Archive for November, 2009

Pengertian Rukun Islam yang Pertama

Sunday, November 29th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Pengertian Rukun Islam Yang Pertama :

 

شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله

 

“Bersaksi bahawa tiada ‘Ilah’ yang berhak dilakukan ibadat melainkan Allah dan Muhammad merupakan rasul Allah”

 

 

            Kalimah syahadah merupakan asas terpenting di dalam agama. Ia merupakan syarat untuk seseorang masuk ke dalam agama Islam dan syarat untuk mencapai syurga Allah. Apabila seseorang menyempurnakan syarat dan tuntutan syahadah maka ia layak untuk mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

 

            Oleh itu menjadi kewajipan bagi setiap manusia yang beragama Islam mempelajari makna kalimah syahadah dan memahaminya sebagaimana yang dikehendaki oleh Rob mereka. Tidak boleh dia jahil tentangnya kerana kejahilan akan menyebabkan dirinya terjebak ke dalam kemungkaran dan maksiat kepada Allah Yang Maha Agong.

 

            Pada siri ini kita akan mempelajari pengertian syahadah (لا إله إلا الله  ) yang dipanggil kalimah tauhid. Sabda Rasulullah :

 

من مات وهو يعلم أن لا إله إلا الله دخل الجنة

Maksudnya : “siapa yang mati dalam keadaan dia mengetahui bahawa tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Allah (لا إله إلا الله  ) maka dia akan masuk ke dalam syurga”- riwayat Muslim

 

            Alangkah besarnya nilai kalimah tauhid ini. Manakah keuntungan yang lebih besar daripada kejayaan mencapai syurga Allah dan selamat daripada neraka-Nya. Firman Allah :

 

فمن زحزح عن النار وأدخل الجنة فقد فاز…

Maksudnya : “Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka dia merupakan orang yang berjaya….”- surah Al-Imran 185

 

            Untuk memahami kalimah (لا إله إلا الله  ) ini kita perlu melihat daripada beberapa sudut :

1.   Pengertian ‘Ilah’

2.   Penafian adanya ‘Ilah’ pada kalimah (لا إله  )

3.   Menetapkan (Ithbat-إثبات  ) bahawa yang berhak terhadap uluhiyah (maksudnya yang berhak untuk dilakukan ibadat kepadanya ) hanyalah Allah. Makna ini terkandung di dalam kalimah (إلا الله  ).

 

Pengertian Ilah

 

            Kalimah ‘Ilah’ membawa makna ma’bud (معبود  ) ertinya yang dilakukan ibadat kepadanya. Apabila seseorang menyembah sesuatu, mengharap dan menghina diri kepadanya maka dia telah menjadikan perkara tersebut ‘ilah’ baginya. Ini kerana ibadat merupakan pengharapan dan penghinaan diri terhadap sesuatu yang agong yang berkuasa untuk memberi manfaat dan mendatangkan mudhorat.

 

Makna (لا إله  )

 

            Di dalam kalimah tauhid ini, kita bersaksi bahawa  tiada sesuatu pun berhak untuk disembah dan dilakukan ibadat kepadanya (لا إله  ) sama ada perkara tersebut adalah patung-patung, jin, manusia dan sebagainya kerana ia tidak berkuasa untuk mendatangkan manfaat atau memberi mudhorat. Kesemuanya adalah makhluk yang lemah, yang tunduk kepada kuasa yang lain iaitu Allah ‘azza wa jalla. Oleh itu Allah mengingkari perbuatan orang-orang musyrikin yang menyembah selain Allah di dalam firman-Nya :

 

ويعبدون من دون الله ما لاينفعهم ولا يضرهم وكان الكافرعلى ربه ظهيرا

Maksudnya : “dan mereka (orang musyrikin) melakukan ibadat kepada perkara selain Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat atau mudhorat. Orang yang kafir merupakan penolong (kepada syaitan untuk melakukan maksiat) terhadap Allah”- surah Al-Furqan ayat 55

 

Makna (إلا الله  )

 

            Setelah kita menafikan wujudnya ‘ilah’ maka kita ‘mengithbatkannya’ kepada Allah. Ini kerana Dia merupakan Rob yang mencipta segala apa yang ada di alam ini, yang berkuasa, yang memberi rezeki serta menghidup dan mematikan. Sesuatu yang memiliki kesempurnaan dan kekuasaan seperti inilah merupakan satu-satunya yang layak disembah. Fitrah meanusia mengakui bahawa yang mencipta dan mentadbir segala urusan alam ini adalah Allah ‘azza wa jalla. Firman Allah :

 

ولئن سألتهم من خلق السموات والأرض ليقولن الله

Maksudnya : “dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka ( orang musyrikin) : siapakah yang mencipta langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab : Allah”- surah Luqman ayat 25

 

            Manusia tidak akan mengatakan patung-patung yang mereka sembah atau nabi Isa atau jin merupakan pencipta langit dan bumi. Mereka mengetahui bahawa perkara-perkara tersebut merupakan makhluk yang tidak memiliki apa-apa kekuasaan. Yang berkuasa hanya Allah. Kalau begitu kenapakah kamu menyembah selain daripada Allah? Bukankah Allah telah memerintahkan supaya manusia melakukan ibadat kepadanya? Bukankah Allah memerintahkan supaya berdoa dan mengharap kepadanya? Firman Allah :

 

وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه…..

Maksudnya : “dan Rob kamu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya…”- surah Al-Isra’ 22

 

وقال ربكم ادعوني أستجب لكم…..

Maksudnya : “dan Rob kamu berkata : Berdoalah kepadaku, maka Aku akan perkenankan buat kamu….” Surah Ghofir 60

 

            Dari sini kita mengetahui bahawa makna kalimah tauhid (لا إله إلا الله  ) adalah “Tiada Ilah yang berhak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah”. Oleh itu perlu pula kita mengetahui apakah makna ibadah yang diperintahkan supaya kita melakukannya hanya kepada Allah. Pengertian ibadat akan kita huraikan pada artikel yang akan datang insyaAllah.

 

Oleh Ustadz Abu Auzaie

Pujian Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Thursday, November 26th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Pujian-pujian Ulama Terhadap Syaikh Robei’ al-Madkhali

 

 

            Nama Syaikh Robei’ ibnu Hadi al-Madkhali merupakan nama yang tidak asing lagi dikalangan salafiyun yang faham tentang manhaj salafi yang sebenar. Seorang ulama yang berjuang menegakkan sunnah Rasulullah dan memerangi bid’ah dan ahli bid’ah.

 

            Syaikh Robei’ berguru dengan ramai ulama’ besar ahli sunnah di zaman ini. Diantara mereka ialah Syaikh Hafiz ibnu Ahmad al-Hakami, Syaikh Abdul Aziz ibnu Baz, Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, Syaikh Muhammad Aman Al-Jami, Syaikh Ahmad An-Najmi dan Syaikh Muhammad al-Amin As-Syinqiti. Beliau juga merupakan lulusan Universiti Islam Madinah. Mendapat M.A dan Phd dalam bidang Hadis di Universiti Raja Abdul Aziz cawangan Mekah.

 

            Keberanian dan ketegasan beliau dalam menegakkan kebenaran menyebabkan ramai manusia yang berpenyakit hatinya amat bencikan beliau. Tidak membenci beliau melainkan salah satu daripada 2 jenis manusia : si jahil yang sekadar mengikut apa yang dia dengar dari mulut orang lain atau orang yang dikuasai oleh hawa nafsu yang membenci kebenaran. Oleh itu dibawakan di sini pujian-pujian ulama Ahli Sunnah di zaman ini untuk tatapan pembaca agar mereka lebih mengenali siapakah Syaikh Robei’ dan menghormati beliau sebagai salah seorang ulama’ besar zaman ini. Semoga dengan itu mereka tidak terpedaya dengan cacian dan tohmahan yang dilemparkan oleh segolongan manusia yang membela kebatilan dan kesesatan.

 

Kata Syaikh Muhammad Nasirudin Al-Albani :

 

  • - “Menjatuhkan kedua-dua syaikh ini : Syaikh Robei’ dan Syaikh Muqbil yang menyeru kepada Kitab dan Sunnah berdasarkan kefahaman salafus soleh dan memerangi orang-orang menyelisihi manhaj yang benar ini, telah nyata kepada semua bahawa perbuatan seperti ini hanya dilakukan oleh salah seorang daripada 2 jenis manusia : sama ada orang yang jahil atau pengikut hawa nafsu”.
  • - “Saya ingin mengatakan bahawa apa yang saya lihat di dalam tulisan-tulisan Syaikh Robei’ merupakan tulisan yang bermanfaat. Seingat saya tidak pernah saya melihat kesalahan dan perkara yang keluar daripada manhaj yang kami bertemu dengannya”.
  • - “Ringkasnya saya katakan : Pembawa panji Jarh wa Ta’dil pada zaman ini dengan sebenar-benarnya adalah saudara kita Doktor Robei’. Orang yang membantahnya tidak langsung membantah dengan ilmu. Ilmu bersama-sama beliau”.
  • - “Ramai dikalangan ulama’ yang telah membantah beliau (Muhammad Al-Ghazali) dan menjelaskan secara terperinci tentang kebingungan dan penyimpangannya. Diantara bantahan terbaik yang pernah aku lihat adalah bantahan yang dibuat oleh sahabat kami Doktor Robei’ ibnu Hadi Al-Madkhali di dalam majalah ‘Mujahid’ yang dikeluarkan di Afghanistan”
  • - “Kesemua bantahan kamu (Syaikh Robei’) terhadap sayid qutb adalah benar. Daripada bantahan ini, nyatalah kepada semua pembaca muslim yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang Ilmu Islam bahawa sayid qutb tidak mempunyai pengetahuan tentang Islam sama ada berkaitan dengan asas-asas agama atau cabangnya. Semoga Allah membalas kebaikan buat kamu wahai akh Robei’ di atas usaha kamu menunaikan tanggungjawab menjelaskan kejahilan beliau (sayid qutb) dan penyimpangannya daripada ajaran Islam”.

 

Kata-kata Syaikh Abdul Aziz ibnu Baz :

 

  • - “Khusus berkaitan dengan 2 Syaikh yang mulia Syaikh Muhammad Aman Al-Jami dan Syaikh Robei’ ibnu Hadi Al-Madkhali, kedua-duanya merupakan dikalangan ahli sunnah dan aku kenali mempunyai ilmu, kelebihan dan aqidah yang betul. Doktor Muhammad Aman telah meninggal dunia pada malam Khamis bersamaan 27 Syaaban tahun ini. Aku menasihatkan supaya mengambil faedah daripada kitab kedua-duanya”.
  • - “Apa yang disebutkan oleh Syaikh Robei’ tentang dakwah Syaikh Muhammad ibnu Abdil Wahab- rahimahullah- adalah hakikat yang sebenar. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan buat negeri ini dakwah yang diberkati iaitu dakwah salafiyah. Akan tetapi musuh-musuh Allah cuba memberikan gambaran buruk kepada dakwah ini. Mereka mengatakan : Wahabi!! Mubtadi’ yang berbuat begitu dan begini. Mereka tersebut adalah orang-orang yang sesat dan ahli bid’ah. Mereka itu sama ada si jahil atau orang yang mengikut si jahil atau yang ketiga iaitu pengikut hawa nafsu yang ingkar kepada Allah dalam keadaan mengetahui.. mereka adalah musuh dakwah salafiyah”.

 

Kata-kata Syaikh Muhammad ibnu Soleh al-Uthaimin :

 

  • - “Saudara kita Syaikh Robei’ Al-Madkhali telah menulis beberapa peringatan penting tentang sayid qutb berkaitan tulisan beliau dalam tafsirnya dan kitab-kitabnya yang lain. Sesiapa yang mahu merujuknya maka bolehlah berbuat demikian.”.
  • - “Syaikh Robei’ merupakan salah seorang ulama’ Sunnah dan dikalangan ahli kebaikan. Akidahnya sejahtera dan manhajnya adalah betul”.

 

            Inilah sebahagian daripada kata-kata ulama besar Ahli Sunnah zaman ini tentang Syaikh Robei’. Tidak menghormati beliau melainkan ahli sunnah dan tidak membenci dan mencaci beliau melainkan ahli bid’ah. Kata Abu Hatim Ar-Razi : “Tanda ahli bid’ah adalah mencaci Ahli Athar”. Nukilan di atas menunjukkan juga kepada kita bahawa kritikan Syaikh Robei’ terhadap sayib qutb mendapat sokongan dan pujian daripada ulama’ besar salafiyun di zaman ini. Hendaklah orang yang mencela atau menyalahkan Syaikh Robei’ tahu tentang kedudukan dirinya dan sedar daripada kesalahannya. Janganlah membela kebatilan berdasarkan dorongan hawa nafsu dan janganlah melakukan ‘talbis’ untuk mempertahankan orang membawa fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan manhaj salafus soleh.

 

Semoga Allah memberi hidayat kepada semua

 

Kata-kata ulama di atas dinukil daripada kitab (الثناء البديع من العلماء على الشيخ ربيع ) karangan Syaikh Kholid Az-Dzofiri - hafidzohullah - dengan sedikit olahan.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Ibadah Kurban (Ied Adha)-2

Thursday, November 5th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

IBADAT KORBAN

(Sambungan)

 

Jenis dan Sifat Binatang Yang Paling Elok Untuk Dikorbankan

 

            Binatang yang paling afdhal untuk dikorbankan adalah mengikut turutan berikut :

 

1.   Seekor Unta (ertinya yang tidak dipecahkan kepada 7 bahagian)

2.   Seekor Lembu

3.   Biri-biri

4.   Kambing

5.   Satu bahagian dari unta

6.   Satu bahagian dari lembu

 

            Adapun sifat binatang korban yang paling afdhal adalah binatang yang gemuk (ertinya yang paling banyak dagingnya) dan paling menarik. Ini berdasarkan hadis Raulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori :

 

عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يضحي بكبشين أقرنين أملحين

Daripada Anas ibnu Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah melakukan korban dengan menyembelih 2 ekor kibas jantan yang besar, bertanduk dan bertompok-tompok bulunya.

 

Bilakah haiwan tertentu dikira sebagai binatang korban?

 

1.   Menentukannya dengan mengatakan : “ini untuk korban”. Adapun sekiranya dia mengatakan : “saya bercadang nak korbankannya nanti”, maka tidak dikira sebagai binatang korban kerana ia sekadar pemberitahuan tentang apa yang ingin dilakukan.

2.   Membelinya sebagai ganti bagi binatang yang telah ditentukan sebagai korban akan tetapi ditimpa bencana seperti mati atau cedera yang teruk. Begitu juga apabila seseorang menyembelihnya dengan niat melakukan ibadat korban.

 

Apabila haiwan tersebut telah ditentukan sebagai binatang korban maka ia terikat dengan beberapa hukum :

 

1.   Tidak boleh dijual beli, dihadiahkan kepada orang lain atau digadaikan kecuali sekiranya ia menggantikannya dengan binatang yang lain yang lebih baik. Syaratnya ialah penukaran tersebut kerana kebaikan untuk ibadat korbannya bukan kerana kepentingan dirinya. Kalau dia hendak menukarkannya kerana kepentingan dirinya seperti tiba-tiba berasa sayangkan binatang tersebut maka ia tidak dibolehkan.

2.   Sekiranya tuannya mati maka wajib bagi warisnya melaksanakan korban tersebut baginya. Binatang tadi tidak boleh diwarisi.

3.   Tidak boleh digunakan untuk melakukan kerja seperti bercucuk tanam, memikul barang-barang dan sebagainya. Tidak boleh diambil bulunya melainkan sekiranya pengambilan bulu tersebut mendatangkan kebaikan bagi haiwan tadi.

4.   Sekiranya binatang korban tersebut tercedera dengan kecederaan yang menjadikannya tidak boleh dikorbankan seperti buta matanya maka wajib digantikan seandainya ia berpunca daripada kecuaian tuannya. Hendaklah ia menggantikannya dengan yang sama sifatnya atau lebih baik.

5.   Sekiranya binatang korban tersebut hilang atau dicuri maka wajib bagi tuannya menggantikannya seandainya ia berlaku kerana kecuaiannya. Kalau bukan kerana kecuaiannya maka tidaklah diwajibkan baginya menggantikannya.

6.   Sekiranya binatang tersebut disembelih bukan pada waktu korban maka wajib bagi tuannya menggantikannya.

7.   Sekiranya binatang tersebut mati disebabkan perbuatan tuannya maka wajib baginya menggantikan dengan yang lain. Adapun sekiranya ia mati disebabkan bencana alam seperti banjir, wabak penyakit, dibunuh oleh perompak dan seumpamanya maka tidak wajib baginya menggantikannya.

 

Pembahagian Daging Korban

 

            Disyariatkan bagi orang yang melakukan korban membahagikan daging korban kepada 3 bahagian :

1.   Untuk dimakan.

2.   Disedekahkan kepada fakir miskin.

3.   Dihadiahkan kepada orang yang berada.

 

Ini berdasarkan firman Allah :

 

فكلوا منها وأطعموا القانع والمعتر

Maksudnya : “makanlah daripadanya dan berilah makan kepada orang yang memintanya dan yang ada disitu” - surah Al-Haj ayat 36

 

Sabda Rasulullah :

 

كلوا وأطعموا وادخروا

Maksudnya : “Makanlah, berilah makan dan simpanlah” - riwayat Al-Bukhori.

 

Diharamkan menjual mana-mana bahagian daripada binatang korban walaupun kulitnya dan tidak boleh memberi upah dengan daging atau kulit atau mana-mana bahagian daripada korban kepada orang yang melapahnya.

 

Perkara Yang Dilarang

 

            Apabila masuk bulan Zulhijjah dilarang bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban melakukan perkara-perkara berikut :

1.   Memotong atau mencukur rambutnya dan bulu-bulu di tempat lain.

2.   Memotong kuku.

 

Ini berdasarkan sabda Rasulullah :

 

إذا رأيتم هلال ذى الحجة وأراد أحدكم أن يضحي فليمسك عن شعره وأظفاره

Maksudnya : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan di antara kamu ada yang hendak melakukan korban, maka hendaklah dia menahan diri daripada mengambil rambut dan kukunya” - riwayat muslim.

Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Ma’ruf

Thursday, November 5th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Siri 4 :

Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Yang Ma’ruf, Bersabar Dengan Kezaliman Mereka Dan Tidak Bangkit Menentang Mereka

 

            Ini merupakan salah satu asas pegangan ahli sunnah yang penting. Kalau kita merujuk kepada kitab-kitab ulama Ahli Sunnah terdahulu sehingga ke hari ini yang menyatakan tentang pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, kita akan dapati mereka menyebutkan masalah ini.

            Tidaklah sesat ahli bid’ah yang terawal seperti khawarij melainkan kerana mereka tidak berpegang dengan usul ini. Ramai dikalangan manusia dikuasai oleh perasaan dan hawa nafsunya apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Mereka menyangka bahawa penyelesaian bagi masalah yang menimpa umat Islam adalah menjatuhkan pemimpin yang zalim tersebut. Mereka tidak mahu mencari pedoman yang ditunjukkan oleh Nabi dan salafus soleh dalam menghadapi situasi yang seperti ini.

            Hadis-hadis Nabi dan perkataan ulama ahli sunnah tentang masalah ini amat jelas. Cuma ramai dikalangan kita tidak mengetahuinya atau sengaja tidak mahu mengambil peduli disebabkan ia bertentangan dengan hawa nafsu mereka yang ingin menguasai tampuk pemerintahan. Mereka menyangka bahawa segala pemasalahan yang menyelubungi umat akan selesai apabila mereka memerintah. Kumpulan yang malang ini tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka telah terjebak kepada kerja yang bertentangan dengan tunjuk ajar syara’ dan mengikut jejak langkah kumpulan sesat yang terdahulu khususnya khawarij.

            Di dalam siri ini saya akan menyebutkan sebahagian daripada nas-nas dan kata-kata ulama ahli sunnah berkaitan dengan usul di atas insyaAllah. Semoga nukilan ini akan dapat menjadi pedoman buat umat Islam di negara kita khususnya dalam menghadapi fitnah ini.

 

Sabda Rasulullah :

عليك السمع والطاعة فى عسرك ويسرك ومنشطك ومكرهك وأثرة عليك

Maksudnya : “Hendaklah kamu mendengar dan taat dalam keadaan kamu susah atau senang, dalam perkara yang kamu sukai atau tidak sukai dan dalam keadaan berlaku perbuatan membolot kekayaan dengan kamu diketepikan”- riwayat Muslim.

 

Kata An-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini : “Kata para ulama : maknanya adalah kewajipan mentaati pemerintah di dalam perkara yang berat dan tidak disukai oleh jiwa dan perkara-perkara yang lain yang tidak berbentuk maksiat. Kalau di dalam perkara berbentuk maksiat maka tidak wajib mendengar dan taat sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis yang berikut”- Kitab Imarah.

 

Katanya lagi : “Hadis-hadis ini mengandungi dorongan agar mendengar dan taat dalam semua keadaan kerana ia membawa kepada kesatuan umat Islam. Ini kerana persengketaan merupakan sebab yang membawa kepada kerosakan terhadap hal-ehwal agama dan dunia mereka”- Kitab Imarah.

 

Sabda Baginda lagi :

إنها ستكون بعدي أثرة وأمور تنكرونها , قالوا : يا رسول الله كيف تأمر من أدرك منا ذلك؟ قال : تؤدون الحق الذى عليكم وتسألون الله الذى لكم

Maksudnya : “Sesungguhnya akan berlaku selepas ketiadaanku perbuatan membolot kekayaan dan perkara-perkara yang kamu ingkari. Mereka berkata : “wahai Rasulullah, apakah perintah kamu kepada orang yang sempat dengan zaman tersebut dikalangan kami? Kata Nabi : Tunaikanlah hak yang telah diletakkan di bahu kamu dan mintalah kepada Allah hak kamu”- riwayat Muslim.

 

Kata An-Nawawi : “Hadis ini mengandungi suruhan agar mendengar dan taat walaupun pemimpin merupakan orang yang zalim. Hendaklah diberikan haknya iaitu ketaatan dan tidak boleh bangkit menentangnya atau menggulingkannya. Bahkan hendaklah dia memohon kepada Allah agar melindunginya daripada kejahatan pemimpin tersebut dan memperelokkannya”- Kitab Imarah.

 

Sabda Baginda lagi :

خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم , وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم , قيل يا رسول الله , أفلا ننابذهم عند ذلك؟ قال : لا , ما أقاموا فيكم الصلاة , لا ما أقاموا فيكم الصلاة , ألا من ولي عليه وال , فرآه يأتي شيئا من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة

Maksudnya : “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah orang yang kamu kasihkan kepada mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan buat mereka dan mereka mendoakan buat kamu. Seburuk-buruk pemimpin kamu ialah orang yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu,kamu mencaci mereka dan mereka mencaci kamu. Mereka berkata : kami pun bertanya : wahai Rasulullah apakah boleh kami bangkit menentang mereka pada waktu tersebut? Kata Nabi : tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Ketahuilah…sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin, lalu dia melihat pemimpin tersebut melakukan sesuatu maksiat kepada Allah maka hendaklah dia membenci perbuatan maksiat kepada Allah tersebut. Janganlah dia menarik tangan ketaatan”- riwayat Muslim.

 

Sesiapa yang mengamati hadis di atas dan banyak lagi hadis yang lain akan mengetahui bahawa Rasulullah telah pun mengetahui akan wujudnya pemimpin yang zalim dan melakukan kemungkaran. Namun baginda tidak mengajar umat baginda menentang atau menjatuhkan pemerintah sebagai jalan penyelesaian. Maka ingatlah bahawa usaha menjatuhkan pemerintah bukanlah sunnah baginda walaupun mereka melakukan kezaliman dan mengabaikan hukum Allah. Tidaklah manusia pada hari ini merupakan orang yang lebih kasih kepada umat Muhammad dan lebih cinta kepada hukum Allah daripada Rasulullah. Maka janganlah menjadikan kemaksiatan dan kezaliman yang dilakukan pemerintah sebagai alasan untuk bangkit menentang mereka. Rasulullah tidak menunjukkan kepada umat baginda melainkan perkara yang terbaik untuk mereka.

 

Sabda baginda lagi :

إنكم ستلقون بعدي أثرة , فاصبروا حتى تلقوني على الحوض

Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan menemui sikap membolot harta kekayaan selepas ketiadaanku. Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di telaga (kauthar)”- riwayat Muslim.

 

Sebahagian manusia merasa pelik; bagaimana boleh kita bersabar dalam keadaan seperti ini? Bagaimana kita boleh bersabar sedangkan mereka melakukan kezaliman. Kami katakan kepada orang seperti ini : siapakah yang menyuruh kamu bersabar? Bukankah Rasulullah? Tidakkah kamu meyakini bahawa Rasulullah lebih tahu tentang perkara yang mendatangkan kebaikan buat umat Baginda? Maka ikutlah tunjuk ajar Baginda.

 

Kamu akan mendapat pertolongan Allah dengan taat kepada ajaran Rasul-Nya. Apabila kamu memilih jalan yang lain berdasarkan akal, perasaan dan semangat kamu semata-mata maka tidak akan datang pertolongan Allah. Kelak kamu akan menyesal. Lihatlah kepada Bani Israil. Apabila mereka taat kepada suruhan Nabi Musa agar bersabar dengan kezaliman firaun maka Allah membantu mereka. Allah binasakan firaun dan tenteranya. Firman Allah :

وتمت كلمة ربك الحسنى على بنى إسرائيل بما صبروا ودمرنا ما يصنع فرعون وقومه وما كانوا يعرشون

Maksudnya : “maka sempurnalah kalimah Allah (janji-Nya) kepada bani Israel disebabkan kesabaran mereka dan Kami musnahkan apa yang dicipta oleh firaun dan kaumnya dan apa yang mereka bina”- surah Al-A’rof ayat 137.

 

Kata Imam Ahmad : ” Usul Sunnah di sisi kami adalah mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mu’minin sama ada yang baik atau jahat..”- Kitab Usul As-Sunnah.

 

Kata Hasan Al-Bashri : “Wallahi…kalaulah manusia bersabar apabila diuji dengan pemimpin mereka maka Allah akan segera mengangkat musibah tersebut daripada mereka. Namun mereka bersegera mengangkat pedang lalu mereka dibiarkan bersama cara mereka. Wallahi…mereka tidak sekali-kali akan membawa hari yang baik”. Kemudian beliau membaca ayat 137 daripada surah Al-A’rof di atas - Kitab As-Syariah

 

 Kata Imam Al-Ajurri (360 H) : “Bab mendengar dan taat kepada pemimpin umat Islam dan bersabar dengan mereka walaupun mereka melakukan kezaliman dan tidak bangkit menentang mereka selagi mana mereka mendirikan solat” - Kitab As-Syari’ah.

 

Kata Imam Abu Ja’far At-Tohawi : “Kami (Ahli Sunnah) tidak berpandangan bolehnya bangkit menentang pemimpin walaupun mereka melakukan kezaliman. Kami tidak mendoakan keburukan buat mereka dan tidak menarik tangan ketaatan kepada mereka. Kami berpandangan taat kepada mereka merupakan ketaatan kepada Allah sebagai satu kefardhuan selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Kami mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat mereka”- Kitab Akidah At-Tohawiyah.

 

Kata Imam Abu Bakr ibnu Abi ‘Ashim ( 287 H) : “Bab perintah Nabi supaya bersabar apabila melihat tindak tanduk pemerintah”- Kitab Sunnah.

 

Apabila kita melihat pemimpin melakukan kesalahan dan maksiat maka nasihatilah dengan cara yang baik iaitu dengan bahasa yang lembut dan tidak menghebahkan keaiban mereka. Sikap ini akan menjadikan mereka lebih mudah menerima kebenaran dan menghormati ahli agama. Sabda Rasulullah :

من أراد أن ينصح لذى سلطان فى أمر فلا يبده علانية ولكن ليأخذ بيده فليخلوا به فإن قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه

Maksudnya : “Sesiapa yang hendak menasihati penguasa di dalam sesuatu perkara maka janganlah dia melakukan secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia menarik tangannya dan bersunyian dengannya. Kalau dia menerima nasihat tersebut maka itu adalah taufiq. Kalau tidak maka ia telah menunaikan tanggungjawabnya” - riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dan disohehkan oleh Al-Albani.

 

Bandingkan antara tunjuk ajar Nabi ini dengan sikap ramai dikalangan manusia pada hari ini. Mereka bukan sahaja menyebut kesalahan dan keaiban pemerintah secara terang-terangan, bahkan tidak segan silu mengutuk dan mencaci pemerintah. Lebih dahsyat lagi guru-guru mereka menghalalkan perbuatan ini kononnya selagi pemerintah tidak meninggalkan kezaliman maka mereka boleh dicaci. Ini adalah kesesatan dan cara dakwah yang menyimpang jauh daripada tunjuk ajar Rasulullah. Wallahul musta’an.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie