Archive for the ‘Fiqih’ Category

Ibadah Kurban (Ied Adha)-2

Thursday, November 5th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

IBADAT KORBAN

(Sambungan)

 

Jenis dan Sifat Binatang Yang Paling Elok Untuk Dikorbankan

 

            Binatang yang paling afdhal untuk dikorbankan adalah mengikut turutan berikut :

 

1.   Seekor Unta (ertinya yang tidak dipecahkan kepada 7 bahagian)

2.   Seekor Lembu

3.   Biri-biri

4.   Kambing

5.   Satu bahagian dari unta

6.   Satu bahagian dari lembu

 

            Adapun sifat binatang korban yang paling afdhal adalah binatang yang gemuk (ertinya yang paling banyak dagingnya) dan paling menarik. Ini berdasarkan hadis Raulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori :

 

عن أنس بن مالك رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يضحي بكبشين أقرنين أملحين

Daripada Anas ibnu Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah melakukan korban dengan menyembelih 2 ekor kibas jantan yang besar, bertanduk dan bertompok-tompok bulunya.

 

Bilakah haiwan tertentu dikira sebagai binatang korban?

 

1.   Menentukannya dengan mengatakan : “ini untuk korban”. Adapun sekiranya dia mengatakan : “saya bercadang nak korbankannya nanti”, maka tidak dikira sebagai binatang korban kerana ia sekadar pemberitahuan tentang apa yang ingin dilakukan.

2.   Membelinya sebagai ganti bagi binatang yang telah ditentukan sebagai korban akan tetapi ditimpa bencana seperti mati atau cedera yang teruk. Begitu juga apabila seseorang menyembelihnya dengan niat melakukan ibadat korban.

 

Apabila haiwan tersebut telah ditentukan sebagai binatang korban maka ia terikat dengan beberapa hukum :

 

1.   Tidak boleh dijual beli, dihadiahkan kepada orang lain atau digadaikan kecuali sekiranya ia menggantikannya dengan binatang yang lain yang lebih baik. Syaratnya ialah penukaran tersebut kerana kebaikan untuk ibadat korbannya bukan kerana kepentingan dirinya. Kalau dia hendak menukarkannya kerana kepentingan dirinya seperti tiba-tiba berasa sayangkan binatang tersebut maka ia tidak dibolehkan.

2.   Sekiranya tuannya mati maka wajib bagi warisnya melaksanakan korban tersebut baginya. Binatang tadi tidak boleh diwarisi.

3.   Tidak boleh digunakan untuk melakukan kerja seperti bercucuk tanam, memikul barang-barang dan sebagainya. Tidak boleh diambil bulunya melainkan sekiranya pengambilan bulu tersebut mendatangkan kebaikan bagi haiwan tadi.

4.   Sekiranya binatang korban tersebut tercedera dengan kecederaan yang menjadikannya tidak boleh dikorbankan seperti buta matanya maka wajib digantikan seandainya ia berpunca daripada kecuaian tuannya. Hendaklah ia menggantikannya dengan yang sama sifatnya atau lebih baik.

5.   Sekiranya binatang korban tersebut hilang atau dicuri maka wajib bagi tuannya menggantikannya seandainya ia berlaku kerana kecuaiannya. Kalau bukan kerana kecuaiannya maka tidaklah diwajibkan baginya menggantikannya.

6.   Sekiranya binatang tersebut disembelih bukan pada waktu korban maka wajib bagi tuannya menggantikannya.

7.   Sekiranya binatang tersebut mati disebabkan perbuatan tuannya maka wajib baginya menggantikan dengan yang lain. Adapun sekiranya ia mati disebabkan bencana alam seperti banjir, wabak penyakit, dibunuh oleh perompak dan seumpamanya maka tidak wajib baginya menggantikannya.

 

Pembahagian Daging Korban

 

            Disyariatkan bagi orang yang melakukan korban membahagikan daging korban kepada 3 bahagian :

1.   Untuk dimakan.

2.   Disedekahkan kepada fakir miskin.

3.   Dihadiahkan kepada orang yang berada.

 

Ini berdasarkan firman Allah :

 

فكلوا منها وأطعموا القانع والمعتر

Maksudnya : “makanlah daripadanya dan berilah makan kepada orang yang memintanya dan yang ada disitu” - surah Al-Haj ayat 36

 

Sabda Rasulullah :

 

كلوا وأطعموا وادخروا

Maksudnya : “Makanlah, berilah makan dan simpanlah” - riwayat Al-Bukhori.

 

Diharamkan menjual mana-mana bahagian daripada binatang korban walaupun kulitnya dan tidak boleh memberi upah dengan daging atau kulit atau mana-mana bahagian daripada korban kepada orang yang melapahnya.

 

Perkara Yang Dilarang

 

            Apabila masuk bulan Zulhijjah dilarang bagi orang yang hendak melakukan ibadat korban melakukan perkara-perkara berikut :

1.   Memotong atau mencukur rambutnya dan bulu-bulu di tempat lain.

2.   Memotong kuku.

 

Ini berdasarkan sabda Rasulullah :

 

إذا رأيتم هلال ذى الحجة وأراد أحدكم أن يضحي فليمسك عن شعره وأظفاره

Maksudnya : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan di antara kamu ada yang hendak melakukan korban, maka hendaklah dia menahan diri daripada mengambil rambut dan kukunya” - riwayat muslim.

Tazkirah dari Bencana

Sunday, October 4th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

TAZKIRAH

 

أفأمنوا مكر الله

 

“APAKAH MEREKA BERASA AMAN DARIPADA TIPU MUSLIHAT ALLAH”

 

 

            Sejak akhir-akhir ini penduduk bumi kerap dikejutkan dengan tragedi-tragedi yang menyentap kalbu. Tsunami, ribut taufan, gempa bumi dan bermacam-macam bentuk bencana yang mengorbankan beribu-ribu manusia dengan sekelip mata. Jerit tangis dan ratapan kedengaran di mana-mana. Ucapan kesedihan dan simpati menghiasi tajuk-tajuk utama berita media massa. Meratapi kematian insan yang tidak berdosa…!!

            Apakah benar manusia yang terkorban tersebut kesemuanya tidak melakukan dosa? Kalau begitu tentunya mereka dizalimi! Jadinya…..siapakah yang menzalimi mereka? Pencipta langit dan bumi yang menentukan perjalanan alam ini? Tidak mungkin. Allah ‘azza wa jalla tidak bersifat zalim. Dia telah menyatakan di dalam Al-Quran :

وما الله يريد ظلما للعالمين

Maksudnya : “dan Allah tidak ingin menzalimi penduduk alam ini”- Al-Imran 108

Di dalam hadis qudsi Allah menyatakan :

يا عبادي إنى حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرما فلا تظالموا….

Maksudnya : “Wahai hamba-hambaku…sesungguhnya Aku telah mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku jadikan kezaliman itu satu perkara yang diharamkan di antara kamu. Maka janganlah kamu zalim menzalimi…”- riwayat Muslim.

 

            Yang jelasnya musibah ini datang kerana kesalahan manusia sendiri. Apabila mereka melakukan dosa dan engkar kepada perintah Allah maka selayaknyalah mereka dihukum. Berapa banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang menyatakan tentang sebab-sebab turunnya bencana dan musibah. Namun….berapa ramai dikalangan manusia yang mahu mengambil pengajaran? Berapa ramai dikalangan mereka yang sedar daripada kelalaian? Atau mereka terus dibuai oleh keseronokan dan keindahan dunia? Lalu tidak mahu meletakkan kesalahan pada diri mereka sendiri. Tragedi yang berlaku tidak dapat melembutkan hati yang keras disebabkan selaput hitam yang menebal telah menutup hati tersebut.

 

            Kembalilah kepada kitab Allah. Tadabburlah ayat-ayatnya. Anda akan mengetahui bahawa musibah yang silih berganti ini berpunca daripada ‘tangan-tangan’ manusia. Allah ‘azza wa jalla menyatakan di dalam Al-Quran :

وضرب الله مثلا قرية كانت آمنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذاقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون - النحل 112

Maksudnya : “dan Allah membuat perumpamaan dengan penempatan yang aman damai, mengecapi ketenangan dan didatangi oleh rezeki dari segenap penjuru. Lalu ia kufur dengan nikmat Allah. Maka Allah memberikan ia merasai kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan”- An-Nahl ayat 112

 

            Perhatikan kepada ayat ini…bagaimana Allah telah mengurniakan nikmat yang besar kepada penduduk tempat tersebut dengan kehidupan yang aman damai dan rezeki yang melimpah ruah. Namun mereka kufur dengan nikmat Allah. Ertinya tidak bersyukur dengan menjadi hamba yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Apakah balasannya? Allah menurunkan hukuman yang berbentuk kekurangan rezeki yang menjadikan mereka kelaparan, Allah mendatangkan perkara-perkara yang menakutkan mereka sebagai balasan bagi perbuatan mereka.

 

            Perhatikan wahai hamba Allah….bukankah bencana-bencana ini merupakan perkara yang menakutkan manusia? Fikirkanlah tentang diri kita….berapa banyak rezeki yang telah Allah kurniakan kepada kita? Adakah kita menjadi orang yang tahu berterima kasih kepada Tuhan? Adakah pernah kita memikirkan tentang tanggungjawab kita kepada Tuhan? Atau kita masih asyik mengejar keseronokkan dunia? Masih asyik mengejar kemewahan dunia? Ingatlah….bila manusia kufur kepada nikmat Allah dengan mengabaikan kewajipan mereka terhadap Allah dan tidak taat kepada perintah Allah maka Allah menjanjikan hukuman sebegini kepada mereka. Kalau musibah telah pun menimpa maka ia berpunca daripada perbuatan kita.

 

            Janganlah kita terpedaya dengan keseronokan yang kita kecapi sekarang. Kemajuan, kekayaan dan kekuatan ekonomi yang kita kecapi adalah ujian daripada Allah. Jangan kita merasakan nikmat keamanan dan kesenangan yang kita miliki sekarang akan kekal seandainya kita terus melupakan Tuhan kita, melupakan ajaran Rasulullah. Bacalah peringatan daripada Allah :

أفأمن أهل القرى أن يأتيهم بأسنا بياتا وهم نائمون 0  أوأمن أهل القرى أن يأتيهم بأسنا ضحى وهم يلعبون 0  أفأمنوا مكر الله فلا يأمن مكر الله إلا القوم الخاسرون

Maksudnya : “adakah penduduk di sesuatu penempatan berasa aman daripada didatangi azab Kami pada waktu malam ketika mana mereka sedang tidur? Adakah penduduk di sesuatu penempatan merasa aman daripada didatangi oleh azab Kami pada waktu dhuha ketika mana mereka sedang bermain? Apakah mereka merasa aman daripada tipu muslihat Allah? Tidak berasa aman daripada tipu muslihat Allah melainkan golongan yang rugi”- Al-A’rof 97-99

 

            Berapa ramai manusia yang kita dengar terkorban disebabkan bencana yang datang ketika mereka sedang tidur dan bermain? Tragedi di Aceh, Bukit Antarabangsa, baru-baru ini di Padang dan di merata dunia. Tidakkah kita merasa takut kepada tragedi yang seperti ini? Apakah kita masih lagi tenggelam dalam mimpi yang menyeronokkan dan angan-angan yang panjang? Ke manakah kita hendak melarikan diri? Kembalilah wahai hamba Allah kepada agama-NYA. Mintalah keampunan dari Rob kamu atas dosa-dosa kamu. Sedarlah bahawa kamu merupakan hamba ciptaan-NYA yang mempunyai tanggungjawab kepada-NYA selama mana kamu hidup di atas muka bumi ini.

 

            Ingatlah….dosa-dosa manusia merupakan perkara yang mengundang bencana dan hukuman Allah. Sabda Rasulullah :

إذا استحلت أمتي خمسا فعليهم الدمار: إذا ظهر التلاعن وشربوا الخمور ولبسوا الحرير واتخذوا القيان واكتفى الرجال بالرجال والنساء بالنساء

Maksudnya : “apabila umatku menghalalkan 5 perkara maka mereka akan ditimpa kebinasaan. Apabila timbulnya perbuatan melaknati antara satu sama lain, mereka meminum arak, memakai sutera, mengambil penyanyi-penyanyi wanita, si lelaki merasa cukup dengan lelaki (gay) dan si perempuan merasa cukup dengan perempuan (lesbian)”- Sohih At-Tagrib oleh Al-Albani (dinukil dari Ad-Durarus Saniyyah).

فى هذه الأمة خسف ومسخ وقذف , إذا ظهرت القيان والمعازف وشربت الخمور

Maksudnya : “berlaku pada umat ini bencana seperti tenggelam ke perut bumi, pengubahan rupa dan ledakan apabila timbulnya penyanyi-penyanyi wanita, tersebarnya alat muzik dan arak diminum”- Sohih Al-Jamie’ oleh Al-Albani.

 

Siapakah yang hendak mengambil pengajaran……

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Ibadah Korban (Ied Adha)

Sunday, October 4th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

IBADAT KORBAN

 

Dipetik daripada risalah ‘Hukum Korban dan Sembelihan’ oleh Syaikh Muhammad ibnu Soleh Al-Uthaimin.

 

Pengertian Korban :

 

Korban adalah binatang ternakan yang disembelih pada hari raya adha disebabkan tibanya hari raya tersebut dengan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah ‘azza wa jalla.

 

Dalilnya :

 

Ibadat korban merupakan salah satu daripada syiar Islam yang disyariatkan agar kita melakukannya. Disebutkan di dalam soheh Al-Bukhori dan Muslim daripada Anas ibnu Malik rodhiyallahu ‘anhu katanya : “Rasulullah melakukan korban dengan 2 ekor biri-biri jantan yang menarik. Baginda menyembelihnya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut bismillah dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas sisi badan biri-biri tersebut”.

 

Hukumnya :

 

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa hukum korban adalah sunnat muakkad. Diantara mereka ialah Imam Syafie dan pendapat yang mashur daripada Imam Malik dan Ahmad. Sebahagian yang lain seperti Abu Hanifah dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad mengatakan hukumnya adalah wajib. Pendapat kedua ini diambil oleh Ibnu Taimiyyah.

            ‘Selayaknyalah bagi seorang hamba yang beriman mengambil berat tentang sunnah ini apatah lagi sekiranya dia merupakan orang yang berkemampuan untuk melakukannya. Harta yang kita belanjakan di jalan yang diredhoi Allah inilah yang akan mendatangkan manfaat buat kita di hari kemudian’ - (abu auzaie).

 

Syarat-syarat Korban :

 

1.   Binatang Ternakan iaitu unta, lembu dan ‘gronam’ (kambing dan biri-biri). Ini berdasarkan firman Allah :

ولكل أمة جعلنا منسكا ليذكروا اسم الله على ما رزقهم من بهيمة الأنعام فإلهكم إله واحد فله أسلموا وبشر المخبتين

Maksudnya : “Dan Aku jadikan bagi setiap umat itu ibadat untuk mereka menyebut nama Allah di atas pemberian rezeki daripada binatang ternakan. Tuhan kamu merupakan tuhan yang satu maka hanya kepadanyalah hendaklah kamu menyerah diri dan berilah khabar gembira buat orang yang tunduk”- surah Al-Haj ayat 34.

Binatang ternakan yang dikenali dikalangan masyarakat Arab adalah unta, lembu dan gronam.

 

2.   Mencapai umur yang ditetapkan oleh syara’ berdasarkan hadis Rasulullah :

لا تذبحوا إلا مسنة إلا أن تعسر عليكم فتذبحوا جذعة من الضأن

Maksudnya : “Jangan kamu sembelih melainkan ‘musinnah’, melainkan sekiranya tidak kamu temui maka sembelihlah ‘jaza’ah’ daripada kumpulan biri-biri”- riwayat Muslim.

‘Musinnah’ ertinya binatang yang cukup umur iaitu 5 tahun bagi unta, 2 tahun bagi lembu dan setahun bagi gronam. ‘Jaza’ah’ pula ertinya binatang yang mencapai umur setengah tahun (6 bulan).

Oleh itu tidak boleh melakukan korban dengan unta atau lembu atau kambing yang tidak ‘musinnah’. Adapun biri-biri boleh dilakukan korban setelah mencapai umur jaza’ah (6 bulan) berdasarkan hadis di atas.

 

3.   Tidak mempunyai kecacatan yang menghalang sahnya ibadat korban. Kecacatan tersebut ada empat :

       i.  Kecacatan yang jelas disebelah mata seperti mata tertutup, tersembul keluar atau tidak mempunyai mata hitam.

       ii. Sakit yang tampak kesannya seperti tak mampu berjalan, tak selera makan, luka yang dalam yang menjejaskan kesihatannya dan penyakit kulit yang merosakkan dagingnya.

       iii. Tempang yang menyebabkan ia tidak dapat berjalan seiring dengan binatang yang lain.

       iv. Terlalu kurus.

       Kesemua binatang yang mempunyai kecacatan yang menyerupai apa yang dinyatakan dia atas atau lebih teruk tidak boleh dijadikan korban seperti buta kedua-dua matanya, kudung dan sebagainya.

 

4.   Merupakan milik orang yang hendak melakukan korban. Tidak boleh korban dengan binatang yang dirampas, dicuri dan seumpamanya.

 

5.   Tidak berkait dengan hak orang lain. Tidak boleh melakukan korban dengan binatang yang digadai.

 

6.   Menyembelihnya pada waktu yang ditentukan oleh syara’ iaitu selepas solat hari raya sehingga terbenamnya matahari pada hari 13 Zulhijjah berdasarkan sabda Nabi :

من ذبح قبل الصلاة فإنما هو لحم قدمه لأهله وليس من النسك فى شيء

Maksudnya : “Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya) maka ia hanya akan menjadi daging yang disediakan untuk keluarganya. Tidak ianya menjadi ibadat korban”- riwayat Al-Bukhori.

 

Bersambung insyaAllah….

 

Dinukil oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sholat Malam di Bulan Ramadhan (Tarawikh)

Tuesday, September 1st, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Mendirikan Solat Malam di Bulan Ramadhan (Solat Tarawikh)

 

Kelebihannya

 

            Orang yang melakukan solat tarawikh dengan penuh keimanan dan pengharapan akan mendapat keampunan dari Allah bagi dosa-dosanya yang telah lalu. Sabda Rasulullah :صلى الله عليه وسلم

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “sesiapa yang mendirikan Ramadhan (solat malam) dengan penuh keimanan dan pengharapan maka akan diampunkan buatnya dosa-dosanya yang telah lalu”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Bilangan rakaatnya

 

            Sunnahnya bagi solat tarawikh adalah dilakukan sebanyak 11 rakaat. Kata Ibnul Qayyim rahimahullah : Rasulullah  melakukan qiyamullail (solat malam) sebanyak 11 rakaat atau 13 sebagaimana pernyataan ibnu Abbas dan A’isyah. Telah datang riwayat yang soheh daripada kedua-duanya tentang 11 rakaat dan 13. Di dalam  kitab soheh Bukhori dan Muslim A’isyah berkata : “Rasulullah tidak pernah solat lebih daripada 11 rakaat di bulan Ramadhan atau pun di luar bulan Ramadhan”. Di dalam hadis yang lain juga riwayat Al-Bukori dan Muslim kata A’isyah : “Rasulullah solat di malam hari sebanyak 13 rakaat. Baginda melakukan witir dengan 5 rakaat yang mana baginda tidak duduk (untuk Tahiyyat) melainkan pada rakaaat yang terakhir”.

            Khabar yang soheh daripada A’isyah adalah yang pertama iaitu 11 rakaat. Dua rakaat selepas 11 yang dilakukan oleh nabi tersebut adalah 2 rakaat sunat subuh. Perkara ini telah dijelaskan oleh beliau di dalam hadis ini iaitu Rasulullah solat 13 rakaat termasuk 2 rakaat fajar sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Muslim dalam kitab sohehnya”- Zaadul Ma’ad

            Inilah yang soheh daripada Rasulullah dan para sahabat. Adapun riwayat-riwayat yang menyatakan bahawa sebahagian sahabat - seperti Umar radhiyallahu ‘anhu- melakukan solat tarawikh sebanyak 20 rakaat, kata Syaikh Al-Albani selepas menyebutkannya : “Telah nyata daripada kajian yang lalu bahawa kesemua riwayat daripada para sahabat yang mengatakan mereka solat tarawikh sebanyak 20 rakaat, ianya tidak thabit (tidak soheh)”- kitab Solat Tarawikh.

 

Yang afdhalnya dilakukan secara berjamaah di masjid

 

            Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah dan amalan para sahabat. Juga berdasarkan hadis baginda :

من صلى مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة - صححه الألباني والوادعي كما فى الضرر السنية

Maksudnya : “Sesiapa yang solat bersama imam sehingga selesai maka akan dituliskan buatnya ibadat qiamullail”- disohehkan oleh Al-Albani dan Muqbil Al-Wadi’i sebagaimana dalam Addurorus Saniyyah.

 

Solat Tarawikh dibelakang ahli bid’ah

 

Soalan : Apabila datang Ramadhan salafiyun berselisihan tentang masalah solat Tarawikh. Sebahagian daripada mereka solat di masjid di tempat tinggalnya di belakang mubtadi’. Sebahagian yang lain solat di rumahnya dan berkata : “saya tidak akan solat dibelakang mubtadi’. Tiada kemuliaan baginya”. Sebahagian yang lain melakukan perjalanan yang jauh kerana ingin solat di belakang imam sunni. Apakah yang benar di dalam masalah ini dan adakah solat tarawikh disyariatkan bagi orang yang musafir?

 

Kata Syaikh Yahya Al-Hajuri hafidzohullah :

            Yang benarnya….selagimana tidak melakukan safar hendaklah dia pergi menunaikan solat di belakang imam sunni walaupun dengan sedikit kepenatan maka itu adalah lebih baik.

واجعلنا للمتقين إماما - الفرقان 74

Maksudnya : “dan jadikanlah kami sebagai imam bagi orang yang bertaqwa”- Al-Furqan 74.

Kedudukan sebagai imam adalah kemuliaan.Hendaklah juga diketahui bahawa imam yang salafi mendatangkan kesan (kepada orang dibelakang-penterjemah) sehinggakan pada bacaannya. Imam yang mubtadi’ juga memberi kesan sehinggakan pada bacaannya. Mana kamu tahu barangkali kamu akan terpaut dengan bacaannya lalu kamu menjadi pengikutnya suatu hari nanti. Atau kamu akan membelanya dengan mengatakan : dia lelaki yang soleh!! Ini tidaklah mustahil akan terjadi. Sedia maklum bahawa solat adalah sah dibelakang ahli bid’ah yang bid’ahnya tidak sampai ke tahap kufur. Akan tetapi solat tarawikh adalah solat sunat. Kalau kamu mampu solat di belakang salafi maka lakukanlah. Kalau tidak mampu maka solatlah di rumah kamu. Keadaan ini berdasarkan hadis :

أفضل صلاة المرء فى بيته إلا المكتوبة

“solat yang paling afdhal bagi seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardhu”

            Menghindari lebih baik daripada mengubati. Ertinya (lebih baik) daripada kamu pergi solat dibelakang mubtadi’ dalam keadaan kamu tidak sedar melainkan kamu telah terpaksa mengubat hati kamu yang telah dimasuki syubhat atau fitnah. Menjauhkan diri daripada mereka dalam keadaan ini adalah lebih baik bagi kamu. Lihatlah ibnu Sirin yang didatangi oleh 2 lelaki yang hendak membacakan kepadanya ayat Al-Quran, lalu dia berkata : ‘tidak…sama ada kamu berdua bangun dariku atau aku yang akan bangun’. Katanya lagi : ‘aku bimbang dibaca ayat Al-Quran dihadapanku lalu kedua-duanya membuat penyimpangan terhadap ayat tersebut dan  perkara ini melekat di dalam hatiku’.

            Kami katakan…dalam keadaan seperti ini hendaklah dia solat dirumahnya. Yang afdhalnya solat berjamaah berdasarkan sabda Nabi :

من صلى مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة

Maksudnya : “sesiapa yang solat bersama imam sehingga selesai maka dituliskan buatnya solat satu malam”.

Ini sekiranya solat di belakang sunni. adapun sekiranya dia solat di rumah kerana tiada jemaah di belakang salafi maka ini berdasarkan sabda Nabi:

اجعلوا من صلاتكم فى بيوتكم

Maksudnya : “jadikan sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu”.

Juga berdasarkan sabda baginda :

أفضل صلاة المرء فى بيته إلا المكتوبة

Maksudnya : “solat yang paling afdhal bagi seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardhu”.

Saya kecualikan solat tarawikh kerana sebab yang dijelaskan tadi.

            Adapun solat tarawikh bagi yang musafir, solat witir, qiyamullail, solat dhuha dan yang lainnya daripada solat sunat mutlaq, kesemuanya disyariatkan bagi orang yang bermusafir. Nabi dan sahabatnya tidak menaiki tunggangan mereka sehinggalah selesai solat sunat dhuha. Baginda solat witir di atas tunggangannya. Solat witir merupakan sebahagian daripada qiyamullail- aloloom.net.

 

Oleh : Ustadz abu auzaie

Shaum (Puasa) Ramadhan-4

Sunday, August 23rd, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Perkara yang membatalkan puasa

 

1.  Makan dan minum dengan sengaja

     Ayat 187 di dalam surah A-Baqoroh menunjukkan tentang larangan daripada

     makan dan minum bagi orang yang berpuasa apabila terbitnya fajar shodiq.

     Sesiapa yang makan dan minum dengan sengaja maka dia telah melakukan dosa

     yang besar dan terdedah kepada hukuman yang berat sebagaimana yang

     disebutkan di dalam hadis yang lalu. Dikecualikan daripada hukum di atas 3

     keadaan :

     i.    makan dan minum dalam keadaan lupa

     ii.   tersalah. Contohnya orang yang berbuka kerana menyangka waktu maghrib

           telah pun masuk

     iii.  orang yang dipaksa.

     Ini berdasarkan sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

إذا نسي فأكل وشرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه - رواه البخاري ومسلم

     Maksudnya : “apabila dia terlupa, lalu makan dan minum maka sempurnakanlah

     puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikannya makan dan minum”- riwayat

     Al-Bukhori dan Muslim.

     Sabda baginda lagi :

إن الله وضع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه

     Maksudnya : “Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku kesilapan, lupa

     dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya”- dikeluarkan oleh At-Tohawi

     dalam kitab ‘Syarh Ma’ani Al-Athar, Al-Hakim, ibnu Hazm di dalam ‘Al-Ahkam’

     dan Daruquthni sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

2.  Muntah dengan sengaja

     Orang yang muntah dengan tidak disengajakan tidak batal puasanya. Sabda

     Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

من ذرعه القيء فليس عليه قضاء ومن استقاء فليقض - رواه أبو داود والترمذي وابن ماجه

     Maksudnya : “sesiapa yang dikalahkan oleh muntahnya maka tidak perlu

     menggantikan puasa. Sesiapa yang muntah dengan sengaja maka hendaklah dia

     mengggantikan puasanya”- riwayat Abu Daud, Tirmizi dan ibnu Majah.

 

3.  Datang haid dan nifas

     Apabila seseorang wanita didatangi haid atau nifas walaupun pada sebahagian

     waktu di siang hari di bulan ramadhan maka batallah puasanya. Ini berdasarkan

     hadis Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

أليس إذا حاضت لم تصل ولم تصم؟ قلن : بلى , قال : فذلك نقصان دينها - رواه مسلم

     Maksudnya : “Bukankah apabila perempuan itu didatangi haid maka dia tidak solat

     dan tidak berpuasa? Jawab mereka : Bahkan ya. Kata Nabi : “Itulah bentuk

     kekurangan agamanya”- riwayat Muslim.

 

4.  Suntikan yang menggantikan makanan seperti yang diberikan kepada pesakit yang

     pengsan.

 

5.  Bersetubuh. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqoroh ayat 187 :

أحل لكم ليلة الصيام الرفث الى نسائكم…. البقرة

     Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu pada malam puasa berjima’ dengan isteri

     -isteri kamu”

 

Perkara yang diharuskan bagi orang berpuasa melakukannya

 

1.  Bersiwak ertinya menggunakan kayu sugi sama ada sebelum atau selepas

     tergelincir matahati. Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل وضوء- رواه البخاري ومسلم

      Maksudnya : “Kalaulah tidak kerana aku akan menyusahkan ummatku nescaya

      aku perintahkan mereka bersiwak setiap kali mengambil wudhu’- riwayat

      Al-Bukhori dan Muslim.

 

2.  Berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung) kerana Rasulullah

     صلى الله عليه وسلم berkumur dan beristinsyaq ketika baginda berpuasa. Namun begitu

     dilarang berlebih-lebihan dalam melakukan kedua-duanya. Sabda baginda :

وبالغ فى الاستنشاق إلا أن تكون صائما - رواه الترمذى وأبو داود وأحمد وابن أبي شيبة وابن ماجه والنسائي

     Maksudnya : “Dan beristinsyaqlah dan sekuat-kuatnya melainkan sekiranya kamu

     berpuasa”- riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad, ibnu Abi Syaibah, ibnu Majah dan

     An-Nasai sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

3.  Bergurau senda dan mencium isteri

     Kata A’isyah radhiyallahu ‘anha : Rasulullah mencium dan bergurau senda ketika

     berpuasa. Akan tetapi baginda merupakan orang yang paling kuat mengawal

     kehendaknya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim

     Oleh itu hendaklah orang yang tidak dapat mengawal nafsu jima’nya mengelakkan

     diri daripada ‘berseronok’ dengan isterinya.

 

4.  Mengambil darah dan menerima suntikan yang tidak menggantikan makanan.

 

5.  Berbekam

     Kata penulis kitab ‘Sifat Puasa Nabi’ : “berbekam pada asalnya merupakan di

     antara perkara yang membatalkan puasa, kemudian dimansuhkan”. Daripada ibnu

     Abbas radhiallahu ‘anhuma katanya : “Rasulullah berbekam dalam keadaan

     baginda berpuasa”-  riwayat Al-Bukhori.

 

6.  Merasa makanan dengan lidah tanpa menelannya.. kata ibnu Abbas : “Tidak

     mengapa merasa cuka atau perkara yang lain selagi mana tidak masuk ke dalam

     tekaknya ketika berpuasa”- dikeluarkan oleh Al-Bukhori secara mu’allaq.

 

7.  Memakai celak dan menitik ubat ke dalam mata dan telinga sama ada mendapati

     rasanya di tekak atau tidak.

     Kata penulis kitab ‘Sifat Puasa Nabi’ : “inilah pendapat yang dirojihkan oleh

     Syaikhul Islam ibnu Taimiyah di dalam kitabnya yang bermanfaat ‘Hakikat Puasa’

     dan muridnya ibnu Qayyim Al-Jauziyah di dalam kitab Zaadul Ma’ad. Kata Imam

     Al-Bukhori di dalam sohihnya : Anas, Al-Hasan, Ibrohim berpandangan tidak

     mengapa menggunakan celak bagi orang yang berpuasa” - m/s 56.

 

8.  Membasuh kepala dan mandi

     Kata Imam Al-Bukhori di dalam kitab sohehnya : “Bab mandi bagi orang yang

     berpuasa. Ibnu Umar membasahkan sehelai kain dan meletakkan ke badannya

     ketika berpuasa dan Sya’bi masuk ke bilik mandi ketika berpuasa…kata Al-Hasan:

     Tidak mengapa bagi orang berpuasa berkumur dan menyejukkan badan”- Fathul

     Bari juzuk 4 m/s 181.

     Disebutkan di dalam hadis : “Rasulullahصلى الله عليه وسلم  menjiruskan air ke atas

     kepalanya ketika berpuasa disebabkan dahaga atau kepanasan”- riwayat Abu Daud

     dan Ahmad sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

9.  Melambatkan mandi junub sehingga masuk waktu subuh.

     Daripada A’isyah dan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anhuma : Rasulullahصلى الله عليه وسلم      masuk ke waktu fajar dalam keadaan junub kerana bersetubuh dengan

     isterinya kemudian baginda mandi dan berpuasa”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim

 

Oleh : Ustadz abu auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Shaum (Puasa) Ramadhan-3

Monday, August 17th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Hukum berpuasa pada hari syak

 

Hari syak ertinya hari yang diragui adakah ianya merupakan permulaan Ramadhan atau pun masih di bulan Syaaban. Sesetengah manusia berpuasa 1 atau 2 hari lebih awal sebelum masuknya bulan Ramadhan dengan alasan untuk  berhati-hati kerana bimbang Ramadhan telah pun masuk. Perbuatan ini ditegah oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana di dalam hadis baginda :

لا تقدموا رمضان بصوم يوم ولا يومين إلا رجلا يصوم صوما فليصمه - رواه مسلم

Maksudnya : “Jangan kamu mendahulukan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya), kecualilah seseorang yang (kebiasaannya) berpuasa pada hari tersebut maka bolehlah dia berpuasa”- riwayat Muslim.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan fajar shodiq?

 

Fajar shodiq ialah cahaya matahari yang kelihatan di ufuk timur, dipuncak bukit dan celah-celahnya pada awal pagi dalam bentuk melintang. Apabila munculnya cahaya ini maka ia menandakan masuknya waktu subuh dan umat Islam hendaklah berhenti daripada makan dan minum di bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kisah Bilal rodhiyallahu ‘anhu melaungkan azan pertama pada zaman Rasulullah iaitu sebelum terbitnya fajar shodiq. Rasulullahصلى الله عليه وسلم  mengingatkan sahabat-sahabat baginda bahawa azan bilal tersebut bukanlah azan yang menandakan masuknya waktu subuh. Sabda baginda :

لا يغرنكم أذان بلال ولا هذا البياض لعمود الصبح حتى يستطير - رواه مسلم

Maksudnya : “Janganlah kamu tersalah dengan mendengar azan Bilal atau melihat cahaya putih yang menegak sehinggalah ia mula tersebar” - riwayat Muslim.

Oleh itu orang yang hendak berpuasa boleh makan dan minum sehinggalah masuknya waktu subuh. Apabila dia mendengar azan subuh maka hendaklah dia berhenti daripada makan dan minum.

 

Wajib berniat di malam hari sebelum terbit fajar

 

Apabila nyata masuknya bulan Ramadhan dengan melihat anak bulan atau cukupnya 30 hari bagi bulan Syaaban maka hendaklah setiap muslim yang mukallaf berniat untuk berpuasa pada malamnya sebelum terbit fajar. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له - رواه أبو داود وابن خزيمة والبيهقي

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak berazam untuk berpuasa sebelum terbit fajar maka tidak ada puasa baginya” - riwayat Abu Daud, ibnu Khuzaimah dan Al-Baihaqi sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

Niat merupakan amalan hati. Tidak boleh kita melafazkannya dengan lidah seperti berkata : [nawaitu shouma grhadin ‘an adaai fardhi syahri ramadhana lillahi ta'ala] kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلمtidak mengajar umatnya melafazkan niat. Sebaik-baik teladan adalah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Firman Allah :

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر…. - الأحزاب 21

Maksudnya : “sesungguhnya bagi kamu pada diri rasulullah ada contoh teladan yang baik buat orang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat…. - Al-Ahzab ayat 21.

 

Makan Sahur

 

Disyariatkan bagi umat Islam bersahur, ertinya makan pada penghujung malam sebelum terbit fajar shodiq. Hukumnya adalah sunat. Bersahur mempunyai beberapa kelebihan yang semestinya dikejar oleh orang-orang yang beriman. Antaranya :

1.  Pembeza di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم     :

فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر - رواه مسلم

     Maksudnya : “Pemisah di antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan

     sahur” - riwayat Muslim.

2.  Memperolehi berkat (kebaikan yang banyak). Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم

     tentang makan sahur :

إنها بركة أعطاكم الله إياها , فلا تدعوه - رواه النسائي وأحمد

     Maksudnya : “Ianya merupakan keberkatan yang Allah berikan kepada kamu.

     Maka janganlah kamu tinggalkannya” - riwayat An-Nasai dan Ahmad.

3.  Allah ‘azza wa jalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang

     bersahur. Sabda Rasulullahصلى الله عليه وسلم  :

السحور أكلة بركة , فلا تدعوه ولو أن يجرع أحدكم جرعة من ماء , فإن الله وملائكته يصلون على المتسحرين - رواه ابن أبي شيبة وأحمد

     Maksudnya : “Makanan sahur merupakan makanan berkat. Maka janganlah kamu

     meninggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya

     Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur”-

     riwayat ibnu Abi Syaibah dan Ahmad sebagaimana dalam kitab ‘Sifat Puasa Nabi’.

 

Disunatkan melambatkan bersahur sehingga hampir masuknya waktu subuh berdasarkan hadis Zaid ibnu Thabit radhiyallahu ‘anhu katanya : “Kami bersahur bersama Nabiصلى الله عليه وسلم . Kemudian baginda bangun untuk menunaikan solat”. Kata Anas : “Berapa jarak antara azan dan sahur?”. Kata Zaid : “Pada kadar bacaan 50 ayat” - riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Puasa Ramadhan-2

Saturday, August 15th, 2009

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Pengertian Puasa :

 

Puasa menurut syara’ ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang tertentu pada waktu yang tertentu dengan niat melakukan ibadat kepada Allah.

 

Perkara-perkara yang wajib bagi orang yang berpuasa menahan diri daripadanya ialah makan, minum, bersetubuh dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Firman Allah ‘azza wa jalla :

أحل لكم ليلة الصيام الرفث الى نسائكم……البقرة 187

Maksudnya : “dihalalkan bagi kamu pada malam puasa bersetubuh dengan isteri-isteri kamu…” - Al-Baqoroh 187.

Firman-Nya lagi :

وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر….البقرة 187

Maksudnya : “makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dan benang hitam daripada waktu fajar….”- Al-Baqoroh ayat 187.

 

Waktu yang ditentukan untuk umat Islam berpuasa bermula dari terbit fajar shodiq sehingga terbenamnya matahari. Ini berdasarkan ayat 187 di dalam surah Al-Baqoroh di atas :

وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر ثم أتموا الصيام الى الليل

Maksudnya : “makanlah dan minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dengan benang hitam daripada waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah ibadat puasa sehingga ke malam hari”.

Malam hari bermula dengan terbenamnya matahari. Sabda Rasulullah :

إذا أقبل الليل من ههنا وأدبر النهار من ههنا وغربت الشمس فقد أفطر الصائم - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “apabila datangnya malam dari arah sana, siang pula beredar dari arah sana dan matahari telah pun terbenam, maka orang yang berpuasa telah pun berbuka” - riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Dengan niat melakukan ibadat kepada Allah ertinya orang yang berpuasa meninggalkan makan, minum dan sebagainya sebagai mentaati perintah Allah dan mengharapkan keredhoan-Nya. Dia meninggalkan makan dan minum bukan kerana hendak menjaga kesihatan atau menguruskan badan atau niat-niat yang lain yang tiada kaitan dengan keinginan seseorang hamba untuk tunduk dan patuh kepada perintah Robnya.

 

Siapakah yang wajib berpuasa?

 

Setiap orang Islam yang telah baligh dan berakal sama ada lelaki dan perempuan wajib ke atasnya berpuasa di bulan Ramadhan.

 

Ancaman terhadap orang yang meninggalkan puasa ramadhan

 

Sabda Rasulullah :

بينما أنا نائم أتاني رجلان فأخذا بضبعي فأتيا بي جبلا وعرا , فقالا : اصعد , فقلت : إني لا أطيقه , فقالا : سنسهله لك , فصعدت حتى إذا كنت فى سواد الجبل إذا بأصوات شديدة , فقلت : ما هذه الأصوات؟ قالوا : هذا عواء أهل النار , ثم انطلق بي , فإذا أنا بقوم معلقين بعراقيبهم مشققة أشداقهم , تسيل أشداقهم دما , قال : قلت : من هؤلاء؟ قال : الذين يفطرون قبل تحلة صومهم…- رواه النسائي وابن حبان والحاكم

Maksudnya: “ketika mana aku sedang tidur, datang dua lelaki lalu memegang lenganku. Kemudian kedua-duanya membawaku ke bukit yang curam lalu berkata : panjat! Jawabku : saya tidak mampu. Kata kedua-duanya : kami akan membantu kamu. Lalu aku pun memanjat sehinggalah aku hampir ke kemuncaknya tiba-tiba kedengaran suara yang amat kuat. Lalu aku berkata : “suara apakah ini? Jawab mereka : ini adalah suara pekikan ahli neraka. Kemudian mereka terus membawaku. Tiba-tiba aku melihat sekumpulan manusia digantung pada keting-keting mereka dan mulut-mulut mereka menjadi pecah mengalirkan darah. Aku pun bertanya : Siapakah mereka? Jawabnya : mereka merupakan orang-orang yang berbuka sebelum sampai waktunya…”- riwayat An-Nasai, ibnu Hibban dan Al-Hakim.

 

Bagaimanakah umat Islam mengetahui masuknya bulan Ramadhan?

 

Untuk mengetahui masuknya Ramadhan umat Islam hendaklah menghitung bilangan hari di bulan Syaaban. Apabila sampai hari ke 29 Syaaban maka hendaklah mereka melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan kelihatan maka hendaklah mereka berpuasa keesokkan harinya. Sekiranya tidak kelihatan maka hendaklah mereka menyempurnakan Syaaban menjadi 30 hari. Sabda Rasulullah :

صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته , فإن غم عليكم فأكملوا شعبان ثلاثين - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan) dan berbukalah (ertinya menyambut hari raya) apabila kamu melihatnya. Sekiranya anak bulan dilindungi oleh awan maka sempurnakan Syaaban menjadi 30 hari”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab ‘Sifat Puasa Nabi’

Puasa Ramadhan

Wednesday, August 12th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Kelebihan Bulan Ramadhan

 

1.  Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Allah ‘azza wa jalla menurunkan kitab-Nya yang agong ini sebagai petunjuk buat manusia pada malam qadar (lailatul qadar) yang merupakan satu malam daripada malam-malam bulan Ramadhan. Firman Allah :

شهر رمضان الذى أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان…… البقرة 185

Maksud: “bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk buat manusia dan keterangan yang jelas daripada petunjuk dan furqan (pemisah di antara yang hak dan yang batil)….”-Al-Baqoroh 185

 

2.  Syaitan diikat, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Sabda Rasulullah :

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النيران وصفدت الشياطين - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : “apabila datang bulan Ramadhan pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim

 

3.  Malam qadar. Di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatul qadar. Sesiapa yang beribadat pada malam ini maka ibadat tersebut adalah lebih baik daripada ibadat yang dia lakukan selama seribu bulan. Firman Allah :

إنا أنزلناه فى ليلة القدر 0 وما أدراك ما ليلة القدر 0 ليلة القدر خير من ألف شهر

Maksudnya : “sesungguhnya Aku menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar 0 Adakah kamu tahu apakah itu malam qadar 0 malam qadar lebih baik daripada seribu bulan”.

 

4. Ibadat puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang 5. Firman Allah :

فمن شهد منكم الشهر فليصمه….البقرة 185

Maksudnya : :sesiapa yang melihat anak bulan dikalangan kamu maka hendaklah dia berpuasa…” Al-Baqoroh 185

 

 

Kelebihan Ibadat Puasa

 

1.  Puasa merupakan perisai daripada kebuasan nafsu syahwat. Sabda Rasulullah :

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج , فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج , ومن لم يستطع فعليه بالصوم , فإنه له وجاء - رواه البخاري ومسلم

“Wahai golongan pemuda…sesiapa yang mampu dikalangan kamu mendapatkan baah(keperluan untuk berkahwin) maka hendaklah dia berkahwin. Ini kerana sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa tersebut akan menjadi pengekang buatnya (syahwatnya)”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

2.  Puasa merupakan pendinding daripada api neraka. Sabda Rasulullah :

الصيام جنة يستجن بها العبد من النار- رواه أحمد

“Puasa merupakan perisai yang digunakan oleh seorang hamba untuk berlindung daripada api neraka”- riwayat Ahmad. Sabda baginda lagi :

ما من عبد يصوم يوما فى سبيل الله إلا باعد الله بذلك وجهه عن النار سبعين خريفا- رواه البخارى ومسلم

“Tidak ada seorang hamba pun yang berpuasa di jalan Allah melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka pada jarak 70 tahun perjalanan”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

3.  Berpuasa merupakan amalan yang memasukkan ke dalam syurga. Kata Abu Umamah : wahai Rasulullah…tunjukkan kepadaku kepadaku amalan yang menjadikan aku dapat masuk ke dalam syurga. Sabda Rasulullah :

عليك بالصوم , لا مثل له - رواه النسائي وابن حبان والحاكم

“Hendaklah kamu berpuasa. Tidak ada tolok bandingnya bagi ibadat ini”- riwayat An-Nasai, Ibnu Hibban dan Al-Hakim.

 

4.  Ganjaran pahala bagi orang yang berpuasa tidak ada batasnya. Sabda Rasulullah :

كل عمل ابن آدم له إلا الصيام , فإنه لي وأنا أجزي به…- رواه البخاري ومسلم

“Kesemua amalan anak adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ibadat puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberikan balasan untuknya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

5.  Bau mulut orasng berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Sabda Rasulullah :

والذى نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك…- رواه البخاري ومسلم

“Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya, sesunggunya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi…”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

6.  Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan. Sabda Rasulullah :

للصائم فرحتان يفرحهما , إذا أفطر فرح وإذا لقي ربه فرح بصومه - رواه البخاري ومسلم

“Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, dia bergembira dengan kedua-duanya : kegembiraan apabila berbuka dan apabila dia bertemu dengan Robnya dia bergembira dengan puasanya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

7.   Puasa dan Al-Quran memberi syafaat bagi pelakunya. Sabda Rasulullah :

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة , يقول الصيام : أى رب منعته الطعام والشهوة فشفعني فيه , ويقول القرآن : منعته النوم بالليل فشفعني فيه , قال : فيشفعان - رواه أحمد والحاكم وأبو نعيم

“Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa : wahai Robku…aku telah menghalangnya daripada makan minum dan syahwatnya maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran juga berkata : aku telah menghalangnya daripada tidur di malam hari maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kata-Nya : kedua-duanya diizinkan untuk memberi syafaat”- riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim.

 

8.  Penghapus dosa. Sabda Rasulullah :

فتنة الرجل فى أهله وماله وجاره تكفره الصلاة والصيام والصدقة - رواه البخارى ومسلم

“Fitnah yang menimpa seorang lelaki pada ahli keluarganya, hartanya dan jirannya akan dihapuskan oleh ibadat solat, puasa dan sedekah”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

9.  Ar-Rayyan untuk orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah :

إن فى الجنة بابا يقال له الريان , يدخل منه الصائمون يوم القيامة , لا يدخل منه أحد غيرهم , فإذا دخلوا أغلق , فلم يدخل منه أحد - رواه البخاري ومسلم

“Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘ar-rayyan’. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat. Tiada siapa yang selain daripada mereka dapat masuk melaluinya. Apabila mereka semua telah masuk maka pintu tersebut pun ditutup. Tiada siapa lagi yang dapat masuk melaluinya”- riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

 

Disusun oleh : Ustadz Abu Auzaie

Sumber : Kitab “Sifat Puasa Nabi di bulan Ramadhan”

* Takhrij hadis dinukil daripada penulis kitab di atas

Cara Mengambil Wudhu’

Monday, May 4th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Cara Mengambil Wudhu’

 Dinukilkan oleh: Ustad Abu Auzaie

 

عن حمران مولى عثمان أن عثمان بن عفان رضي الله عنه دعا بوضوء فتوضأ , فغسل كفيه ثلاث مرات , ثم مضمض واستنثر , ثم غسل وجهه ثلاث مرات, ثم غسل يده اليمنى الى المرفق ثلاث مرات , ثم غسل يده اليسرى مثل ذلك ,ثم مسح رأسه , ثم غسل رجله اليمنى الى الكعبين ثلاث مرات , ثم غسل اليسرى مثل ذلك , ثم قال : رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم توضأ نحو وضوئي هذا ثم قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من توضأ نحو وضوئي هذا ثم قام فركع ركعتين لا يحدث فيهما نفسه غفر له ما تقدم من ذنبه - متفق عليه واللفظ لمسلم

 

Daripada Humran maula Uthman (ertinya bekas hamba Uthman yang dimerdekakan olehnya) sesungguhnya Uthman ibnu ‘Affan meminta air wudhu’ lalu dia berwudhu’: Dia membasuh dua tapak tangannya sebanyak 3 kali. Kemudian dia berkumur dan istinthar (ertinya menghembus air keluar dari hidung setelah memasukkannya). Kemudian dia membasuh mukanya 3 kali. Kemudian dia membasuh tangan kanannya sehingga ke siku 3 kali. Kemudian dia membasuh tangan kirinya seperti itu juga. Kemudian dia menyapu kepalanya. Kemudian dia membasuh kaki kanannya sehingga ke buku lali 3 kali. Kemudian dia membasuh kaki kirinya seperti itu juga. Kemudian dia berkata : “Aku melihat Rasulullah berwudhu’ seperti wudhu’ku ini lalu baginda berkata : “Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini kemudian dia solat 2 rakaat dalam keadaan tidak bercakap dengan dirinya dalam solat tersebut, maka diampunkan buatnya dosanya yang telah lalu”. Muttafaqun ‘alaih. Lafaz hadis ini adalah lafaz Imam Muslim.

            Hadis ini mengajar kita tentang cara berwudhu’ sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Manusia yang mengaku sebagai pengikut Muhammad akan berusaha mempelajari sunnah baginda agar ibadatnya bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh baginda, tidak berdasarkan kepada ikut-ikutan semata-mata. Di dalam hadis Uthman ibnu ‘Affan ini, beliau menunjukkan cara Rasulullah berwudhu’ berdasarkan apa yang dia lihat:

1.  Membasuh dua tapak tangan sebanyak 3 kali.

2.  Mengambil air dengan satu tapak tangan lalu berkumur  dan memasukkan air ke

     dalam hidung dan mengeluarkannya. Lakukan  sebanyak 3 kali. Ini berdasarkan

     hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah ibnu

     Zaid ibni ‘Ashim Al-Anshori.

3.  Membasuh muka 3 kali. Kata Syaikh Ibnu Uthaimin : “batasan muka secara

     menegak adalah dari lengkong dahi (ertinya dari hujung rambut yang bertemu

     dengan dahi) sehingga ke bawah janggut. Adapun batasannya secara melintang

     adalah dari telinga ke telinga (Syarhul Mumtie’).

4.  Membasuh tangan kanan sehingga ke siku 3 kali. Kemudian tangan kiri seperti itu

     juga.

5.  Menyapu kepala. Ertinya membasahkan dua tapak tangan dengan air kemudian

     menyapu keseluruhan kepala bermula dari hadapan sehingga ke belakang kepala,

     kemudian menarik semula kedua-dua tangan tadi ke hadapan. Lakukan sekali

     sahaja. Ini berdasarkan hadis Abdullah ibnu Zaid Al-Anshori yang dinyatakan tadi

     (no 2). Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah : Mereka (ulama) berselisih pendapat

     adakah disunnatkan menyapu kepala sebanyak 3 kali. Jumhur ulama seperti Malik,

     Abu Hanifah dan riwayat yang mashur dari Ahmad berpendapat tidak disunatkan.

     Kata As-Syafie dan Ahmad (dalam riwayat yang lain) disunatkan berdasarkan

     hadis soheh, baginda berwudhu’ sebanyak 3 kali (bagi setiap anggota wudhu’). Ini

     adalah umum. Di dalam Sunan Abu Daud : baginda menyapu kepalanya 3 kali.

     Juga kerana kepala merupakan salah satu daripada anggota wudhu’ maka

     disunatkan disapu 3 kali seperti anggota yang lain. Pendapat yang pertama adalah

     lebih soheh. Ini kerana hadis-hadis yang soheh daripada Nabi menjelaskan bahawa

     baginda menyapu sekali sahaja. Oleh itu Abu Daud As-Sijistani berkata : “Hadis

     Uthman yang soheh menunjukkan baginda menyapu sekali sahaja”. Dengan ini

     terbatallah riwayat yang menyatakan baginda menyapu 3 kali. Ia menjelaskan

     bahawa yang sohehnya baginda menyapu kepala sekali sahaja. Keterangan detail

     ini menjadi pemutus kepada dalil yang umum iaitu : baginda berwudhu’ sebanyak

     3 kali. Ini seperti kata baginda : “apabila kamu mendengar suara muazzin (orang

     yang melaungkan azan) maka sebutlah sebagaimana yang disebutkan olehnya”. Ini

     adalah umum. Ianya dijelaskan oleh hadis Ibnu Umar ketika mendengar haila’ah

     (muazzin menyebut hayya ‘alas solah dan hayya ‘alal falah) dia menyebut : la

     haula wala quwwata illa billah. Maka dalil khas yang mengandungi penjelasan

     menjadi pemutus ke atas dalil yang umum (Majmu’ Fatawa- Kitab Toharoh).

     Setelah menyapu kepala maka hendaklah disapu kedua-dua telinga kerana ia

     merupakan sebahagian daripada kepala berdasarkan hadis riwayat Ibnu Majah

     yang disohehkan oleh Al-Albani.

6.  Membasuh kaki kanan sehingga ke buku lali 3 kali kemudian kaki kiri seperti itu

     juga.

 

Disunatkan selepas mengambil wudhu’ :

1.  Berdoa dengan doa berikut :

أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله

     Hadis riwayat Muslim

2.  Solat 2 rakaat berdasarkan hadis Uthman di atas.

 

            Inilah pedoman ringkas tentang cara Rasulullah صلى الله عليه وسلم berwudhu’ berdasarkan hadis-hadis yang soheh sebagai pedoman buat pembaca yang ingin mengenal sunnah baginda.

والله الموفق

Pengertian Ilmu Fiqh (1)

Sunday, March 29th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Pengertian Ilmu Fiqh

Oleh : Fadhilatus Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibnu ‘Usaimin رحمه الله

 

Makna ‘Fiqh’ dari sudut bahasa : kefahaman. Antaranya firman Allah ta’ala :

ولكن لا تفقهون تسبيحهم

Ertinya: “akan tetapi kamu tak memahami tasbih mereka”- Al-Isra’ 44.

Firman-Nya lagi :

قالوا يا شعيب ما نفقه كثيرا مما تقول

Ertinya : “kata mereka : wahai Syu’aib kami tak faham kebanyakkan daripada apa yang kamu perkatakan”-Hud 91.

Makna ‘fiqh’ di sini adalah ‘faham’.

 

Makna fiqh menurut syara’ adalah mengetahui hukum-hakam Allah sama ada berkaitan dengan aqidah dan amali.

Oleh itu kalimah fiqh menurut syara’ bukan terbatas kepada perbuatan orang-orang yang mukallaf atau hukum-hakam berbentuk amali. Bahkan ia merangkumi hukum-hakam aqidah. Sehinggakan sebahagian ulama berkata : “sesungguhnya ilmu aqidah merupakan ‘Fiqh Al-Akbar’ (ilmu fiqh yang paling utama). Ini adalah benar kerana kamu tidak akan dapat melakukan ibadat kepada ma’bud (iaitu Allah) melainkan setelah mengetahui cara mentauhidkan-Nya dari segi rububiyah-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya dan uluhiyah-Nya. Kalau tidak maka bagaimana kamu hendak beribadat kepada sesuatu yang tidak dikenali? Oleh itu asas yang pertama adalah tauhid. Maka layaklah ia dinamakan ‘Fiqh Al-Akbar’.

 

Makna Fiqh menurut istilah : mengenali hukum-hakam yang amali dengan dalil-dalilnya secara terperinci.

Kata-kata kami ‘mengenali’, tidak kami mengatakan mengetahui kerana fiqh itu sama ada berdasarkan ilmu (yang pasti) atau pun dzon (tanggapan yang lebih mirip kepada ilmu). Tidak semua permasalahan fiqh diketahui secara qath’i (pasti). Banyak permasalahan yang dibina berdasarkan ‘dzon’. Ini banyak berlaku pada masalah yang berlandaskan ijtihad yang tidak sampai ke tahap keyakinan yang putus. Akan tetapi Allah tidak mentaklifkan ke atas sesuatu jiwa melainkan berdasarkan kemampuannya. Maka kata-kata kami ‘mengenali’ untuk merangkumi ilmu dan dzon.

Kata-kata kami ‘yang amali’ mengelakkan (percampuran) dengan hukum-hakam aqidah. Ianya tidak termasuk di dalam ilmu fiqh mengikut istilah walaupun ia termasuk dalam syariat.

Kata-kata kami ‘dengan dalil-dalil secara terperinci’ mengelakkan (percampuran) dengan ilmu usul fiqh kerana perbahasan dalam usul fiqh berkaitan dengan dalil-dalil yang umum. Adakalanya didatangkan permasalahan secara terperinci sebagai contoh sahaja. Dapat difahami daripada kata-kata kami ‘dengan dalil-dalil’ bahawa sesungguhnya orang yang bertaqlid bukanlah seorang ‘faqih’ kerana dia tidak mengetahui hukum-hakam dengan dalil-dalilnya. Kemampuannya hanyalah mengulang-ulang apa yang ada di dalam kitab sahaja. Ibnu Abdil Bar menukilkan ijma’ tentang perkara ini. Dengan ini kamu mengetahui pentingnya pengetahuan tentang dalil. Seorang penuntut ilmu wajib mengambil permasalahan (agama) dengan dalil-dalilnya. Inilah yang akan menyelamatkannya di sisi Allah ta’ala kerana Allah berkata di hari kiamat :

ما ذا أجبتم المرسلين

Ertinya : “apakah yang kamu sahut (daripada seruan) para rasul”-Al-Qosas 65.

Dia tidak mengatakan : “apakah yang kamu sahut daripada seruan penulis Fulani. Oleh itu tidak boleh tidak mesti kita mengetahui apakah yang diperkatakan oleh para rasul untuk kita beramal dengannya.(yang dimaksudkan di sini ialah Nabi  Muhammad yang merupakan rasul akhir zaman).

Akan tetapi bertaklid dibolehkan ketika dharurat berdasarkan firman Allah :

فاسألوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون

Ertinya : “bertanyalah kepada ahli ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui”-An-Nahl 43.

Apabila kita tak mampu mengetahui kebenaran dengan dalilnya maka mestilah kita bertanya. Oleh itu Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata : “bertaklid seperti memakan bangkai. Apabila seseorang mampu mengeluarkan dalil maka tidak halal baginya bertaklid”.

 

Dipetik dari kitab Syarhul Mumti’ ‘ala Zadil Mustaqni’.

Dinukilkan oleh : Ustadz Abu auzaie