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل وضوء- رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : “Kalaulah tidak kerana aku akan menyusahkan ummatku nescaya
aku perintahkan mereka bersiwak setiap kali mengambil wudhu’- riwayat
Al-Bukhori dan Muslim.
2. Berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) kerana Rasulullah
صلى الله عليه وسلم berkumur dan beristinsyaq ketika baginda berpuasa. Namun begitu
dilarang berlebih-lebihan dalam melakukan kedua-duanya. Sabda baginda :
وبالغ فى الاستنشاق إلا أن تكون صائما - رواه الترمذى وأبو داود وأحمد وابن أبي شيبة وابن ماجه والنسائي
Maksudnya : “Dan beristinsyaqlah dan sekuat-kuatnya melainkan sekiranya kamu
berpuasa”- riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad, ibnu Abi Syaibah, ibnu Majah dan
An-Nasai sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.
3. Bergurau senda dan mencium isteri
Kata A’isyah radhiyallahu ‘anha : Rasulullah mencium dan bergurau senda ketika
berpuasa. Akan tetapi baginda merupakan orang yang paling kuat mengawal
kehendaknya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim
Oleh itu hendaklah orang yang tidak dapat mengawal nafsu jima’nya mengelakkan
diri daripada ‘berseronok’ dengan isterinya.
4. Mengambil darah dan menerima suntikan yang tidak menggantikan makanan.
5. Berbekam
Kata penulis kitab ‘Sifat Puasa Nabi’ : “berbekam pada asalnya merupakan di
antara perkara yang membatalkan puasa, kemudian dimansuhkan”. Daripada ibnu
Abbas radhiallahu ‘anhuma katanya : “Rasulullah berbekam dalam keadaan
baginda berpuasa”- riwayat Al-Bukhori.
6. Merasa makanan dengan lidah tanpa menelannya.. kata ibnu Abbas : “Tidak
mengapa merasa cuka atau perkara yang lain selagi mana tidak masuk ke dalam
tekaknya ketika berpuasa”- dikeluarkan oleh Al-Bukhori secara mu’allaq.
7. Memakai celak dan menitik ubat ke dalam mata dan telinga sama ada mendapati
rasanya di tekak atau tidak.
Kata penulis kitab ‘Sifat Puasa Nabi’ : “inilah pendapat yang dirojihkan oleh
Syaikhul Islam ibnu Taimiyah di dalam kitabnya yang bermanfaat ‘Hakikat Puasa’
dan muridnya ibnu Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitab Zaadul Ma’ad. Kata Imam
Al-Bukhori di dalam sohihnya : Anas, Al-Hasan, Ibrohim berpandangan tidak
mengapa menggunakan celak bagi orang yang berpuasa” - m/s 56.
8. Membasuh kepala dan mandi
Kata Imam Al-Bukhori di dalam kitab sohehnya : “Bab mandi bagi orang yang
berpuasa. Ibnu Umar membasahkan sehelai kain dan meletakkan ke badannya
ketika berpuasa dan Sya’bi masuk ke bilik mandi ketika berpuasa…kata Al-Hasan:
Tidak mengapa bagi orang berpuasa berkumur dan menyejukkan badan”- Fathul
Bari juzuk 4 m/s 181.
Disebutkan di dalam hadis : “Rasulullahصلى الله عليه وسلم menjiruskan air ke atas
kepalanya ketika berpuasa disebabkan dahaga atau kepanasan”- riwayat Abu Daud
dan Ahmad sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’
9. Melambatkan mandi junub sehingga masuk waktu subuh.
Daripada A’isyah dan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anhuma : Rasulullahصلى الله عليه وسلم masuk ke waktu fajar dalam keadaan junub kerana bersetubuh dengan
isterinya kemudian baginda mandi dan berpuasa”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim
Oleh : Ustadz abu auzaie
Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’
Last 5 posts in Fiqih
- Ibadah Kurban (Ied Adha)-2 - November 5th, 2009
- Tazkirah dari Bencana - October 4th, 2009
- Ibadah Korban (Ied Adha) - October 4th, 2009
- Sholat Malam di Bulan Ramadhan (Tarawikh) - September 1st, 2009
- Shaum (Puasa) Ramadhan-3 - August 17th, 2009