Archive for October, 2009

Tazkirah dari Bencana

Sunday, October 4th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

TAZKIRAH

 

أفأمنوا مكر الله

 

“APAKAH MEREKA BERASA AMAN DARIPADA TIPU MUSLIHAT ALLAH”

 

 

            Sejak akhir-akhir ini penduduk bumi kerap dikejutkan dengan tragedi-tragedi yang menyentap kalbu. Tsunami, ribut taufan, gempa bumi dan bermacam-macam bentuk bencana yang mengorbankan beribu-ribu manusia dengan sekelip mata. Jerit tangis dan ratapan kedengaran di mana-mana. Ucapan kesedihan dan simpati menghiasi tajuk-tajuk utama berita media massa. Meratapi kematian insan yang tidak berdosa…!!

            Apakah benar manusia yang terkorban tersebut kesemuanya tidak melakukan dosa? Kalau begitu tentunya mereka dizalimi! Jadinya…..siapakah yang menzalimi mereka? Pencipta langit dan bumi yang menentukan perjalanan alam ini? Tidak mungkin. Allah ‘azza wa jalla tidak bersifat zalim. Dia telah menyatakan di dalam Al-Quran :

وما الله يريد ظلما للعالمين

Maksudnya : “dan Allah tidak ingin menzalimi penduduk alam ini”- Al-Imran 108

Di dalam hadis qudsi Allah menyatakan :

يا عبادي إنى حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرما فلا تظالموا….

Maksudnya : “Wahai hamba-hambaku…sesungguhnya Aku telah mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu satu perkara yang diharamkan di antara kamu. Maka janganlah kamu zalim menzalimi…”- riwayat Muslim.

 

            Yang jelasnya musibah ini datang kerana kesalahan manusia sendiri. Apabila mereka melakukan dosa dan engkar kepada perintah Allah maka selayaknyalah mereka dihukum. Berapa banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang menyatakan tentang sebab-sebab turunnya bencana dan musibah. Namun….berapa ramai dikalangan manusia yang mahu mengambil pengajaran? Berapa ramai dikalangan mereka yang sedar daripada kelalaian? Atau mereka terus dibuai oleh keseronokan dan keindahan dunia? Lalu tidak mahu meletakkan kesalahan pada diri mereka sendiri. Tragedi yang berlaku tidak dapat melembutkan hati yang keras disebabkan selaput hitam yang menebal telah menutup hati tersebut.

 

            Kembalilah kepada kitab Allah. Tadabburlah ayat-ayatnya. Anda akan mengetahui bahawa musibah yang silih berganti ini berpunca daripada ‘tangan-tangan’ manusia. Allah ‘azza wa jalla menyatakan di dalam Al-Quran :

وضرب الله مثلا قرية كانت آمنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذاقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون - النحل 112

Maksudnya : “dan Allah membuat perumpamaan dengan penempatan yang aman damai, mengecapi ketenangan dan didatangi oleh rezeki dari segenap penjuru. Lalu ia kufur dengan nikmat Allah. Maka Allah memberikan ia merasai kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan”- An-Nahl ayat 112

 

            Perhatikan kepada ayat ini…bagaimana Allah telah mengurniakan nikmat yang besar kepada penduduk tempat tersebut dengan kehidupan yang aman damai dan rezeki yang melimpah ruah. Namun mereka kufur dengan nikmat Allah. Ertinya tidak bersyukur dengan menjadi hamba yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Apakah balasannya? Allah menurunkan hukuman yang berbentuk kekurangan rezeki yang menjadikan mereka kelaparan, Allah mendatangkan perkara-perkara yang menakutkan mereka sebagai balasan bagi perbuatan mereka.

 

            Perhatikan wahai hamba Allah….bukankah bencana-bencana ini merupakan perkara yang menakutkan manusia? Fikirkanlah tentang diri kita….berapa banyak rezeki yang telah Allah kurniakan kepada kita? Adakah kita menjadi orang yang tahu berterima kasih kepada Tuhan? Adakah pernah kita memikirkan tentang tanggungjawab kita kepada Tuhan? Atau kita masih asyik mengejar keseronokkan dunia? Masih asyik mengejar kemewahan dunia? Ingatlah….bila manusia kufur kepada nikmat Allah dengan mengabaikan kewajipan mereka terhadap Allah dan tidak taat kepada perintah Allah maka Allah menjanjikan hukuman sebegini kepada mereka. Kalau musibah telah pun menimpa maka ia berpunca daripada perbuatan kita.

 

            Janganlah kita terpedaya dengan keseronokan yang kita kecapi sekarang. Kemajuan, kekayaan dan kekuatan ekonomi yang kita kecapi adalah ujian daripada Allah. Jangan kita merasakan nikmat keamanan dan kesenangan yang kita miliki sekarang akan kekal seandainya kita terus melupakan Tuhan kita, melupakan ajaran Rasulullah. Bacalah peringatan daripada Allah :

أفأمن أهل القرى أن يأتيهم بأسنا بياتا وهم نائمون 0  أوأمن أهل القرى أن يأتيهم بأسنا ضحى وهم يلعبون 0  أفأمنوا مكر الله فلا يأمن مكر الله إلا القوم الخاسرون

Maksudnya : “adakah penduduk di sesuatu penempatan berasa aman daripada didatangi azab Kami pada waktu malam ketika mana mereka sedang tidur? Adakah penduduk di sesuatu penempatan merasa aman daripada didatangi oleh azab Kami pada waktu dhuha ketika mana mereka sedang bermain? Apakah mereka merasa aman daripada tipu muslihat Allah? Tidak berasa aman daripada tipu muslihat Allah melainkan golongan yang rugi”- Al-A’rof 97-99

 

            Berapa ramai manusia yang kita dengar terkorban disebabkan bencana yang datang ketika mereka sedang tidur dan bermain? Tragedi di Aceh, Bukit Antarabangsa, baru-baru ini di Padang dan di merata dunia. Tidakkah kita merasa takut kepada tragedi yang seperti ini? Apakah kita masih lagi tenggelam dalam mimpi yang menyeronokkan dan angan-angan yang panjang? Ke manakah kita hendak melarikan diri? Kembalilah wahai hamba Allah kepada agama-NYA. Mintalah keampunan dari Rob kamu atas dosa-dosa kamu. Sedarlah bahawa kamu merupakan hamba ciptaan-NYA yang mempunyai tanggungjawab kepada-NYA selama mana kamu hidup di atas muka bumi ini.

 

            Ingatlah….dosa-dosa manusia merupakan perkara yang mengundang bencana dan hukuman Allah. Sabda Rasulullah :

إذا استحلت أمتي خمسا فعليهم الدمار: إذا ظهر التلاعن وشربوا الخمور ولبسوا الحرير واتخذوا القيان واكتفى الرجال بالرجال والنساء بالنساء

Maksudnya : “apabila umatku menghalalkan 5 perkara maka mereka akan ditimpa kebinasaan. Apabila timbulnya perbuatan melaknati antara satu sama lain, mereka meminum arak, memakai sutera, mengambil penyanyi-penyanyi wanita, si lelaki merasa cukup dengan lelaki (gay) dan si perempuan merasa cukup dengan perempuan (lesbian)”- Sohih At-Tagrib oleh Al-Albani (dinukil dari Ad-Durarus Saniyyah).

فى هذه الأمة خسف ومسخ وقذف , إذا ظهرت القيان والمعازف وشربت الخمور

Maksudnya : “berlaku pada umat ini bencana seperti tenggelam ke perut bumi, pengubahan rupa dan ledakan apabila timbulnya penyanyi-penyanyi wanita, tersebarnya alat muzik dan arak diminum”- Sohih Al-Jamie’ oleh Al-Albani.

 

Siapakah yang hendak mengambil pengajaran……

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Ibadah Korban (Ied Adha)

Sunday, October 4th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

IBADAT KORBAN

 

Dipetik daripada risalah ‘Hukum Korban dan Sembelihan’ oleh Syaikh Muhammad ibnu Soleh Al-Uthaimin.

 

Pengertian Korban :

 

Korban adalah binatang ternakan yang disembelih pada hari raya adha disebabkan tibanya hari raya tersebut dengan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah ‘azza wa jalla.

 

Dalilnya :

 

Ibadat korban merupakan salah satu daripada syiar Islam yang disyariatkan agar kita melakukannya. Disebutkan di dalam soheh Al-Bukhori dan Muslim daripada Anas ibnu Malik rodhiyallahu ‘anhu katanya : “Rasulullah melakukan korban dengan 2 ekor biri-biri jantan yang menarik. Baginda menyembelihnya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut bismillah dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas sisi badan biri-biri tersebut”.

 

Hukumnya :

 

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa hukum korban adalah sunnat muakkad. Diantara mereka ialah Imam Syafie dan pendapat yang mashur daripada Imam Malik dan Ahmad. Sebahagian yang lain seperti Abu Hanifah dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad mengatakan hukumnya adalah wajib. Pendapat kedua ini diambil oleh Ibnu Taimiyyah.

            ‘Selayaknyalah bagi seorang hamba yang beriman mengambil berat tentang sunnah ini apatah lagi sekiranya dia merupakan orang yang berkemampuan untuk melakukannya. Harta yang kita belanjakan di jalan yang diredhoi Allah inilah yang akan mendatangkan manfaat buat kita di hari kemudian’ - (abu auzaie).

 

Syarat-syarat Korban :

 

1.   Binatang Ternakan iaitu unta, lembu dan ‘gronam’ (kambing dan biri-biri). Ini berdasarkan firman Allah :

ولكل أمة جعلنا منسكا ليذكروا اسم الله على ما رزقهم من بهيمة الأنعام فإلهكم إله واحد فله أسلموا وبشر المخبتين

Maksudnya : “Dan Aku jadikan bagi setiap umat itu ibadat untuk mereka menyebut nama Allah di atas pemberian rezeki daripada binatang ternakan. Tuhan kamu merupakan tuhan yang satu maka hanya kepadanyalah hendaklah kamu menyerah diri dan berilah khabar gembira buat orang yang tunduk”- surah Al-Haj ayat 34.

Binatang ternakan yang dikenali dikalangan masyarakat Arab adalah unta, lembu dan gronam.

 

2.   Mencapai umur yang ditetapkan oleh syara’ berdasarkan hadis Rasulullah :

لا تذبحوا إلا مسنة إلا أن تعسر عليكم فتذبحوا جذعة من الضأن

Maksudnya : “Jangan kamu sembelih melainkan ‘musinnah’, melainkan sekiranya tidak kamu temui maka sembelihlah ‘jaza’ah’ daripada kumpulan biri-biri”- riwayat Muslim.

‘Musinnah’ ertinya binatang yang cukup umur iaitu 5 tahun bagi unta, 2 tahun bagi lembu dan setahun bagi gronam. ‘Jaza’ah’ pula ertinya binatang yang mencapai umur setengah tahun (6 bulan).

Oleh itu tidak boleh melakukan korban dengan unta atau lembu atau kambing yang tidak ‘musinnah’. Adapun biri-biri boleh dilakukan korban setelah mencapai umur jaza’ah (6 bulan) berdasarkan hadis di atas.

 

3.   Tidak mempunyai kecacatan yang menghalang sahnya ibadat korban. Kecacatan tersebut ada empat :

       i.  Kecacatan yang jelas disebelah mata seperti mata tertutup, tersembul keluar atau tidak mempunyai mata hitam.

       ii. Sakit yang tampak kesannya seperti tak mampu berjalan, tak selera makan, luka yang dalam yang menjejaskan kesihatannya dan penyakit kulit yang merosakkan dagingnya.

       iii. Tempang yang menyebabkan ia tidak dapat berjalan seiring dengan binatang yang lain.

       iv. Terlalu kurus.

       Kesemua binatang yang mempunyai kecacatan yang menyerupai apa yang dinyatakan dia atas atau lebih teruk tidak boleh dijadikan korban seperti buta kedua-dua matanya, kudung dan sebagainya.

 

4.   Merupakan milik orang yang hendak melakukan korban. Tidak boleh korban dengan binatang yang dirampas, dicuri dan seumpamanya.

 

5.   Tidak berkait dengan hak orang lain. Tidak boleh melakukan korban dengan binatang yang digadai.

 

6.   Menyembelihnya pada waktu yang ditentukan oleh syara’ iaitu selepas solat hari raya sehingga terbenamnya matahari pada hari 13 Zulhijjah berdasarkan sabda Nabi :

من ذبح قبل الصلاة فإنما هو لحم قدمه لأهله وليس من النسك فى شيء

Maksudnya : “Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya) maka ia hanya akan menjadi daging yang disediakan untuk keluarganya. Tidak ianya menjadi ibadat korban”- riwayat Al-Bukhori.

 

Bersambung insyaAllah….

 

Dinukil oleh : Ustadz Abu Auzaie