Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Ma’ruf

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Siri 4 :

Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Yang Ma’ruf, Bersabar Dengan Kezaliman Mereka Dan Tidak Bangkit Menentang Mereka

 

            Ini merupakan salah satu asas pegangan ahli sunnah yang penting. Kalau kita merujuk kepada kitab-kitab ulama Ahli Sunnah terdahulu sehingga ke hari ini yang menyatakan tentang pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, kita akan dapati mereka menyebutkan masalah ini.

            Tidaklah sesat ahli bid’ah yang terawal seperti khawarij melainkan kerana mereka tidak berpegang dengan usul ini. Ramai dikalangan manusia dikuasai oleh perasaan dan hawa nafsunya apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Mereka menyangka bahawa penyelesaian bagi masalah yang menimpa umat Islam adalah menjatuhkan pemimpin yang zalim tersebut. Mereka tidak mahu mencari pedoman yang ditunjukkan oleh Nabi dan salafus soleh dalam menghadapi situasi yang seperti ini.

            Hadis-hadis Nabi dan perkataan ulama ahli sunnah tentang masalah ini amat jelas. Cuma ramai dikalangan kita tidak mengetahuinya atau sengaja tidak mahu mengambil peduli disebabkan ia bertentangan dengan hawa nafsu mereka yang ingin menguasai tampuk pemerintahan. Mereka menyangka bahawa segala pemasalahan yang menyelubungi umat akan selesai apabila mereka memerintah. Kumpulan yang malang ini tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka telah terjebak kepada kerja yang bertentangan dengan tunjuk ajar syara’ dan mengikut jejak langkah kumpulan sesat yang terdahulu khususnya khawarij.

            Di dalam siri ini saya akan menyebutkan sebahagian daripada nas-nas dan kata-kata ulama ahli sunnah berkaitan dengan usul di atas insyaAllah. Semoga nukilan ini akan dapat menjadi pedoman buat umat Islam di negara kita khususnya dalam menghadapi fitnah ini.

 

Sabda Rasulullah :

عليك السمع والطاعة فى عسرك ويسرك ومنشطك ومكرهك وأثرة عليك

Maksudnya : “Hendaklah kamu mendengar dan taat dalam keadaan kamu susah atau senang, dalam perkara yang kamu sukai atau tidak sukai dan dalam keadaan berlaku perbuatan membolot kekayaan dengan kamu diketepikan”- riwayat Muslim.

 

Kata An-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini : “Kata para ulama : maknanya adalah kewajipan mentaati pemerintah di dalam perkara yang berat dan tidak disukai oleh jiwa dan perkara-perkara yang lain yang tidak berbentuk maksiat. Kalau di dalam perkara berbentuk maksiat maka tidak wajib mendengar dan taat sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis yang berikut”- Kitab Imarah.

 

Katanya lagi : “Hadis-hadis ini mengandungi dorongan agar mendengar dan taat dalam semua keadaan kerana ia membawa kepada kesatuan umat Islam. Ini kerana persengketaan merupakan sebab yang membawa kepada kerosakan terhadap hal-ehwal agama dan dunia mereka”- Kitab Imarah.

 

Sabda Baginda lagi :

إنها ستكون بعدي أثرة وأمور تنكرونها , قالوا : يا رسول الله كيف تأمر من أدرك منا ذلك؟ قال : تؤدون الحق الذى عليكم وتسألون الله الذى لكم

Maksudnya : “Sesungguhnya akan berlaku selepas ketiadaanku perbuatan membolot kekayaan dan perkara-perkara yang kamu ingkari. Mereka berkata : “wahai Rasulullah, apakah perintah kamu kepada orang yang sempat dengan zaman tersebut dikalangan kami? Kata Nabi : Tunaikanlah hak yang telah diletakkan di bahu kamu dan mintalah kepada Allah hak kamu”- riwayat Muslim.

 

Kata An-Nawawi : “Hadis ini mengandungi suruhan agar mendengar dan taat walaupun pemimpin merupakan orang yang zalim. Hendaklah diberikan haknya iaitu ketaatan dan tidak boleh bangkit menentangnya atau menggulingkannya. Bahkan hendaklah dia memohon kepada Allah agar melindunginya daripada kejahatan pemimpin tersebut dan memperelokkannya”- Kitab Imarah.

 

Sabda Baginda lagi :

خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم , وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم , قيل يا رسول الله , أفلا ننابذهم عند ذلك؟ قال : لا , ما أقاموا فيكم الصلاة , لا ما أقاموا فيكم الصلاة , ألا من ولي عليه وال , فرآه يأتي شيئا من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة

Maksudnya : “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah orang yang kamu kasihkan kepada mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan buat mereka dan mereka mendoakan buat kamu. Seburuk-buruk pemimpin kamu ialah orang yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu,kamu mencaci mereka dan mereka mencaci kamu. Mereka berkata : kami pun bertanya : wahai Rasulullah apakah boleh kami bangkit menentang mereka pada waktu tersebut? Kata Nabi : tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Ketahuilah…sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin, lalu dia melihat pemimpin tersebut melakukan sesuatu maksiat kepada Allah maka hendaklah dia membenci perbuatan maksiat kepada Allah tersebut. Janganlah dia menarik tangan ketaatan”- riwayat Muslim.

 

Sesiapa yang mengamati hadis di atas dan banyak lagi hadis yang lain akan mengetahui bahawa Rasulullah telah pun mengetahui akan wujudnya pemimpin yang zalim dan melakukan kemungkaran. Namun baginda tidak mengajar umat baginda menentang atau menjatuhkan pemerintah sebagai jalan penyelesaian. Maka ingatlah bahawa usaha menjatuhkan pemerintah bukanlah sunnah baginda walaupun mereka melakukan kezaliman dan mengabaikan hukum Allah. Tidaklah manusia pada hari ini merupakan orang yang lebih kasih kepada umat Muhammad dan lebih cinta kepada hukum Allah daripada Rasulullah. Maka janganlah menjadikan kemaksiatan dan kezaliman yang dilakukan pemerintah sebagai alasan untuk bangkit menentang mereka. Rasulullah tidak menunjukkan kepada umat baginda melainkan perkara yang terbaik untuk mereka.

 

Sabda baginda lagi :

إنكم ستلقون بعدي أثرة , فاصبروا حتى تلقوني على الحوض

Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan menemui sikap membolot harta kekayaan selepas ketiadaanku. Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di telaga (kauthar)”- riwayat Muslim.

 

Sebahagian manusia merasa pelik; bagaimana boleh kita bersabar dalam keadaan seperti ini? Bagaimana kita boleh bersabar sedangkan mereka melakukan kezaliman. Kami katakan kepada orang seperti ini : siapakah yang menyuruh kamu bersabar? Bukankah Rasulullah? Tidakkah kamu meyakini bahawa Rasulullah lebih tahu tentang perkara yang mendatangkan kebaikan buat umat Baginda? Maka ikutlah tunjuk ajar Baginda.

 

Kamu akan mendapat pertolongan Allah dengan taat kepada ajaran Rasul-Nya. Apabila kamu memilih jalan yang lain berdasarkan akal, perasaan dan semangat kamu semata-mata maka tidak akan datang pertolongan Allah. Kelak kamu akan menyesal. Lihatlah kepada Bani Israil. Apabila mereka taat kepada suruhan Nabi Musa agar bersabar dengan kezaliman firaun maka Allah membantu mereka. Allah binasakan firaun dan tenteranya. Firman Allah :

وتمت كلمة ربك الحسنى على بنى إسرائيل بما صبروا ودمرنا ما يصنع فرعون وقومه وما كانوا يعرشون

Maksudnya : “maka sempurnalah kalimah Allah (janji-Nya) kepada bani Israel disebabkan kesabaran mereka dan Kami musnahkan apa yang dicipta oleh firaun dan kaumnya dan apa yang mereka bina”- surah Al-A’rof ayat 137.

 

Kata Imam Ahmad : ” Usul Sunnah di sisi kami adalah mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mu’minin sama ada yang baik atau jahat..”- Kitab Usul As-Sunnah.

 

Kata Hasan Al-Bashri : “Wallahi…kalaulah manusia bersabar apabila diuji dengan pemimpin mereka maka Allah akan segera mengangkat musibah tersebut daripada mereka. Namun mereka bersegera mengangkat pedang lalu mereka dibiarkan bersama cara mereka. Wallahi…mereka tidak sekali-kali akan membawa hari yang baik”. Kemudian beliau membaca ayat 137 daripada surah Al-A’rof di atas - Kitab As-Syariah

 

 Kata Imam Al-Ajurri (360 H) : “Bab mendengar dan taat kepada pemimpin umat Islam dan bersabar dengan mereka walaupun mereka melakukan kezaliman dan tidak bangkit menentang mereka selagi mana mereka mendirikan solat” - Kitab As-Syari’ah.

 

Kata Imam Abu Ja’far At-Tohawi : “Kami (Ahli Sunnah) tidak berpandangan bolehnya bangkit menentang pemimpin walaupun mereka melakukan kezaliman. Kami tidak mendoakan keburukan buat mereka dan tidak menarik tangan ketaatan kepada mereka. Kami berpandangan taat kepada mereka merupakan ketaatan kepada Allah sebagai satu kefardhuan selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Kami mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat mereka”- Kitab Akidah At-Tohawiyah.

 

Kata Imam Abu Bakr ibnu Abi ‘Ashim ( 287 H) : “Bab perintah Nabi supaya bersabar apabila melihat tindak tanduk pemerintah”- Kitab Sunnah.

 

Apabila kita melihat pemimpin melakukan kesalahan dan maksiat maka nasihatilah dengan cara yang baik iaitu dengan bahasa yang lembut dan tidak menghebahkan keaiban mereka. Sikap ini akan menjadikan mereka lebih mudah menerima kebenaran dan menghormati ahli agama. Sabda Rasulullah :

من أراد أن ينصح لذى سلطان فى أمر فلا يبده علانية ولكن ليأخذ بيده فليخلوا به فإن قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه

Maksudnya : “Sesiapa yang hendak menasihati penguasa di dalam sesuatu perkara maka janganlah dia melakukan secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia menarik tangannya dan bersunyian dengannya. Kalau dia menerima nasihat tersebut maka itu adalah taufiq. Kalau tidak maka ia telah menunaikan tanggungjawabnya” - riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dan disohehkan oleh Al-Albani.

 

Bandingkan antara tunjuk ajar Nabi ini dengan sikap ramai dikalangan manusia pada hari ini. Mereka bukan sahaja menyebut kesalahan dan keaiban pemerintah secara terang-terangan, bahkan tidak segan silu mengutuk dan mencaci pemerintah. Lebih dahsyat lagi guru-guru mereka menghalalkan perbuatan ini kononnya selagi pemerintah tidak meninggalkan kezaliman maka mereka boleh dicaci. Ini adalah kesesatan dan cara dakwah yang menyimpang jauh daripada tunjuk ajar Rasulullah. Wallahul musta’an.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Last 5 posts in Manhaj

One Response to “Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Ma’ruf”

  1. umar(shabat muhamad islam) Says:

    hujah dan dalil ustaz sungguh mantap itulah islam yg sebenar dan saya dapat rasa kan begitu indah islam yg sebenar….terima kasih ustaz

Leave a Reply