Archive for the ‘Manhaj’ Category

Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Ma’ruf

Thursday, November 5th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Siri 4 :

Taat Kepada Pemerintah Dalam Perkara Yang Ma’ruf, Bersabar Dengan Kezaliman Mereka Dan Tidak Bangkit Menentang Mereka

 

            Ini merupakan salah satu asas pegangan ahli sunnah yang penting. Kalau kita merujuk kepada kitab-kitab ulama Ahli Sunnah terdahulu sehingga ke hari ini yang menyatakan tentang pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, kita akan dapati mereka menyebutkan masalah ini.

            Tidaklah sesat ahli bid’ah yang terawal seperti khawarij melainkan kerana mereka tidak berpegang dengan usul ini. Ramai dikalangan manusia dikuasai oleh perasaan dan hawa nafsunya apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Mereka menyangka bahawa penyelesaian bagi masalah yang menimpa umat Islam adalah menjatuhkan pemimpin yang zalim tersebut. Mereka tidak mahu mencari pedoman yang ditunjukkan oleh Nabi dan salafus soleh dalam menghadapi situasi yang seperti ini.

            Hadis-hadis Nabi dan perkataan ulama ahli sunnah tentang masalah ini amat jelas. Cuma ramai dikalangan kita tidak mengetahuinya atau sengaja tidak mahu mengambil peduli disebabkan ia bertentangan dengan hawa nafsu mereka yang ingin menguasai tampuk pemerintahan. Mereka menyangka bahawa segala pemasalahan yang menyelubungi umat akan selesai apabila mereka memerintah. Kumpulan yang malang ini tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka telah terjebak kepada kerja yang bertentangan dengan tunjuk ajar syara’ dan mengikut jejak langkah kumpulan sesat yang terdahulu khususnya khawarij.

            Di dalam siri ini saya akan menyebutkan sebahagian daripada nas-nas dan kata-kata ulama ahli sunnah berkaitan dengan usul di atas insyaAllah. Semoga nukilan ini akan dapat menjadi pedoman buat umat Islam di negara kita khususnya dalam menghadapi fitnah ini.

 

Sabda Rasulullah :

عليك السمع والطاعة فى عسرك ويسرك ومنشطك ومكرهك وأثرة عليك

Maksudnya : “Hendaklah kamu mendengar dan taat dalam keadaan kamu susah atau senang, dalam perkara yang kamu sukai atau tidak sukai dan dalam keadaan berlaku perbuatan membolot kekayaan dengan kamu diketepikan”- riwayat Muslim.

 

Kata An-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini : “Kata para ulama : maknanya adalah kewajipan mentaati pemerintah di dalam perkara yang berat dan tidak disukai oleh jiwa dan perkara-perkara yang lain yang tidak berbentuk maksiat. Kalau di dalam perkara berbentuk maksiat maka tidak wajib mendengar dan taat sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis yang berikut”- Kitab Imarah.

 

Katanya lagi : “Hadis-hadis ini mengandungi dorongan agar mendengar dan taat dalam semua keadaan kerana ia membawa kepada kesatuan umat Islam. Ini kerana persengketaan merupakan sebab yang membawa kepada kerosakan terhadap hal-ehwal agama dan dunia mereka”- Kitab Imarah.

 

Sabda Baginda lagi :

إنها ستكون بعدي أثرة وأمور تنكرونها , قالوا : يا رسول الله كيف تأمر من أدرك منا ذلك؟ قال : تؤدون الحق الذى عليكم وتسألون الله الذى لكم

Maksudnya : “Sesungguhnya akan berlaku selepas ketiadaanku perbuatan membolot kekayaan dan perkara-perkara yang kamu ingkari. Mereka berkata : “wahai Rasulullah, apakah perintah kamu kepada orang yang sempat dengan zaman tersebut dikalangan kami? Kata Nabi : Tunaikanlah hak yang telah diletakkan di bahu kamu dan mintalah kepada Allah hak kamu”- riwayat Muslim.

 

Kata An-Nawawi : “Hadis ini mengandungi suruhan agar mendengar dan taat walaupun pemimpin merupakan orang yang zalim. Hendaklah diberikan haknya iaitu ketaatan dan tidak boleh bangkit menentangnya atau menggulingkannya. Bahkan hendaklah dia memohon kepada Allah agar melindunginya daripada kejahatan pemimpin tersebut dan memperelokkannya”- Kitab Imarah.

 

Sabda Baginda lagi :

خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم , وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم , قيل يا رسول الله , أفلا ننابذهم عند ذلك؟ قال : لا , ما أقاموا فيكم الصلاة , لا ما أقاموا فيكم الصلاة , ألا من ولي عليه وال , فرآه يأتي شيئا من معصية الله فليكره ما يأتي من معصية الله ولا ينزعن يدا من طاعة

Maksudnya : “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah orang yang kamu kasihkan kepada mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan buat mereka dan mereka mendoakan buat kamu. Seburuk-buruk pemimpin kamu ialah orang yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu,kamu mencaci mereka dan mereka mencaci kamu. Mereka berkata : kami pun bertanya : wahai Rasulullah apakah boleh kami bangkit menentang mereka pada waktu tersebut? Kata Nabi : tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Tidak, selagi mana mereka menegakkan ibadat solat dikalangan kamu. Ketahuilah…sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin, lalu dia melihat pemimpin tersebut melakukan sesuatu maksiat kepada Allah maka hendaklah dia membenci perbuatan maksiat kepada Allah tersebut. Janganlah dia menarik tangan ketaatan”- riwayat Muslim.

 

Sesiapa yang mengamati hadis di atas dan banyak lagi hadis yang lain akan mengetahui bahawa Rasulullah telah pun mengetahui akan wujudnya pemimpin yang zalim dan melakukan kemungkaran. Namun baginda tidak mengajar umat baginda menentang atau menjatuhkan pemerintah sebagai jalan penyelesaian. Maka ingatlah bahawa usaha menjatuhkan pemerintah bukanlah sunnah baginda walaupun mereka melakukan kezaliman dan mengabaikan hukum Allah. Tidaklah manusia pada hari ini merupakan orang yang lebih kasih kepada umat Muhammad dan lebih cinta kepada hukum Allah daripada Rasulullah. Maka janganlah menjadikan kemaksiatan dan kezaliman yang dilakukan pemerintah sebagai alasan untuk bangkit menentang mereka. Rasulullah tidak menunjukkan kepada umat baginda melainkan perkara yang terbaik untuk mereka.

 

Sabda baginda lagi :

إنكم ستلقون بعدي أثرة , فاصبروا حتى تلقوني على الحوض

Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan menemui sikap membolot harta kekayaan selepas ketiadaanku. Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di telaga (kauthar)”- riwayat Muslim.

 

Sebahagian manusia merasa pelik; bagaimana boleh kita bersabar dalam keadaan seperti ini? Bagaimana kita boleh bersabar sedangkan mereka melakukan kezaliman. Kami katakan kepada orang seperti ini : siapakah yang menyuruh kamu bersabar? Bukankah Rasulullah? Tidakkah kamu meyakini bahawa Rasulullah lebih tahu tentang perkara yang mendatangkan kebaikan buat umat Baginda? Maka ikutlah tunjuk ajar Baginda.

 

Kamu akan mendapat pertolongan Allah dengan taat kepada ajaran Rasul-Nya. Apabila kamu memilih jalan yang lain berdasarkan akal, perasaan dan semangat kamu semata-mata maka tidak akan datang pertolongan Allah. Kelak kamu akan menyesal. Lihatlah kepada Bani Israil. Apabila mereka taat kepada suruhan Nabi Musa agar bersabar dengan kezaliman firaun maka Allah membantu mereka. Allah binasakan firaun dan tenteranya. Firman Allah :

وتمت كلمة ربك الحسنى على بنى إسرائيل بما صبروا ودمرنا ما يصنع فرعون وقومه وما كانوا يعرشون

Maksudnya : “maka sempurnalah kalimah Allah (janji-Nya) kepada bani Israel disebabkan kesabaran mereka dan Kami musnahkan apa yang dicipta oleh firaun dan kaumnya dan apa yang mereka bina”- surah Al-A’rof ayat 137.

 

Kata Imam Ahmad : ” Usul Sunnah di sisi kami adalah mendengar dan taat kepada para pemimpin dan amirul mu’minin sama ada yang baik atau jahat..”- Kitab Usul As-Sunnah.

 

Kata Hasan Al-Bashri : “Wallahi…kalaulah manusia bersabar apabila diuji dengan pemimpin mereka maka Allah akan segera mengangkat musibah tersebut daripada mereka. Namun mereka bersegera mengangkat pedang lalu mereka dibiarkan bersama cara mereka. Wallahi…mereka tidak sekali-kali akan membawa hari yang baik”. Kemudian beliau membaca ayat 137 daripada surah Al-A’rof di atas - Kitab As-Syariah

 

 Kata Imam Al-Ajurri (360 H) : “Bab mendengar dan taat kepada pemimpin umat Islam dan bersabar dengan mereka walaupun mereka melakukan kezaliman dan tidak bangkit menentang mereka selagi mana mereka mendirikan solat” - Kitab As-Syari’ah.

 

Kata Imam Abu Ja’far At-Tohawi : “Kami (Ahli Sunnah) tidak berpandangan bolehnya bangkit menentang pemimpin walaupun mereka melakukan kezaliman. Kami tidak mendoakan keburukan buat mereka dan tidak menarik tangan ketaatan kepada mereka. Kami berpandangan taat kepada mereka merupakan ketaatan kepada Allah sebagai satu kefardhuan selagi mana mereka tidak menyuruh kepada maksiat. Kami mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat mereka”- Kitab Akidah At-Tohawiyah.

 

Kata Imam Abu Bakr ibnu Abi ‘Ashim ( 287 H) : “Bab perintah Nabi supaya bersabar apabila melihat tindak tanduk pemerintah”- Kitab Sunnah.

 

Apabila kita melihat pemimpin melakukan kesalahan dan maksiat maka nasihatilah dengan cara yang baik iaitu dengan bahasa yang lembut dan tidak menghebahkan keaiban mereka. Sikap ini akan menjadikan mereka lebih mudah menerima kebenaran dan menghormati ahli agama. Sabda Rasulullah :

من أراد أن ينصح لذى سلطان فى أمر فلا يبده علانية ولكن ليأخذ بيده فليخلوا به فإن قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى عليه

Maksudnya : “Sesiapa yang hendak menasihati penguasa di dalam sesuatu perkara maka janganlah dia melakukan secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia menarik tangannya dan bersunyian dengannya. Kalau dia menerima nasihat tersebut maka itu adalah taufiq. Kalau tidak maka ia telah menunaikan tanggungjawabnya” - riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dan disohehkan oleh Al-Albani.

 

Bandingkan antara tunjuk ajar Nabi ini dengan sikap ramai dikalangan manusia pada hari ini. Mereka bukan sahaja menyebut kesalahan dan keaiban pemerintah secara terang-terangan, bahkan tidak segan silu mengutuk dan mencaci pemerintah. Lebih dahsyat lagi guru-guru mereka menghalalkan perbuatan ini kononnya selagi pemerintah tidak meninggalkan kezaliman maka mereka boleh dicaci. Ini adalah kesesatan dan cara dakwah yang menyimpang jauh daripada tunjuk ajar Rasulullah. Wallahul musta’an.

 

Oleh : Ustadz Abu Auzaie

Berjaga Jaga dalam Dien

Monday, June 29th, 2009

بسم الله الرحمن

 

BERJAGA-JAGA DENGAN PEMBOHONG DIKALANGAN PARA DA’IE DAN ORANG YANG MENYERUPAI ORANG AWAM

 

Tulisan : Abul Khitab Fu’ad Ash-Shonhani.

 

                Wahai Salafiyyun, berjaga-jagalah dengan golongan ini. Tidak boleh diambil ilmu daripada mereka. Mereka adalah pendakwah yang pembohong dan menyerupai orang awam.

 

الحمد لله وصلى الله على محمد وعلى آله وسلم وبعد :

Ulama’-ulama’ hadits telah menyebutkan tentang orang-orang yang boleh diambil ilmu daripada mereka dan yang tidak boleh diambil ilmu. Ini adalah kerana peri pentingnya perkara tersebut. Sesungguhnya telah tampil untuk berdakwah dan mengajar dikalangan mereka yang jahil, menyerupai orang awam ( golongan ini adalah ramai ), orang-orang fasiq, ahli bid’ah, golongan Hizbi baru dan lama dan pembawa-pembawa fitnah serta musibah. Golongan inilah yang menjadi ujian kepada Ahlus Sunnah secara umumnya dan kepada penduduk negeri kami khususnya.

Imam Bukhari dam Imam Muslim meriwayatkan di dalam kitab Shahih mereka daripada ‘Aisyah -radiallahu‘anha-, Rasulullah s.a.w membaca firman Allah : 

 

(  هُوَ الَّذِى أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ ءَايَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِيْنَ فِي قُلُوْبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَآءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَآءَ تَأْوِيْلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيْلَهُ إِلاَّ اللهُ وَالرَّاسِخُوْنَ ِفي الْعِلْمِ يَقُوْلُوْنَ ءَامَنَّا بِه كُلٌّ مِّنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلآَّ أُوْلُواْ الْأَلْبَابِ )   - آل عمران : 7

 

Lalu baginda berkata: “Apabila kamu melihat orang-orang mencari ayat yang mutasyabih, maka orang itulah yang dimaksudkan oleh Allah ‘azza wa jalla. Berjaga-jagalah dengan mereka”. Hadits ini mengandungi pentahziran terhadap golongan yang menampilkan diri di dalam ilmu dan mengajar serta serta memberi fatwa.Tidak boleh tidak mesti mengenali mereka.

Kata Imam An-Nawawi -rahimahullah- : Di dalam hadits ini mengandungi pentahziran daripada bercampur dengan golongan yang sesat, ahli bid’ah dan orang-orang yang mengambil perkara yang musykil untuk menimbulkan fitnah, maka janganlah disahut. Bahkan hendaklah dibentak dan dita’zir sebagaimana ‘Umar -radiallahu’anhu- menta’zir Shobigh ketika mana dia menanyakan tentang perkara yang mutasyabih.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah -radiallahu’anhu- katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipu daya. Pendusta  pada waktu tersebut dipercayai dan orang bercakap benar didustakan. Pengkhianat dianggap amanah dan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Akan bercakap pada waktu tersebut golongan ruwaibidhah”. Lalu ditanyakan: Siapakah ruwaibidhah? Jawab Nabi s.a.w: “Si bodoh yang bercakap tentang urusan umat”. Ini merupakan sebahagian tanda-tanda Kiamat.

Kata  Al-Hafidz  Al-Khatib Al-Baghdadi -rahimahullah- yang meninggal dunia pada tahun 463 Hijrah didalam kitabnya “Al-Jami’ Li Akhlaq Ar-Rawi Wa Adabis Sami’ ” jilid: (1) m/s: (39): Imam Malik bin Anas -rahimahullah- berkata: Tidak boleh diambil ilmu daripada empat jenis manusia dan boleh diambil ilmu daripada selain mereka. Jangan kamu mengambil ilmu daripada orang yang bodoh yang menzahirkan kebodohan walaupun dia merupakan orang yang paling banyak meriwayatkan hadits, juga daripada pembohong yang berbohong apabila bercakap dengan manusia apabila didapati pembohongan ini pada dirinya walaupun dia tidak dituduh berbohong terhadap Rasulullah s.a.w.  Dan jangan juga mengambil ilmu daripada pengikut hawa nafsu yang mengajak manusia kepadanya hawa nafsunya. Dan juga jangan mengambil ilmu daripada syaikh yang mempunyai kehormatan dan kuat beribadat sekiranya dia tidak mengetahui apa yang dia sampaikan.

Dikalangan orang yang tidak boleh diambil ilmu daripada mereka adalah:

1/ Si jahil yang tidak pernah diketahui pergi menuntut ilmu.

Kata Imam Malik -rahimahullah-: Jangan kamu mengambil ilmu daripada orang yang tidak diketahui pernah menuntut ilmu atau duduk bersama Ulama’.

Ibnu Abi Hatim -rahimahullah- meriwayatkan daripada Ibnu ‘Aun -radiallahu’anhu-, katanya: Tidak diambil ilmu ini melainkan daripada orang disaksikan sebagai pernah menuntut ilmu.

Kata Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah -rahimahullah-: Kejahilan merupakan sumber kerosakan. Semua kemudharatan yang menimpa seorang hamba di dunia dan di akhirat adalah kesan daripada kejahilan. Adalah satu kesalahan sangkaan sebahagian manusia bahawa si jahil itu adalah orang yang tidak pandai membaca dan menulis sahaja. Tidak syak lagi ini merupakan kefahaman yang sempit kerana yang dimaksudkan dengan si jahil menurut hadits dan atsar Salafus Shalih ialah semua orang yang bercakap tentang agama tanpa ilmu walaupun dia petah berkata-kata, walaupun dia mengajar dan menulis kitab dan walaupun dia merupakan seorang pemidato yang hebat. Kalimah jahil juga merangkumi pengikut-pengikut hawa nafsu dan ahli bida’ah. Mereka adalah orang-orang yang jahil yang tidak boleh diambil ilmu daripada mereka. Semua orang bercakap tentang agama Allah tabaraka wata’ala tanpa ilmu maka dia adalah jahil.

Kata Syaikh Shalih Al-Fauzan -hafizahullah-: Tidak boleh mengambil ilmu daripada orang yang jahil walaupun mereka berlagak sebagai penuntut ilmu.

Makna berlagak sebagai penuntut ilmu ialah orang yang menampilkan diri untuk mengajar manusia sedangkan mereka jahil tentang agama Allah. Orang seperti ini tidak boleh langsung diambil ilmu daripada mereka. Kalau mereka memberi fatwa, tidak boleh dirujuk kepada mereka. Golongan yang seterusnya ialah pengikut-pengikut hawa nafsu dan ahli bida’ah. Ini termasuk golongan Khawarij, ahli Sufi dan kesemua jama’ah semasa yang menyelisihi kitab dan sunnah seperti Jama’ah Tabligh dan Ikhwanul Muslimin.

 

2/ Pembohong lebih-lebih lagi terhadap ulama’. Tidak boleh mengambil ilmu daripada pembohong yang berbohong di dalam percakapannya dengan manusia apabila ditemui sifat ini padanya (Ya, kami telah menempuhi perkara ini banyak kali). Bahkan pembohong, pembawa fitnah dan talam dua muka. Seburuk-buruk manusia adalah orang yang mempunyai dua wajah. Satu wajah ketika disisi ulama’. Mereka mengatakan: Kami bersama kamu. Dan apabila bersunyian dengan teman-temannya, dia mengatakan pula: Sesungguhnya kami bersama kamu.

 

3/ Orang yang fasiq. Yang dimaksudkan dengan orang yang fasiq ialah ahli-ahli maksiat dan pelaku dosa walaupun dia mempunyai sedikit ilmu, walaupun dia mempunyai banyak ilmu. Ini kerana Salafus Shalih mentahzir daripada orang-orang yang fasiq. Kenapa? Ini kerana orang yang fasiq tidak mempunyai sifat wara’ daripada perbuatan menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Orang seperti ini mendatangkan fitnah kepada manusia dengan perbuatannya dan keadaan dirinya seperti orang yang bercampur dengan wanita, menjadi batu api,membawa fitnah, buruk perangainya dan yang lain-lain lagi. Oleh itu, Imam Sufyan Ats-Tsauri -rahimahullah- berkata: Takutkanlah kamu kepada fitnah, dari ahli ibadat yang jahil dan ulama’ yang fasiq. Ini kerana kedua-duanya adalah fitnah kepada orang-orang yang mudah tergoda. Apabila manusia melihat seseorang yang tampil di dalam ilmu mengajar bersama-sama wanita, mereka akan melakukan sepertinya dan berhujjah dengannya. Apabila melihat orang-orang yang tampil di dalam ilmu melabuhkan pakaiannya (mushbil), maka mereka pun melabuhkan pakaian mereka. Jelas… apabila mereka melihat orang yang tampil di dalam ilmu mendengar lagu, maka mereka pun melakukannya.Orang yang fasiq tidak boleh langsung diambil ilmu daripada mereka menurut ulama’.

 

4/ Mubtadi’. Iaitu orang yang mengikuti hawa nafsunya yang menyeru kepada bida’ah.

 

5/ Lelaki yang banyak kesalahan dan kesilapan.

 

6/ Orang yang bercakap tentang semua perkara yang dia dengar.

 

7/ Orang yang menukilkan ucapan daripada kesemua orang.

 

8/ Banyak kesilapan di dalam percakapannya. Orang seperti ini hendaklah ditinggalkan haditsnya.

 

9/ Orang yang banyak meriwayatkan daripada mereka yang dikenali perkara yang tidak dikenali pada orang tersebut.

 

10/ Orang yang tidak dikenali (majhul).

Kata Imam Ibnu Sirin -rahimahullah-: Mereka dahulunya tidak bertanya tentang sanad. Apabila berlakunya fitnah mereka pun berkata: Sebutkan kepada kami rijal-rijal kamu, maka dilihat kepada Ahlus Sunnah lalu diambil percakapan mereka dan dilihat kepada  Ahli Bida’ah lalu ditinggalkan percakapan mereka.

 

11/ Orang yang melampau di dalam kesilapannya. Tidak mentohmah dirinya sendiri ketika orang-orang yang lain bersepakat di atas satu perkara yang bertentangan dengan pegangannya.

 

12/ Orang bodoh yang menzahirkan kebodohannya walaupun dia paling banyak meriwayatkan hadits.

 

13/ Syaikh yang mempunyai kehormatan dan kuat ibadah akan tetapi dia tidak mengetahui tentang hadits.

 

14/ Golongan zindiq.

Kata ulama’ tentang mereka: Golongan zindiq telah mencipta dua belas ribu hadits palsu tentang Rasulullah s.a.w.

 

 

Penterjemah:  Ustadz Abu Auzaie

 

Sumber : www.aloloom.net

Asas Pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah-3

Wednesday, April 8th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah

Al Ustadz Abu Auzaie

 

Siri 3 :

Beriman Dengan Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Hari Kebangkitan dan Qadar Yang Baik dan Yang Buruk

            Perkara di atas dipanggil rukun iman. Rasulullah  ketika ditanya oleh Jibril tentang iman baginda menjawab :

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره

“kamu beriman dengan Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan qadar yang baik dan yang buruk”- riwayat Muslim.

Kata Syaikh Muhammad ibnu Soleh Al-Uthaimin : “Iman mengandungi makna yang lebih daripada sekadar membenarkan. Ianya adalah pengakuan yang memestikan penerimaan berita-berita (yang dibawa oleh rasul Allah-penterjemah) dan tunduk kepada hukum-hakam-Nya. Inilah  iman yang sebenar. Adapun sekadar percaya tentang kewujudan Allah ini tidaklah dinamakan iman sehinggalah keimanan ini menjelmakan sikap menerima berita-berita dan tunduk kepada hukum-hukum. Jika tidak maka tidaklah dinamakan keimanan.

Beriman dengan Allah mengandungi 4 perkara :

1.  Beriman dengan kewujudan-Nya.

2.  Beriman dengan rububiyah-Nya. Ertinya Dia hanya satu-satunya yang berhak

     terhadap ciri rububiyah.

3.  Beriman dengan uluhiyah Allah yang hanya untuk-Nya

4.  Beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya”- dipetik dari syarahan kitab

     Al-Akidah Al-Wasithiyah.

            Makna beriman dengan rububiyah Allah ialah kamu beriktikad bahawa pencipta, pentadbir, penguasa dan pemberi rezeki kepada segala yang ada di alam ini ialah Allah. Tiada sesatu pun yang berkongsi atau menyaingi Allah dalam rububiyah-Nya. Kesemua perkara yang selain daripada Allah dipanggil ‘alam’ samada langit, bumi, para malaikat, jin, manusia, syurga, neraka dan sebagainya. Kesemua perkara ini adalah ciptaan Allah dan tunduk kepada kuasa serta tadbir-Nya.

            Makna beriman dengan uluhiyah Allah ialah kamu beriktikad tiada ‘ilah’ yang berhak dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah. ‘ilah’ ertinya yang dilakukan ibadat atau disembah. Inilah pengertian kalimah tauhid ( لا اله الا الله ). Ia membawa makna mengikhlaskan apa jua bentuk ibadat hanya kepada Allah. Tiada yang berhak disembah melainkan Allah. Ibadat pula ialah nama yang merangkumi kesemua perkara yang diredhoi Allah dan dikasihi-Nya. Kita pula tidak mengetahui sesuatu perkara merupakan perkara yang disukai Allah dan diredhoi-Nya melainkan dengan wahyu Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu kita tidak boleh melakukan ibadat melainkan dengan adanya sandaran dalil daripada Al-Quran dan Hadis. Ibadat tidaklah terbatas kepada amalan yang zahir sahaja seperti solat, puasa, haji dan sebagainya sebagaimana yang difahami oleh ramai manusia. Bahkan ia merangkumi amalah hati seperti tawakal, perasaan takut, pengharapan, rasa kasih dan sebagainya. Kesemua jenis ibadat ini tidak boleh kita lakukan kepada selain Allah atau wujudnya perkongsian dengan Allah (syirik).

            Makna beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah ialah kita beriman dengan kesemua nama dan sifat yang Allah nyatakan tentang diri-Nya di dalam Al-Quran dan nama dan sifat yang Rasulullah nyatakan di dalam hadis yang soheh tanpa kita memesongkan makna yang terkandung di dalam nama dan sifat tersebut ( تحريف ) atau menyamakannya dengan sifat-sifat makhluk ( تمثيل ) ataupun menanyakan bagaimana sifat Allah ( تكييف ) atau pun menafikannya ( تعطيل ). Sesiapa yang inginkan I’tikad yang betul tentang nama-nama dan sifat Allah bacalah ayat berikut :

ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

Maksudnya “Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”-As-Syuro 11

Kata-kata-Nya : (tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya) menolak tanggapan bahawa sifat Allah itu sama dengan sifat makhluk-Nya. Apabila kita mengatakan bahawa Allah Maha Mendengar, maknanya kita beriman di antara sifat Allah ialah Dia mendengar. Akan tetapi pendengaran Allah tidak sama dengan pendengaran makhluk seperti kita. Pendengaran Allah sesuai dengan kebesaran-Nya, kesempurnaan-Nya dan kemuliaan-Nya yang tidak bercampur dengan keaiban atau kekurangan. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain. Ayat ini menolak pegangan yang batil yang menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk ( تمثيل ).

Kata-katanya (dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) menolak fahaman yang menafikan adanya sifat bagi Allah dengan alasan kalau kita mengatakan Allah mendengar contohnya, maknanya kita menyamakan Allah dengan makhluk sebab manusia juga mendengar, haiwan dan jin juga mendengar. Golongan ini dipanggil ‘mu’atthilah’. Disebutkan bahawa orang yang mula-mula membawa fahaman yang sesat ini ialah ja’d ibnu dirham yang menafikan bahawa Allah mengambil Nabi Ibrahim sebagai kholil-Nya dan mengingkari bahawa Allah bercakap dengan Nabi Musa. Fahaman ini disebarkan oleh jahm ibnu sofwan lalu timbullah fitnah dikalangan umat Islam dengan wujudnya aliran yang menafikan sifat-sifat Allah. Mereka ini beriman dengan lafaz Al-Quran tapi tidak beriman dengan maknanya. Amat buruk apa yang mereka lakukan.

            Golongan ketiga yang menyimpang daripada fahaman salafus soleh ialah orang-orang yang beriman dengan sebahagian sifat seperti : Allah melihat, mengetahui, mendengar, hidup, berkehendak dan sebagainya, akan tetapi menafikan yang lainnya. Mana-mana sifat yang tidak sesuai dengan kebesaran Allah -menurut akal mereka yang rosak- mereka tolak dan ubah maknanya berdasarkan pandangan dan akal mereka semata-mata. Contohnya mereka menafikan bahawa Allah berada di atas arasy, Allah turun ke langit dunia pada 1/3 malam yang terakhir, Allah datang pada hari kiamat dan sebagainya. Punca rosaknya golongan ini ialah tidak mengikuti jalan salafus soleh dalam memahami nas-nas Al-Quran dan Hadis yang menyatakan tentang sifat Allah. Amatilah isi kandungan ayat di atas. Kita akan memperolehi akidah yang murni seperti akidah para sahabat dan orang yang mengikuti jalan mereka. Apabila kita beriktikad bahawa sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk ( ليس كمثله شيء ) maka tidaklah kita menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Sifat Allah sesuai dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya manakala sifat makhluk sesuai dengan kelemahan dan kekurangan-Nya. Kalaulah mereka (ahli tahrif) beriman bahawa Allah mendengar, Allah melihat, Allah mengetahui, tidakkah manusia juga mendengar melihat dan mengetahui? Sudah tentu mereka akan mengatakan sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk. Sifat Allah sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Kenapa pula mereka beriman dengan sifat-sifat ini dan menafikan bahawa Allah berada di atas arasy’, Allah turun ke langit dunia, Allah mempunyai wajah dan sebagainya? Sedangkan sifat-sifat ini disebutkan juga di dalam Al-Quran dan Hadis. Adakah susah untuk kita beriman bahawa Allah berada di atas arasy dalam bentuk yang sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Tidak sama dengan makhluk, Apakah yang menjadikan mereka beriman dengan sebahagiannya dan menolak sebahagian yang lain? Adakah di sana penjelasan dari Nabi atau para sahabat yang menyuruh kita mengubah makna ayat-ayat tersebut? Orang yang melihat pendapat-pendapat mereka akan mengetahui bahawa tafsiran yang mereka buat tentang nas-nas sifat tersebut hanya berdasarkan akal mereka semata-mata dengan berselindung di sebalik ilmu bahasa. Mana yang diterima akal mereka diambil dan mana yang tidak dapat diterima akal ditolak. Ini bukanlah jalan salafus soleh. Salafus soleh beriman dengan semua sifat tanpa mengubah maknanya, mereka beriman bahawa Allah berada di atas arasy sesuai dengan kebesaran dan kesempurnaan-Nya, Allah turun ke langit dunia, Allah mempunyai wajah, mempunyai tangan sesuai dengan keagongan dan kesempurnaan-Nya. Tidak sama dengan sifat makhluk sebagaimana mereka beriman bahawa Allah mendengar, melihat akan tetapi pendengaran Allah dan penglihatan-Nya tidak sama dengan makhluk.

            Ahli Sunnah juga tidak membayangkan atau bertanya bagaimanakah sifat Allah ( تكييف ). Mereka tidak berkata: bagaimanakah Allah mendengar? Bagaimanakah wajah dan tangan Allah? Bagaimanakah Allah berada di atas arasy? Bahkan mereka beriman dengan sifat-sifat tersebut dan yakin ianya mempunyai bentuk ( كيفية ) yang tidak dapat diketahui oleh akal manusia yang lemah, akan tetapi mereka tidak menanyakan tentang bentuk tersebut. Inilah jalan salafus soleh.

            Sebahagian manusia menyangka bahawa mazhab salafus soleh dalam beriman dengan nama dan sifat Allah adalah tafwidh (menyerahkan kepada Allah tentang maknanya). Ini adalah batil kerana golongan mufawwidhoh bukan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Salafus Soleh hanya menyerahkan kepada Allah tentang kaifiyah. Mereka beriman dengan lafaz dan maknanya, bukan mereka diam daripada memperkatakan dan meyakini maknanya.

            Kesimpulannya, cara Ahli Sunnah Wal Jamaah, salafus Soleh dalam beriman dengan nama dan sifat Allah ialah :

1.  Beriman dengan semua nama dan sifat yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran dan disebutkan oleh Rasulullah di dalam hadis yang soheh.

2.  Beriman dengan lafaz dan makna yang terkandung dalam nama dan sifat tersebut dengan tidak menafikan maknanya atau mengubahnya kepada maksud yang lain berdasarkan kefahaman sendiri dan akal semata-mata.

3.  Tidak menanyakan kaifiyah (bentuk) sifat Allah kerana salafus soleh tidak menimbulkan persoalan tentang kaifiyah.

4.  Beri’tikad bahawa sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk.

            Inilah penjelasan ringkas tentang cara Ahli Sunnah beriman dengan sifat Allah. insyaAllah akan dibahaskan permasalahan ini secara lebih ilmiyah pada masa akan datang dengan menyebutkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis dan kata-kata ulama.

والله يهدي من يشاء الى صراط مستقيم

Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah-2

Saturday, March 7th, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Asas-Asas Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Oleh: Al Ustadz Abu Auzaie

 

Siri 2 :

 

Mengasihi Sahabat Rasulullah Dan Memuliakan Mereka, Tidak Menyebut Perkataan Yang Tidak Baik Terhadap Mereka

            Inilah jalan orang-orang yang beriman. Mereka mengetahui kedudukan para sahabat di sisi Allah dan Rasul-Nya. Sahabat merupakan generasi yang mendapat pujian Allah di dalam Al-Quran yang dibaca sehingga ke hari kiamat. Firman-Nya :

للفقراء المهاجرين الذين أخرجوا من ديارهم وأموالهم يبتغون فضلا من الله ورضوانا وينصرون الله ورسوله أولئك هم الصادقون 0 والذين تبوؤ الدار والايمان من قبلهم يحبون من هاجر اليهم ولايجدون فى صدورهم حاجة مما أوتوا ويؤثرون على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة ومن يوقى شح نفسه فأولئك هم المفلحون

Maksudnya : “dan bagi golongan fakir muhajirin yang diusir dari tempat tinggal dan harta mereka, mereka mencari anugerah dari Rob mereka dan keredhoan-Nya, dan mereka menolong Allah dan rasul-Nya..mereka itulah orang-orang yang benar 0 dan orang-orang yang tinggal di negeri (Madinah) dan beriman sebelum kedatangan muhajirin, mereka kasih kepada orang yang berhijrah kepada mereka dan tidak  ada dalam diri mereka keinginan terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang muhajirin, mereka mendahulukan orang-orang muhajirin ke atas diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri dalam keadaan kesusahan. Sesiapa yang dilindungi daripada sikap bakhil yang ada dalam dirinya maka mereka itulah orang yang berjaya”- al-Hasyr 8/9.

            Allah telah meredhoi golongan muhajirin dan ansor sebagaimana disebutkan dalam surah At-Taubah ayat 100. Anugerah dan pujian ini tidak akan kita temui pada mana-mana generasi selepas mereka. Orang yang berakal tentu menyedari tentang tingginya kedudukan para sahabat di sisi Allah dan Rasul-Nya. Adalah tidak layak bahkan satu kesalahan yang besar sekiranya ada manusia yang menyebut perkataan yang tidak baik terhadap sahabat apatah lagi mencaci dan menghina mereka. Bagaimana dia boleh mencaci generasi yang dipuji, dikasihi dan diredhoi Allah dan Rasul-Nya??? Apakah orang yang mencaci tersebut tidak pernah mendengar sabda Rasulullah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori dan Muslim :

لا تسبوا أصحابي فوالذى نفسي بيده لو أن أحدا أنفق مثل أحد ذهبا ما أدرك مد أحدهم ولا نصيفه

Maksudnya : “Jangan kamu mencaci sahabatku. Demi jiwaku yang berada ditangan-Nya..kalau sesiapa pun menginfaqkan emas seperti gunung Uhud nescaya ia tidak akan menyamai satu cupak yang diinfaqkan oleh mereka (sahabat) bahkan tidak menyamai setengah cupak”

Kata Ibnu Abbas : “Jangan kamu mencaci sahabat Muhammad. sesungguhnya kedudukan mereka bersama Rasulullah sejenak adalah lebih baik daripada ibadat kamu seumur hidup”.

Kata imam Ahmad ibnu Hambal kepada Abdul Malik ibnu Abdul Humaid al-Maimuni: “wahai Aba Hasan..apabila kamu melihat seseorang menyebutkan perkataan yang tidak baik tentang sahabat maka hendaklah kamu mentohmah keislamannya”- Syarah Usul ‘Iktikad Ahli Sunnah karangan Al-Lalikai.

Kata Abu Zur’ah : “Apabila kamu melihat orang yang merendah-rendahkan sesiapa pun dikalangan sahabat maka ketahuilah orang tersebut adalah zindik (munafik). Ini kerana Rasulullah di sisi kami adalah benar, Al-Quran juga benar. Yang menyampaikan Al-Quran  dan Sunnah Nabi ialah sahabat Baginda. Sesungguhnya mereka hendak menjarh (mengkritik) saksi-saksi kita (sahabat) untuk membatalkan Al-Quran dan Sunnah. Merekalah yang sepatutunya dijarh. Mereka merupakan golongan zindik”.

Kata Ibnu Taimiyah : “dan di antara asas-asas pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah selamat hati dan lidah mereka (daripada perkara yang tidak baik) terhadap sahabat-sahabat Rasulullah….dan mereka berlepas diri daripada sikap golongan rafidhah yang membenci dan mencela sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan nawasib yang menyakiti ahli bait (keluarga) Rasulullah dengan perkataan atau perbuatan. Mereka (ahli Sunnah) juga diam daripada bercakap tentang persengketaan yang berlaku di antara sahabat”- Majmuk Fatawa.

Kata Ibnul Qoyyim : “Sesiapa mencaci sahabat Rasulullah atau salah seorang daripada mereka atau merendah-rendahkan mereka atau menyebut perkara yang tidak baik tentang mereka atau menyindir atau mengaibkan salah seorang daripada mereka maka dia adalah mubtadi’ (pencetus bid’ah), rofidhi (berfahaman rofidhoh yang ciri-ciri mereka mencerca sahabat) yang jijik dan menentang”- Hadi Al-Arwah

Kata Abu Ja’far At-Tohawi : dan kami (ahli Sunnah) mengasihi sahabat Rasulullah dan tidak melampau dalam mengasihi mereka. Kami tidak berlepas diri daripada mereka. Kami membenci orang yang membenci mereka atau menyebutkan keburukkan tentang mereka. Kami tidak mengatakan melainkan kebaikkan. Kasih kepada mereka (sahabat) merupakan ajaran agama dan keimanan dan ihsan. Bencikan mereka merupakan kekufuran, nifaq (sikap munafik) dan melampaui batas”- Akidah Tohawiyah.

            Inilah sebahagian nas dan kalam salafus soleh tentang sikap ahli sunnah terhadap sahabat. Sesiapa yang melalui jalan yang lain dengan mencela sahabat atau pun salah seorang daripada mereka maka dia merupakan ahli bid’ah, orang yang terjerumus ke dalam dosa nifaq wal’iyazubillah.

            Malangnya di zaman yang penuh fitnah ini orang-orang yang mencaci sahabat disanjung, bahkan ada yang digelar Imam As-Syahid. Apabila tokoh-tokoh mereka yang mencela sahabat tadi dikritik maka orang yang dikritik pula akan diserang dan ditohmah sebagai tidak menghormati ulama besar. Apakah kehormatan orang yang mencela sahabat lebih tinggi daripada kehormatan sahabat Rasulullah?? Apakah orang yang mencela sahabat layak dipanggil ulama?? Ada pula yang cuba berselindung dengan menggambarkan kepada masyarakat seolah-olah masalah ini ada perselisihan dikalangan ulama. Maka orang yang mengkritik individu dan kumpulan yang mencela sahabat digambarkan seolah-olah berada dipihak yang salah dan idola mereka pula berada di pihak yang benar. Ini adalah grisy (غش ) ertinya penipuan dan pengkhianatan kepada umat Islam Wallahul Musta’an

Apa yang disebutkan di atas sudah mencukupi insyaAllah buat orang yang ingin berfikir. Wallahul Muwaffiq.

Perhatian : apa yang ada di antara dua kurungan adalah keterangan penulis

Asas Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah-1

Monday, February 23rd, 2009

أصول أهل السنة والجماعة

 

ASAS-ASAS PEGANGAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

 

Oleh: Al Ustadz Abu Auzaie

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Siri 1 :

Mengikuti Jalan Salafus Soleh dalam memahami Al-Quran dan Hadis

            Dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis menunjukkan kepada kita perlunya mengikuti jalan para sahabat dalam memahami kedua-dua nas tersebut. Merekalah generasi yang lebih mengetahui isi kandungan Al-Quran dan Hadis kerana mereka belajar agama ini terus daripada Rasulullah. Bacalah ayat-ayat dan hadis berikut dan hayatilah maknanya :

  1. Firman Allah :

والسابقون الأولون من المهاجرين والأنصار والذين اتبعوهم باحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه وأعد لهم جنات تجرى تحتها الأنهار خالدين فيها أبدا ذلك الفوز العظيم - التوبة 100

Maksudnya : “generasi terawal yang mendahului (dalam beriman) dikalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan cara yang baik, Allah meredhoi mereka dan mereka redho dengan Allah dan Dia sediakan buat mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kejayaan yang amat besar” - At-Taubah ayat 100.

Perhatikanlah kepada kalimah berikut (..dan orang-orang yang mengikuti jalan mereka..). ertinya orang-orang yang mengikuti Muhajirin dan Ansor dalam memahami agama yang dibawa oleh nabi kita Muhammadصلى الله عليه وسلم  , mereka itu layak memperolehi ganjaran yang disebutkan di dalam ayat di atas iaitu mencapai keredhoan Allah dan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Inilah kejayaan yang dijanjikan buat orang yang mengikut jalan sahabat. Kejayaan ini tidak akan kita perolehi sekiranya kita mengikuti manusia selain mereka dalam memahami maksud Al-Quran dan Hadis. Oleh itu Imam Ahmad berkata di dalam kitab ‘Usul As-Sunnah’ : “Asas-asas pegangan ahli sunnah menurut kami adalah berpegang teguh dengan cara para sahabat Rasulullah dan mencontohi mereka”.

  1. Firman Allah :

ومن يشاقق الرسول من بعد ما تبين له الهدى ويتبع غير سبيل المؤمنين نوله ما تولى ونصله جهنم وساءت مصيرا- النساء 115

Maksudnya : “sesiapa yang berpisah daripada Rasul (jalannya) selepas nyata kepadanya kebenaran dan mengikuti jalan selain jalan orang-orang mukmin maka Aku biarkan dia bersama pilihannya dan Aku sumbatkannya ke dalam neraka jahannam yang merupakan seburuk-buruk tempat kembali”- An-Nisa ayat 115.

Allah menyatakan di dalam ayat ini tentang ciri-ciri orang yang dihukum iaitu dengan merasakan dirinya berada di atas kebenaran sedangkan dia telah terpesong di dunia ini, kemudian di hari kiamat dia akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam. Ciri-ciri orang tersebut ialah dia keluar daripada jalan Rasulullah dan mengikut jalan selain jalan orang-orang mukmin iaitu para sahabat kerana merekalah orang-orang mukmin ketika turunnya ayat ini. Ayat ini membawa maksud dalam memahami jalan Rasulullah kita dituntut mengikuti kefahaman para sahabat kerana itulah kefahaman yang sebenar tentang ajaran baginda. Mengenepikan kefahaman generasi terawal membawa erti keluar daripada jalan Rasulullah. Sesiapa yang berbuat demikian maka dia terdedah kepada bahaya yang amat besar di hari kemudian.

  1. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

خير الناس قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم….رواه البخاري ومسلم

Maksudnya: “sebaik-baik manusia ialah mereka yang berada di kurunku, kemudian orang-orang yang selepas mereka, kemudian orang-orang yang selepas mereka….” - riwayat Bukhori dan Muslim.

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita para sahabat merupakan manusia yang terbaik dikalangan umat Muhammad صلى الله عليه وسلم . Ini membawa erti tiada siapa dikalangan generasi yang terkemudian yang lebih baik atau setanding dengan mereka dalam semua sudut. Sama ada dalam ketinggian darjat di sisi Allah atau kekuatan aqidah dan keimanan, kekuatan beramal atau keupayaan memahami maksud sebenar ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Sudah tentulah orang yang cerdik dan berakal akan mengikuti jalan generasi yang dipercayai, generasi yang mendapat penghormatan daripada Allah dan rasulNya. Adakah generasi yang terkemudian mendapat pujian dan penghormatan seperti ini? Sudah tentu tidak. Bahkan di dalam hadis-hadis Rasulullah banyak menyatakan keburukkan generasi yang terkemudian kecuali mereka yang berpegang teguh dengan ajaran baginda dan mengikuti jalan sahabat-sahabat baginda.

  1. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

وستفترق أمتي على ثلاث وسبعين فرقة , كلها فى النار الا واحدة , قيل من هم يا رسول الله؟ قال : من على مثل ما أنا عليه اليوم وأصحابي

Maksudnya : “dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan , kesemuanya berada di dalam neraka kecuali satu kumpulan”. Dikatakan kepada baginda : siapakah mereka wahai Rasulullah? Jawab baginda : ” siapa yang berada di atas perkara yang aku berada di atasnya hari ini dan sahabat-sahabatku” - disohehkan oleh Al-Albani.

Ertinya mengikut sunnah baginda dan para sahabat yang mengetahui maksud yang terkandung di dalam sunnah baginda.

Wahai umat Muhammad….

            Inilah jalan kita… mengikuti para sahabat dalam memahami agama. Merekalah yang lebih mengetahui maksud Al-Quran dan Hadis. Tidaklah sesat golongan yang bernama khawarij, muktazilah, qodariyah, jahmiyah, rafidhah dan sebagainya melainkan kerana mereka mengenepikan kefahaman generasi terawal tentang ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Maka janganlah kita mengikut jejak langkah golongan tersebut…

 

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita semua.

Wasiat Rasulullah

Friday, February 13th, 2009

Wasiat Rasulullah

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh : Abu Auzaie

 

            Allah telah mengutuskan buat manusia akhir zaman rasulNya yang terakhir iaitu Muhammad صلى عليه وسلم. Baginda membawa petunjuk yang memandu manusia kepada kesejahteraan dan kebahagian untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Beruntunglah para sahabat yang sempat bersama baginda mengambil pedoman yang terkandung di dalam wahyu yang dibawa oleh baginda iaitu al-Quran dan Sunnah.

            Bagaimana dengan generasi terkemudian seperti kita? Masih adakah cahaya yang ditinggalkan selepas kewafatan baginda? Sudah tentu. Allah mengutuskan baginda sebagai rahmat buat sekalian alam. firmanNya :

وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

Maksudnya : dan tidak Aku utuskan kamu (nabi Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam” - Al-Anbiya’ 107

 

            Sebagai seorang nabi yang sifatnya amat kasihkan kepada umatnya, inginkan kebaikan buat mereka dan tidak mahu kesusahan serta keburukan menimpa mereka sebagaimana firman Allah :

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم

Maksudnya : “telah datang kepada kamu seorang rasul yang sejenis dengan kamu, amat berat baginya perkara yang menyusahkan kamu, amat inginkan (kebaikan) buat kamu dan bersifat lemah lembut dan belas kasihan kepada orang-orang beriman”- At-Taubah 128.

…dengan sifat sebegini baginda tidak membiarkan umat baginda yang terkemudian  terjerumus ke lembah kesesatan, teraba-raba mencari pedoman. Oleh itu baginda mewasiatkan kepada mereka supaya berpegang teguh dengan beberapa perkara :

  1. Al-Quran dan Hadis sebagaimana sabda baginda :

تركت فيكم شيئين لن تضلوا بعدهما : كتاب الله وسنتي

“aku tinggalkan pada kamu 2 perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selepas kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnahku” - lihat Soheh Jamie’ As-Shogrir karangan Al-Albani.

  1. Apabila berlaku perselisihan dikalangan umat Islam maka hendaklah mereka kembali kepada sunnah baginda dan kefahaman para sahabat sebagaimana sabda baginda :

انه من يعش منكم بعدى فسيرى اختلافا كثيرا , فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ

            ”sesungguhnya sesiapa yang hidup dikalangan kamu selepas ketiadaanku akan

            melihat perselisihan yang amat banyak. Maka hendaklah kamu berpegang

            dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalfah  ar-rosyidin selepas aku.

            Berpegang teguhlah dengan sunnah tersebut dan gigitlah ia dengan gigi

            gerham”- lihat Silsilah Sohehah 938

  1. Umat baginda akan berpecah kepada 73 golongan. Kesemuanya akan masuk neraka kecuali satu golongan iaitu orang-orang yang berada di atas cara baginda dan para sahabat. Sabda baginda :

وان أمتي ستفترق على ثلاث وسبعين ملة كلها فى النار الا واحدة , قيل : من هي يا رسول الله؟ قال:  ما أنا عليه اليوم وأصحابي

“umat ini akan berpecah kepada 73 jalan (golongan). Kesemuanya akan memasuki neraka kecuali 1 golongan. Lalu dikatakan : siapakah mereka wahai rasulullah? Jawab baginda : orang yang berada di atas jalanku dan jalan sahabatku”- lihat Silsilah Sohehah 1/359

 

            Wasiat-wasiat ini mengingatkan kita supaya mempelajari al-Quran dan Sunnah, berpegang teguh dengan isi kandungan kedua-duanya dan mengikuti jalan para sahabat dalam memahami al-Quran dan Hadis.

 

Oleh itu…..

Pegangan kita :

  1. Kitab Allah
  2. Sunnah Rasulullah
  3. Memahami kedua-duanya berdasarkan kefahaman salafus soleh. Mereka ialah para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jalan mereka.

 

والله الموفق

Dawah_Ahlus_Sunnah_Waljamaah_1

Monday, February 2nd, 2009

DA’WAH AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH -1
Al-Ustadz Luqman Jamal, Lc

 

Karakteristik manhaj/dakwah Ahlus Sunnah Wal Jama‘ah yang membedakannya dengan ahlul bid’ah sangat banyak dan telah dijelaskan oleh para Imam Ahlus Sunnah Wal Jama‘ah dalam banyak kitab karya mereka dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin, untuk itu kami sebutkan disini sebagian dari karakteristik tersebut. Mudah-mudahan bermanfaat bagi para pembaca dan kaum muslimin pada umumnya untuk mengetahui manhaj / dakwah Ahlussunnah wal Jama’ah yang sebenarnya. Amin. Diantara karakteristik tersebut adalah sebagai berikut :

 

 

1.               Ahlus Sunnah Wal Jama‘ah dalam menerima dan mengambil agama dari Al-Qur`an dan As-Sunnah yang shahih.

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman :

 

اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Rabb-mu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amatlah sedikit kalian mengambil pelajaran (daripadanya)”.(QS.Al-A’raf : 3)

 

Dan Allah Jalla Dzikruhu menyatakan dalam surah Al-Hujurat ayat 1 :

 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya”.

 

Dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa ala alihi wa sallam bersabda :

 

تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا : كَتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الْحَوْضَ

“Saya meninggalkan kepada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat sesudahnya (yaitu) Kitabullah dan Sunnahku dan keduanya tidak akan bercerai sampai keduanya menemuiku di telaga”. (Shohih Jami’ Ash-Shoghir  karya Al-Albany jilid 3 hal. 39 no. 2934).

 

Berkata Imam Az-Zuhry rahimahullah : “Dari Allah (turunnya) Ar-Risalah (agama,syari’at) dan kewajiban Rasul (shollallahu ‘alaihi wa ala alihi wa sallam) adalah menyampaikan dan kewajiban kita adalah At-Taslim (menerima, tunduk, berserahkan diri)”. (Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhary dalam Kitab At-Tauhid secara mu’allaq, lihat Fathul Bary 13/508).

Dan Imam Ath-Thohawy menyatakan : “Tidaklah tsabit (kuat) keislaman seseorang kecuali dengan menerima dan berserah diri (kepada kitab dan sunnah-pent.) dengan sepenuh hati”. (Dari Syarh Al-Aqidah Ath-Thohawiyah hal.201)

Nash Al-Quran & Assunnah Ahlussunnah Waljamaah (Salaf)

Wednesday, January 28th, 2009

.

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Upaya penyaringan terhadap segala hal yang bukan berasal dari ajaran Islam, baik dalam hal Aqidah, Ahkam (hukum) maupun Akhlaq, selayaknya terus dilakukan, agar Islam kembali bersih berseri, murni dalam naungan risalah sebagaimana risalah yang telah diturunkan kepada Muhammad Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dan diajarkan pada Sahabatnya, yang diteruskan oleh pengikutnya hingga hari kiamat.

Manhaj Salaf dan Salafiyyun tidaklah dibatasi oleh organisasi tertentu, daerah tertentu, pemimpin tertentu, partai tertentu, dan sebagainya. Bahkan manhaj salaf mengajarkan kepada kita bahwa ikatan persaudaraan itu dibangun di atas Al Quran dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan pemahaman Salafush Shalih.

Kewajiban mengikuti jalan mereka dalam firman Allah:

 

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. (QS. At-Taubah : 100)

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengancam orang yang menyelisihi dengan firman-Nya :

 

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيْرًا

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mu`min, maka Kami biarkan ia larut terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”.”.(QS. An-Nisa  :115)

 

Dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa ala alihi wa sallam bersabda :

 

تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا : كَتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الْحَوْضَ

“Saya meninggalkan kepada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat sesudahnya (yaitu) Kitabullah dan Sunnahku dan keduanya tidak akan bercerai sampai keduanya menemuiku di telaga”. (Shohih Jami’ Ash-Shoghir  karya Al-Albany)