Ibadah Korban (Ied Adha)
بسم الله الرحمن الرحيم
IBADAT KORBAN
Dipetik daripada risalah ‘Hukum Korban dan Sembelihan’ oleh Syaikh Muhammad ibnu Soleh Al-Uthaimin.
Pengertian Korban :
Korban adalah binatang ternakan yang disembelih pada hari raya adha disebabkan tibanya hari raya tersebut dengan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah ‘azza wa jalla.
Dalilnya :
Ibadat korban merupakan salah satu daripada syiar Islam yang disyariatkan agar kita melakukannya. Disebutkan di dalam soheh Al-Bukhori dan Muslim daripada Anas ibnu Malik rodhiyallahu ‘anhu katanya : “Rasulullah melakukan korban dengan 2 ekor biri-biri jantan yang menarik. Baginda menyembelihnya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut bismillah dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas sisi badan biri-biri tersebut”.
Hukumnya :
Jumhur ulama’ berpendapat bahawa hukum korban adalah sunnat muakkad. Diantara mereka ialah Imam Syafie dan pendapat yang mashur daripada Imam Malik dan Ahmad. Sebahagian yang lain seperti Abu Hanifah dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad mengatakan hukumnya adalah wajib. Pendapat kedua ini diambil oleh Ibnu Taimiyyah.
‘Selayaknyalah bagi seorang hamba yang beriman mengambil berat tentang sunnah ini apatah lagi sekiranya dia merupakan orang yang berkemampuan untuk melakukannya. Harta yang kita belanjakan di jalan yang diredhoi Allah inilah yang akan mendatangkan manfaat buat kita di hari kemudian’ - (abu auzaie).
Syarat-syarat Korban :
1. Binatang Ternakan iaitu unta, lembu dan ‘gronam’ (kambing dan biri-biri). Ini berdasarkan firman Allah :
ولكل أمة جعلنا منسكا ليذكروا اسم الله على ما رزقهم من بهيمة الأنعام فإلهكم إله واحد فله أسلموا وبشر المخبتين
Maksudnya : “Dan Aku jadikan bagi setiap umat itu ibadat untuk mereka menyebut nama Allah di atas pemberian rezeki daripada binatang ternakan. Tuhan kamu merupakan tuhan yang satu maka hanya kepadanyalah hendaklah kamu menyerah diri dan berilah khabar gembira buat orang yang tunduk”- surah Al-Haj ayat 34.
Binatang ternakan yang dikenali dikalangan masyarakat Arab adalah unta, lembu dan gronam.
2. Mencapai umur yang ditetapkan oleh syara’ berdasarkan hadis Rasulullah :
لا تذبحوا إلا مسنة إلا أن تعسر عليكم فتذبحوا جذعة من الضأن
Maksudnya : “Jangan kamu sembelih melainkan ‘musinnah’, melainkan sekiranya tidak kamu temui maka sembelihlah ‘jaza’ah’ daripada kumpulan biri-biri”- riwayat Muslim.
‘Musinnah’ ertinya binatang yang cukup umur iaitu 5 tahun bagi unta, 2 tahun bagi lembu dan setahun bagi gronam. ‘Jaza’ah’ pula ertinya binatang yang mencapai umur setengah tahun (6 bulan).
Oleh itu tidak boleh melakukan korban dengan unta atau lembu atau kambing yang tidak ‘musinnah’. Adapun biri-biri boleh dilakukan korban setelah mencapai umur jaza’ah (6 bulan) berdasarkan hadis di atas.
3. Tidak mempunyai kecacatan yang menghalang sahnya ibadat korban. Kecacatan tersebut ada empat :
i. Kecacatan yang jelas disebelah mata seperti mata tertutup, tersembul keluar atau tidak mempunyai mata hitam.
ii. Sakit yang tampak kesannya seperti tak mampu berjalan, tak selera makan, luka yang dalam yang menjejaskan kesihatannya dan penyakit kulit yang merosakkan dagingnya.
iii. Tempang yang menyebabkan ia tidak dapat berjalan seiring dengan binatang yang lain.
iv. Terlalu kurus.
Kesemua binatang yang mempunyai kecacatan yang menyerupai apa yang dinyatakan dia atas atau lebih teruk tidak boleh dijadikan korban seperti buta kedua-dua matanya, kudung dan sebagainya.
4. Merupakan milik orang yang hendak melakukan korban. Tidak boleh korban dengan binatang yang dirampas, dicuri dan seumpamanya.
5. Tidak berkait dengan hak orang lain. Tidak boleh melakukan korban dengan binatang yang digadai.
6. Menyembelihnya pada waktu yang ditentukan oleh syara’ iaitu selepas solat hari raya sehingga terbenamnya matahari pada hari 13 Zulhijjah berdasarkan sabda Nabi :
من ذبح قبل الصلاة فإنما هو لحم قدمه لأهله وليس من النسك فى شيء
Maksudnya : “Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya) maka ia hanya akan menjadi daging yang disediakan untuk keluarganya. Tidak ianya menjadi ibadat korban”- riwayat Al-Bukhori.
Bersambung insyaAllah….
Dinukil oleh : Ustadz Abu Auzaie
Last 5 posts in Fiqih
- Ibadah Kurban (Ied Adha)-2 - November 5th, 2009
- Tazkirah dari Bencana - October 4th, 2009
- Sholat Malam di Bulan Ramadhan (Tarawikh) - September 1st, 2009
- Shaum (Puasa) Ramadhan-4 - August 23rd, 2009
- Shaum (Puasa) Ramadhan-3 - August 17th, 2009