Hadist (1)
Sunday, March 29th, 2009بسم الله الرحمن الرحيم
Mengikhlaskan Niat Dalam Setiap Amalan
Sabda Rasulullah :
انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى , فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله , ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه - متفق عليه
Syarahan Hadis :
Oleh Fadhilatus Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibni ‘Usaimin رحمه الله:
( انما الأعمال بالنيات ) ertinya : “sesungguhnya amalan-amalan itu dengan adanya niat”.
Kata Syaikh Muhammad ibnu Soleh ibni ‘Usaimin dalam syarahan kitab Riyadhus Solihin : “Nabi menjelaskan di dalam jumlah (ayat) ini sesungguhnya setiap amalan tidak boleh tidak mesti mempunyai niat. Setiap amalan yang dilakukan oleh manusia dalam keadaan dia berakal, dengan pilihannya sendiri tidak boleh tidak mesti mempunyai niat. Tak mungkin bagi setiap manusia yang berakal dan mempunyai pilihan akan melakukan amalan tanpa adanya niat. Sehinggakan sebahagian ulama mengatakan : “Kalaulah Allah memerintahkan kita melakukan amalan tanpa niat nescaya ia merupakan perintah yang tidak mampu dilaksanakan”. Ini adalah benar. Bagaimana kamu melakukan amalan tanpa niat dalam keadaan kamu berakal mempunyai pilihan dan tidak dipaksa? Ini kerana amalan lahir daripada kehendak dan kemampuan. Kehendak itulah yang dinamakan niat”.
( وانما لكل امرئ ما نوى ) ertinya : “Hanya sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan”.
Kata Syaikh lagi : “Dikalangan manusia ada orang yang niatnya berada dipuncak yang tinggi dan dikalangan mereka ada orang yang niatnya di timbunan sampah di tempat yang paling hina. Sehinggakan kamu melihat 2 lelaki melakukan amalan yang sama dari segi permulaannya, penghujungnya dan pertengahannya, pergerakannya dan diamnya dan perkataan dan perbuatannya. (akan tetapi) jarak di antara kedua-dua amalan tadi adalah seperti langit dan bumi. Kesemuanya disebabkan perbezaan niat. Oleh itu asasnya ialah tidak ada amalan tanpa niat. Natijahnya pula kata-kata baginda : “dan hanya sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan”. Sekiranya kamu niatkan kerana Allah dan negeri akhirat di dalam amalan kamu yang disyariatkan maka kamu akan mencapai apa yang kamu niatkan. Sekiranya kamu niatkan kerana dunia maka adakalanya ia akan tercapai dan adakalanya tidak. Firman Allah :
من كان يريد العاجلة عجلنا له فيها ما نشاء لمن نريد ثم جعلنا له جهنم يصلها مذموما مدحورا
Maksudnya : “sesiapa yang inginkan ‘ajilah (yang segera ertinya dunia) maka akan Aku segerakan buatnya di dunia tersebut apa yang Aku kehendaki bagi orang yang Aku mahu. Kemudian Aku jadikan buatnya neraka jahannam yang mana dia masuk ke dalamnya dalam keadaan dicela dan dihalau”- Al-Isra’ 18.
Allah tidak mengatakan “Aku segerakan buatnya apa yang dia inginkan. Akan tetapi Dia mengatakan “apa yang Aku kehendaki”. Ertinya tidak apa yang dia inginkan. “Bagi orang yang Aku mahu” bukan untuk semua manusia. Dia membataskan perkara yang disegerakan dan untuk siapa perkara tersebut.
( فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه ) ertinya : “sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mendapatkannya atau wanita yang dia ingin kahwini maka hijrahnya adalah kepada perkara yang dia berpindah kepadanya”.
Kata Syaikh lagi : “Kemudian Nabi membuat perbandingan bagi perlaksanaan hadis ini dengan katanya : “siapa yang berhijrah……”(seperti di atas). Hijrah ertinya seseorang berpindah dari negeri kufur kepada negeri Islam. Contohnya dia berada di amerika. amerika negara kufur lalu dia memeluk agama Islam. Akan tetapi dia tidak dapat menzahirkan agamanya di sana. Lalu dia berpindah ke negeri Islam. Inilah yang dinamakan hijrah.
Apabila manusia berhijrah, mereka berbeza keadaan dalam hijrah mereka. Dikalangan mereka ada orang yang berhijrah meninggalkan negerinya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ertinya kepada syariat Allah yang disyariatkan melalui lisan rasul-Nya. Orang inilah yang akan mencapai kebaikan dan mencapai matlamatnya. Oleh itu Nabi berkata : “maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya”. Ertinya dia telah mencapai apa yang dia niatkan.
Orang yang kedua pula berhijrah kerana dunia yang dinginkan. Contohnya seorang lelaki yang suka mengumpulkan harta mendengar bahawa di negeri Islam ada tanah pertanian yang subur untuk medapatkan harta. Lalu dia berhijrah dari negeri kufur ke negeri Islam bukan untuk menjadi orang yang istiqomah dalam agamanya dan tidak pula dia mengambil berat tentang agamanya. Keinginannya hanyalah harta. Orang yang ketiga berhijrah dari negeri kufur ke negeri Islam untuk mengahwini wanita. Dikatakan kepadanya kami tidak akan kahwinkan kamu melainkan di negeri Islam. Jangan kamu membawa isteri kamu ke negeri kufur. Lalu dia berhijrah daripada negerinya ke negeri Islam kerana perempuan.
Orang yang inginkan harta dan perempuan tidak berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu Nabi bersabda : “maka hijrahnya adalah kepada perkara yang dia berhijrah kepadanya”. Di sini Nabi Berkata :الى ما هاجر اليه”" tidak “”فهجرته الى دنيا يصيبها أو امرأة ينكحها . Kenapa? Dikatakan kerana panjangnya percakapan kalau diulang-ulang. Ada juga berpendapat tidak disebutkan kedua-dua jenis hijrah tersebut sebagai penghinaan dan pemalingan daripada sebutannya disebabkan ia adalah niat yang rosak. Walau bagaimanapun orang yang meniatkan hijrahnya kerana dunia atau perempuan tidak syak lagi niatnya merupakan niat yang rendah dan hina. Ini berbeza dengan orang yang pertama yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya.
Dipetik daripada kitab syarahan Riyadhus Solihin.
Dinukil oleh : Ustadz Abu Auzaie