Posts Tagged ‘Fatwa_Hari_Kekasih’

Fatwa Tentang Hari Kekasih

Monday, February 2nd, 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Fatwa Lajnah Ad-Daimah Tentang Hari Kekasih 

Fatwa No. 21203

 

          Dalil-dalil yang jelas daripada Kitab dan Sunnah dan ijma’ salafus-soleh menunjukkan bahawa hanya ada dua perayaan di dalam agama Islam iaitu iedul-fitri dan iedul-adha. Adapun perayaan yang selain daripada itu yang berkaitan dengan individu atau kumpulan atau peristiwa dan makna-makna lain, ia merupakan perayaan-perayaan yang bidaah. Tidak boleh umat Islam merayakannya atau mengiktirafnya, menzahirkan kegembiraan pada perayaan tersebut dan tidak boleh membantu dengan apa jua perkara untuk menjayakan perayaan tersebut. Ini kerana perbuatan seperti itu merupakan perbuatan yang melanggar batasan-batasan Allah. Barangsiapa yang melanggar batasan Allah maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri. Tambahan lagi, perayaan yang direka-reka ini merupakan perayaan orang-orang kuffar. Oleh itu, perbuatan tersebut merupakan dosa yang berganda kerana dengan menyambut perayaan seperti ini ia merupakan perbuatan yang menyerupai orang-orang kuffar dan sejenis wala’ (persahabatan,rasa kasih dan pertolongan) kepada mereka. Sesungguhnya Allah telah melarang orang-orang beriman di dalam kitabNya yang mulia daripada menyerupai orang-orang kuffar dan memberi wala’ kepada mereka. Telah thabit daripada Rasulullah bahawa baginda bersada :

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya : ‘barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia merupakan sebahagian daripada mereka’. 

            Hari kekasih merupakan satu jenis daripada apa yang dinyatakan kerana ia merupakan sebahagian daripada perayaan kekufuran golongan nasrani. Maka tidak halal bagi seorang muslim yang beriman dengan Allah dan hari kiamat turut serta atau mengiktiraf atau memberi tahniah sempena hari tersebut. Bahkan wajib meninggalkannya dan menjauhinya sebagai menyahut seruan Allah dan rasulNya serta menjauhi sebab-sebab kemurkaan Allah dan turunnya hukumanNya. Diharamkan juga ke atas seorang muslim membantu perayaan ini atau perayaan-perayaan haram yang lain dengan apa jua bentuk bantuan seperti makan, minum,berjual beli, membuat sesuatu, memberi hadiah, menghantar ucapan, membuat iklan dan yang seumpamanya kerana perkara tersebut merupakan perbuatan bertolong bantu dalam dosa dan permusuhan serta maksiat kepada Allah dan rasulNya. Allah berfirman :

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الاثم والعدوان واتقوا الله ان الله شديد العقاب

Maksudnya : ‘dan bertolong bantulah di dalam perkara kebaikan dan taqwa dan jangan bertolong bantu di dalam perkara dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat hebat hukumanNya’.

            Maka menjadi kewajipan ke atas seorang muslim berpegang teguh dengan Kitab dan Sunnah dalam semua hal lebih-lebih lagi pada waktu yang banyak berlaku fitnah dan kerosakkan. Hendaklah dia menjadi orang yang bijak serta berjaga-jaga daripada terjebak ke dalam kesesatan golongan yang dimurkai Allah dan orang-orang yang sesat dan fasik yang tidak takut kepada kemurkaan Allah dan tidak memandang mulia kepada agama Islam. Hendaklah seorang muslim kembali kepada Allah dan meminta hidayatNya dan ‘thabat’ (ketetapan) di atas hidayat tersebut kerana sesungguhnya tiada siapa yang dapat memberi hidayat melainkan Allah dan tiada yang dapat memberikan thabat melainkan dia.

وبالله توفيق , وصلى الله على محمد وعلى آله وسلم

Sumber : Lajnah Daimah untuk Kajian Islam dan Fatwa Arab Saudi

Penterjemah : Abu Auzaie