Ibadah Kurban (Ied Adha)-2

بسم الله الرحمن الرحيم

 

IBADAT KORBAN

(Sambungan)

 

Jenis dan Sifat Binatang Yang Paling Elok Untuk Dikorbankan

 

            Binatang yang paling afdhal untuk dikorbankan adalah mengikut turutan berikut :

 

1.   Seekor Unta (ertinya yang tidak dipecahkan kepada 7 bahagian)

2.   Seekor Lembu

3.   Biri-biri

4.   Kambing

5.   Satu bahagian dari unta

6.   Satu bahagian dari lembu

 

            Adapun sifat binatang korban yang paling afdhal adalah binatang yang gemuk (ertinya yang paling banyak dagingnya) dan paling menarik. Ini berdasarkan hadis Raulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori :

 

عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يضحي بكبشين أقرنين أملحين

Daripada Anas ibnu Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah melakukan korban dengan menyembelih 2 ekor kibas jantan yang besar, bertanduk dan bertompok-tompok bulunya.

 

Bilakah haiwan tertentu dikira sebagai binatang korban?

 

1.   Menentukannya dengan mengatakan : “ini untuk korban”. Adapun sekiranya dia mengatakan : “saya bercadang nak korbankannya nanti”, maka tidak dikira sebagai binatang korban kerana ia sekadar pemberitahuan tentang apa yang ingin dilakukan.

2.   Membelinya sebagai ganti bagi binatang yang telah ditentukan sebagai korban akan tetapi ditimpa bencana seperti mati atau cedera yang teruk. Begitu juga apabila seseorang menyembelihnya dengan niat melakukan ibadat korban.

 

Apabila haiwan tersebut telah ditentukan sebagai binatang korban maka ia terikat dengan beberapa hukum :

 

1.   Tidak boleh dijual beli, dihadiahkan kepada orang lain atau digadaikan kecuali sekiranya ia menggantikannya dengan binatang yang lain yang lebih baik. Syaratnya ialah penukaran tersebut kerana kebaikan untuk ibadat korbannya bukan kerana kepentingan dirinya. Kalau dia hendak menukarkannya kerana kepentingan dirinya seperti tiba-tiba berasa sayangkan binatang tersebut maka ia tidak dibolehkan.

2.   Sekiranya tuannya mati maka wajib bagi warisnya melaksanakan korban tersebut baginya. Binatang tadi tidak boleh diwarisi.

3.   Tidak boleh digunakan untuk melakukan kerja seperti bercucuk tanam, memikul barang-barang dan sebagainya. Tidak boleh diambil bulunya melainkan sekiranya pengambilan bulu tersebut mendatangkan kebaikan bagi haiwan tadi.

4.   Sekiranya binatang korban tersebut tercedera dengan kecederaan yang menjadikannya tidak boleh dikorbankan seperti buta matanya maka wajib digantikan seandainya ia berpunca daripada kecuaian tuannya. Hendaklah ia menggantikannya dengan yang sama sifatnya atau lebih baik.

5.   Sekiranya binatang korban tersebut hilang atau dicuri maka wajib bagi tuannya menggantikannya seandainya ia berlaku kerana kecuaiannya. Kalau bukan kerana kecuaiannya maka tidaklah diwajibkan baginya menggantikannya.

6.   Sekiranya binatang tersebut disembelih bukan pada waktu korban maka wajib bagi tuannya menggantikannya.

7.   Sekiranya binatang tersebut mati disebabkan perbuatan tuannya maka wajib baginya menggantikan dengan yang lain. Adapun sekiranya ia mati disebabkan bencana alam seperti banjir, wabak penyakit, dibunuh oleh perompak dan seumpamanya maka tidak wajib baginya menggantikannya.

 

Pembahagian Daging Korban

 

            Disyariatkan bagi orang yang melakukan korban membahagikan daging korban kepada 3 bahagian :

1.   Untuk dimakan.

2.   Disedekahkan kepada fakir miskin.

3.   Dihadiahkan kepada orang yang berada.

 

Ini berdasarkan firman Allah :

 

فكلوا منها وأطعموا القانع والمعتر

Maksudnya : “makanlah daripadanya dan berilah makan kepada orang yang memintanya dan yang ada disitu” - surah Al-Haj ayat 36

 

Sabda Rasulullah :

 

كلوا وأطعموا وادخروا

Maksudnya : “Makanlah, berilah makan dan simpanlah” - riwayat Al-Bukhori.

 

Diharamkan menjual mana-mana bahagian daripada binatang korban walaupun kulitnya dan tidak boleh memberi upah dengan daging atau kulit atau mana-mana bahagian daripada korban kepada orang yang melapahnya.

 

Perkara Yang Dilarang

 

            Apabila masuk bulan Zulhijjah dilarang bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban melakukan perkara-perkara berikut :

1.   Memotong atau mencukur rambutnya dan bulu-bulu di tempat lain.

2.   Memotong kuku.

 

Ini berdasarkan sabda Rasulullah :

 

إذا رأيتم هلال ذى الحجة وأراد أحدكم أن يضحي فليمسك عن شعره وأظفاره

Maksudnya : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan di antara kamu ada yang hendak melakukan korban, maka hendaklah dia menahan diri daripada mengambil rambut dan kukunya” - riwayat muslim.

Last 5 posts in Fiqih

Leave a Reply